Rabu, Disember 31, 2008

Gaza Masih Bernafas

Gaza masih bernafas
walau dadanya berombak tenat.

Gaza masih bernafas
menanti serunya didengar umat.

Gaza masih bernafas
dalam haruman darah mujahid.

Gaza masih bernafas
memburu cinta menjadi syahid.

Gaza masih bernafas
berlindung ia di sebalik tembok.

Gaza masih bernafas
mencari musuh untuk dicambuk.

Gaza masih bernafas
duka lara ciptaan insan.

Gaza masih bernafas
kebinatangan tanpa kasihan.

Gaza masih bernafas
kematian memburu jasad.

Gaza masih bernafas
betapa bacul mata yang melihat.

Maaf Gaza.

Konflik

In this world it is not what we take up, but what we give up, that makes us rich
-Henry Ward Beecher

Saya mengimpikan untuk berada bersama suara kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang bertarung nyawa mencari kehidupan. Sambil itu, frasa di atas akan saya teriakkan dengan kuat. Moga dengungan suara itu akan didengari dan dimengerti oleh aparat kekejaman. Sekali lagi, saya cuba menghantar pesan dari bumi berdarah yang dibebankan dengan kesongsangan nilai kemanusiaan.

Selasa, Disember 30, 2008

1430

Tahun baru ini tidak mahu saya isikan dengan azam-azam tipikal buat pemanis mulut yang sering meniti di bibir. Namun demikian, saya tetap percaya bahawa kekuatan Hijrah bagi mencipta perubahan harus sentiasa dimaknakan.

Seperti juga masyarakat umum, saya sentiasa mengharapkan yang terbaik buat kehidupan. Selagi mana ia masih berpaksikan nilai agama yang menyeluruh dan diupayakan dengan kekuatan akal untuk memandunya, masa depan yang baik tentu bukan khayalan siang yang sia-sia.

Atas dasar itu, ketibaan tahun baru Hijrah meninggalkan memori usang kegagalan dan ketidakberhasilan apa jua tindakan kita tidak harus dijadikan alasan untuk mandom dan layu di arena sukar kehidupan.

Pengajaran daripadanya harus segera dijadikan pedoman untuk mencorakkan hari-hari mendatang agar kita tidak terus leka dipancung sikap negatif yang hanya menunggu masa memakan korban.

Lihatlah ke hadapan. Penerokanya harus utuh dan melaluinya dengan penuh harapan.

Salam Maal Hijrah 1430!

Rembesan Darah Gaza!

Kebiadaban rejim zalim Zionis tidak pernah punya sempadan. Perjanjian gencatan senjata yang cuba dijana tidak langsung dihormati. Mereka dengan rakus bertindak bacul dengan menghunjam bumi Palestin dengan ratusan roket buta yang bertujuan membunuh nyawa.

Jumlah korban di garisan krisis itu terus meningkat. Kemanusiaan tidak lagi menjadi panduan malah ia dikhianati dengan justifikasi bingung ciptaan mereka yang berkuasa. Nyawa umat Islam tidak langsung dihormati dan dengan mudah maruah mereka diinjak sewenang-wenangnya.

Jelas sekali, umat Islam tidak lagi berada di zon selesa. Ini bukan masa sesuai untuk kita terus tersenyum menyudahkan kehidupan pada hari-hari mendatang. Tanpa apa-apa tindakan yang bermakna, umat Islam akan terus diganyang dengan penuh rasa ghairah oleh Zionis yang gila.

Mari kita bersatu untuk saudara seagama di Gaza. Kalaupun kita tidak meyakini risalah Islam yang dibawa Muhammad B. Abdullah, keadaan di Gaza harus menyedarkan kita tentang sisi gelap kemanusiaan.

Rasa cinta dan kasihkan manusia tidak seharusnya dihadkan pada sekelompok golongan sahaja. Ia harus diregang jauh dengan menjadikan setiap yang bernyawa itu punya nilai dan harga diri yang harus dijaga dan dipelihara.

Bagi umat Islam seluruhnya, semboyan yang menggerakkan kita ke medan pertarungan sudah mula kedengaran. Seluruh kehidupan perlu dinilai kembali berkait aspek-aspek kerohanian bagi menjamin jati diri dan kemuliaan Islami yang benar-benar unggul.

Jika rembesan darah yang tumpah di Gaza itu pun gagal dihayati dalam mendepani tempoh waktu sukar mendatang, maka kita akan terus tertipu dengan helah serta berkemungkinan besar terjerumus dalam dunia indah yang palsu serta diisi dengan nilai-nilai kebinatangan cetusan Zionis dan proksi-proksi kekuasaan.

Lanjutan daripada itu, kita harus kembali mengenal diri. Sudah tiba masa untuk menyatakan kebenaran dengan semangat dan nada keras bagi menghasilkan kesedaran. Solidariti umat Islam adalah penting bagi mengatur kembali kehidupan dengan nilai-nilai murni yang diajarkan Tuhan.

Berhentilah berkhayal! Gaza sedang menangis!

Celaka kuffar!

Jumaat, Disember 19, 2008

Gunung Ledang

Bila ia kehilangan Shams-e Tabriz, maka Jalaluddin Rumi bersendiri mengulit kemistikan sufi. Disebabkan itu, lahirlah Diwan-e Shams-e Tabrizi. Dicarinya teman yang benar-benar ia cintai.

Saya akan berkunjung semula ke Gunung Ledang petang ini. Hati tidak langsung berhajatkan untuk ketemu sang puteri yang misteri. Cukuplah dengan janji alam untuk menemani kesunyian diri.

Naluri sepi, pada keindahan alam ini akan saya kuburkan gelisah mimpi. Gerak alam juga mengesankan. Keriuhan dalam kehijauan hutan seolah-olah sedang cuba menghantarkan pesan.

Saya tidak menginginkan lagak sufi dan kemistikan Rumi. Tapi adakah alam mampu memberi nikmat kehidupan yang seharusnya saya nikmati?

Naif

Lama dulu, teman-teman saya hadir ke sekolah dengan rambut yang terpacak keras. Waktu pulang, wajah-wajah mereka terlihat sempoi menyemakkan pagar belakang sambil jari mengulit rokok berbatang-batang. Tiada lagi sisi tajam kemeja sekolah yang biasanya sering kemas dan segak.

Menjelang petang, wajah-wajah itu jugalah yang memenuhi tembok-tembok kosong di tepi jalan. Dengan gitar tua tanpa seri kerana lanjut usianya, lagu-lagu melayu, lama dan baru terus saja berkumandang. Mereka seakan lupa bila masanya ibu memanggil pulang.

Malam pun menjelma meninggalkan siang yang resah dengan pergolakan manusia mencari harta. Kali ini, kesibukan restoran mamak menjadi pentas aksi. Mereka berbicara memecah sunyi. Secawan teh tarik cukup buat bekalan perdebatan manusiawi mencari diri berjam-jam lamanya.

Dinihari itu, ada tayangan secara langsung bola sepak liga Inggeris. Pulang awal bererti gagal manghayati falsafah anak muda berani. Tiada antara mereka yang mahu dilabel anak manja kerana taatkan ibu dan bapa.

Hujung minggu mula memperlihatkan wajah. Otak mula ligat bekerja. Kali ini, pusat snooker mana pula yang ingin dijelajahi. Kalaupun tidak, masih ada cyber cafe yang belum dimasuki. Ke mana harus diatur destinasi.

Mungkin kerana keberadaan yang terlalu lama, ramai teman saya masih terpaut dalam lingkaran ini. Acapkali juga, saya disindir dengan ungkapan-ungkapan berbisa yang memanaskan hati. Dek kerana punya pandangan dan minat yang berbeza tidak seperti mereka, maka saya dilabel naif. Aduhai teman. Mujur, kenaifan itu dalam kesedaran betapa hebatnya kepelbagaian yang dicipta Tuhan!

Pemerhatian, ia nikmat Tuhan agar kita mengerti apa itu insan.

Khamis, Disember 18, 2008

Bengawan Solo

Tiada apa yang ingin saya catatkan kali ini. Fikir saya, elok juga jika pemikiran direhatkan dulu memandangkan fokus sudah mula lari menjejak aktiviti di kaki Gunung Ledang hujung minggu mendatang.

Bagi menyegarkan kembali fungsi otak, saya mengulang dengar Bengawan Solo. Nah! Pesona keroncong lebih indah daripada I'm Yours kebanggaan Jason Mraz!

Selasa, Disember 16, 2008

Keberanian

Without courage, wisdom bears no fruit
-Baltasar Gracian

Syaitan

Ramai yang beranggapan kasih sayang sebagai satu ciri normal yang harus ada dalam diri manusia. Tanpanya, pemergian kita nanti hanya akan meninggalkan puing-puing derita untuk ditangisi. Kita tidak mampu untuk menyelami hasrat hati dan juga norma-norma sosial pada kedalaman sebenar yang selayaknya difahami.

Bagi Gordon Brown dan David Cameron, pertikaiannya masih berlegar pada ruang lingkup politik dan sokongan. Meski mereka mempersoalkannya dengan kesedaran, tiada apa yang mampu mengekang mereka untuk berbicara atas nama hak dan kekuasaan.

Saya terpaku awalnya. Membaca berita ini memberikan satu kejutan yang bukan kepalang pada rasa percaya terhadap kemuliaan manusia. Tidak pernah langsung terlintas di benak, ada yang sanggup melakukan perbuatan sekejam ini. Ah. Mangsanya masih bayi.

Seorang teman menantikan komentar saya terhadapnya sedang saya masih tidak tahu untuk berfikir apa. Baca dan nilailah sendiri. Mungkin ini akibat yang perlu kita hadapi dalam keadaan manusia tidak lagi berpegang pada tatanan moral dan petunjuk. Ia seharusnya diambil pengajaran. Masa depan yang cerah dengan nilai-nilai manusiawi yang tinggi bukan permainan yang menjadikan nyawa sebagai hadiah kemenangan.

Oh Tuhan.

Kasut Untuk Presiden

Pada saya, antara ciri penting yang dimiliki oleh Presiden Bush dan para diktator lain yang sejawatan dengannya adalah ketegaran dalam tindakan. Sehingga pada tahap-tahap tertentu, mereka seolah-olah buta hatinya tatkala mewajarkan tindakan yang zalim serta penuh dengan unsur penindasan.

Disebabkan kedangkalan fikiran dan cita-cita besar mahu menguasai dunia, mereka sanggup melakukan apa saja meski ia salah serta dilihat tidak langsung mengangkat nilai-nilai keadilan untuk semua pihak.

Atas dasar itu, masyarakat dunia punya satu alasan yang pasti mengapa kediktatoran mereka harus ditolak. Yang pasti, para diktator tidak tahu bagaimana mahu berbicara yang muluk-muluk. Hal itulah yang menyebabkan bahasa jalanan menjadi kebiasaan untuk kita menyatakan rungutan mahupun penolakan.

Dalam lawatannya ke Iraq semalam, rupanya ada bahasa indah yang selama ini tidak pernah didengarinya. Sambil menjawab pertanyaan para wartawan saat ia bersidang akhbar bersama Perdana Menteri Nuri Al-Maliki, Bush buat pertama kalinya dilempar dengan kasut oleh seorang wartawan media tempatan. Mujur dia sempat mengelak.

Saya tidak pasti adakah peristiwa itu membuatkan Bush rasa terhina. Kalaupun tidak, sekurang-kurangnya mungkin dia akan tersedar satu perkara - si bebal yang buta hati memang layak dilemparkan kasut agar ia lebih mengerti apa itu maruah dan harga diri!

Itupun jika otaknya masih berfungsi.

*Berita lanjut mengenainya boleh dibaca di sini. Ini pula versi Youtube.

Isnin, Disember 15, 2008

Le Grand Voyage


Saya mula tertarik untuk menonton filem ini selepas membaca ulasan mengenainya oleh Faisal Tehrani dalam akhbar Siasah. Setelah lama tidak ketemu dengan filem-filem bermutu yang memenuhi citarasa, buah tangan Ismail Ferroukhi ini akhirnya mengisi kelompongan itu.

Ceritanya tentang Reda, seorang pemuda Perancis-Maghribi yang sudah jauh dari landasan sebenar agama dan tradisi. Dalam keterpaksaan, ia menuruti hasrat bapanya agar menemaninya dalam pengembaraan berkereta menuju ke Mekah untuk menunaikan haji.

Dalam pengembaraan mereka itu, Reda secara tidak langsung diajar oleh bapanya untuk kembali mengenal diri. Mereka juga menempuh pelbagai pengalaman bermakna yang antara lain menyerlahkan betapa besarnya makna kehidupan (Reda dengan berat hati terpaksa melupakan pengajiannya dan kekasih yang ia cintai-Lisa).

Mereka berkereta merentas beberapa buah negara Eropah. Dalam banyak keadaan, kereta yang mereka naiki seolah-olah menjadi rumah ke-dua tempat mereka menahan diri daripada terik mentari siang dan juga kesejukan angin malam.

Penceritaan tambah menarik bila memperhatikan perbezaan ketara sosok Reda dan bapanya dalam hal-hal berkait cabaran sepanjang pengembaraan itu. Walaupun bapanya seorang penganut Islam yang taat, anaknya itu tidak pernah dipaksa untuk mengikuti agama yang dianutinya. Risalah Islam cuba disampaikan kepada Reda dengan penuh hikmah.

Setelah lama di jalanan dan bertemu dengan bermacam-macam ragam manusia baik yang mulia mahupun hina, mereka akhirnya tiba ke tanah haram. Beberapa hari disana, Reda tenggelam dalam sahut-sahutan talbiah dan ibadah yang tidak langsung diketahuinya. Sehinggalah tiba masa untuk bapanya memulakan proses rukun Islam yang ke-lima itu, Reda tetap dengan egonya yang tak berkesudahan.

Waktu berganti waktu. Tatkala para jemaah haji yang lain sudah muncul kembali di kawasan perkumpulan mereka, kelibat ayahnya tidak juga kelihatan. Reda mula bimbang. Ia lekas mencari ayahnya di celahan sesak manusia menuju Masjid Al-Haram. Tidak juga ayahnya itu ia temui.

Akhirnya Reda akur dalam tangisan. Apa yang berlaku? Mungkinkah Reda bersama dengan ayahnya merintih kepada Tuhan mengenangkan dosa-dosa lampau? Atau mungkin juga ayahnya itu mendakapnya kembali untuk dibawa bertemu diri dengan kalam Tuhan yang suci?

Filem ini harus ditonton untuk mendapatkan jawapannya. Ia menyinggung sisi kerohanian melalui sudut yang biasa kita lalui dalam kehidupan. Tinggal lagi, kita juga mungkin sama seperti Reda. Kita mungkin tidak langsung mahu berfikir segala ciptaan dan nikmat yang dikurniakan kepada kita. Dan kerana itulah kita tidak tahu betapa besarnya peranan agama dalam kehidupan sehinggakan kita dengan mudah tersasar jauh dari pedoman.

Ahad, Disember 14, 2008

Rocky Balboa

Ada yang tidak kena hari ini. Menghadap nota-nota kuliah cepat membuatkan mata mengantuk. Badan pula tiba-tiba lemah, seolah-olah sengaja mahu menghalang diri daripada terus gagah.

Saya harus lekas bangun daripada igauan. Mempertaruhkan masa depan pada kelemahan tidak patut dijadikan pilihan. Ujar seorang teman, malas itu bukan alasan!

Perang!

Awal-awal lagi, perang saraf saya mulakan. Mendengar kehebatan beberapa nama yang diulang berkali-kali, saya pantas berapi. Sebanyak manapun keringat harus dikerah, kesediaan saya malam tadi memang tidak goyah!

Medan tempur itu panas. Gelegak darah dan pusaran deras ribut jiwa jelas kelihatan. Bola maut itu dilontar balingan demi balingan menuju sasaran.

Saya mahu membunuh. Ada yang harus dikorbankan. Pedulikan jam yang tidak henti-henti berdetik. Saya tidak akan balik selagi pertaruhan nyawa ini tidak berkesudahan.

Special team!

Dan akhirnya, bergempita alam maya. Keriuhan dalam kegembiraan hati pantas mengisi ruang. Yang kuat harus menang! Mutlak!
-----------------------------------------------------------------------------------
Catatan ini masih diresapi kekuatan roh kemenangan saya semalam. Walaupun hanya berjaya mengisi tempat ke-dua dalam pertandingan boling itu, saya tetap gembira kerana berjaya mencabar diri untuk berkesan dalam aksi. Oh ya, catatan ini juga sedikit poyo buat manusia yang tidak menyukainya!

Sabtu, Disember 13, 2008

Melodrama Jiwa

Malam ini, saya bersama teman-teman berkelana menziarahi keluarga kepada seorang teman lain yang kematian datuknya petang tadi. Kami membelah pekat malam mencari di mana letaknya rumah yang ingin dituju.

Bapa teman seperjuangan ini saya sapa. Menghormati kesedihan keluarganya, tidak pula saya bertanya lebih. Cukuplah sekadar tahu bila dan mengapa kematian itu terjadi. Bimbang juga, pertanyaan saya mengganggu emosi yang tentunya sedang tidak menentu waktu itu.

Sebelum pulang, kain batik lepas yang menutupi jenazah itu saya singkap selepas diizinkan teman saya tadi. Pantas saya teringat opah. Empat tahun yang lalu, saya juga pernah melalui detik yang sama apabila opah meninggalkan saya secara tiba-tiba.

Opah bolehlah dikira sebagai manusia ajaib yang dimunculkan Tuhan kepada saya. Kepulangan saya ke kampung tentu akan disambut dengan layanan yang luar biasa caranya. Opah memanjakan saya dengan kasih sayang. Tidak pernah sekalipun opah memarahi saya walaupun kerap juga rumah tuanya itu saya sepahkan.

Selain emak, opahlah satu-satunya saudara rapat yang memelihara saya. Dialah yang sibuk membelai, mengasihi malah membasuh kotoran yang saya tinggalkan dari diri. Mungkin ini biasa bagi sesetengah orang. Tapi apa yang dilakukan opah bagi saya di luar batas kebiasaan yang dilakukan manusia seusianya.

Saya tidak pernah tahu opah menderita sakit jantung. Berbeza dengan atuk yang sejarah kesihatannya memang menjadi subjek utama perhatian saya, pemergian opah amat mengejutkan. Awal subuh itu, deringan telefon dari bapa saudara amat meruntun rasa. Dan emak menghadapinya dengan deraian deras air mata.

Waktu itu, saya belum lagi mengerti apa itu tabah. Bila ibu saudara menegur mengapa saya tidak menangis sepanjang proses jenazah opah dimandikan, dikafan dan akhirnya dikebumikan, barulah saya mula bermonolog sendiri mengapa saya tidak menangis. Padahal, yang pergi itu opah. Insan yang cukup kuat memberi semangat dan nasihat agar saya terus cekal melayari hidup dan sentiasa belajar agar punya masa depan yang cerah.

Saya melihat jenazah opah di turunkan perlahan-lahan ke dalam lahad. Sebagai seorang cucu yang disayangi dan menyayanginya, tentunya saya turut hiba. Tapi saya masih gagal menumpahkan air mata.

Sehingga ke hari ini, saya merasakan opah masih setia bersama saya. Dia mungkin sudah tiada untuk menyayangi cucunya ini. Tapi kasih sayangnya itu mengajar saya untuk santun dan berkongsi getarannya sesama manusia.

Tangisan mungkin penting untuk melahirkan penyesalan dan rasa ralat kerana tidak berkesempatan berbuat sesuatu yang seharusnya kita lakukan semasa manusia itu masih hidup di dunia. Namun ketika opah pergi, dia meninggalkan saya dengan memori indah yang menyerlahkan bahawa manusia adalah entiti kecil yang harus memaknakan hidupnya. Kalaupun bukan untuk manfaat sendiri, kita harus membuatkan orang lain rasa bahagia. Dalam proses itu, tidak perlu ditimbulkan istilah kita sedang sengsara.

Terima kasih opah. Saya sentiasa mendoakan agar dia diberikan rahmat dan kemudahan dalam kehidupannya di sana. Saya akan menantikan waktu untuk kita dipertemukan semula suatu hari nanti.

Kain yang tidak berjahit itu saya tutupkan kembali. Lantas, rumah berdinding hijau teman saya ini saya tinggalkan dengan ucapan takziah selepas selesai bersalam-salaman. Lalu saya pun pergi.

Mati. Ia frasa indah buat manusia yang mengerti.

Jumaat, Disember 12, 2008

Kejayaan Itu Apa?

Catatan berikutnya adalah catatan lewat. Sebelum membacanya, anda harus tahu bahawa pasukan bola sepak Malaysia telahpun tewas dan tersingkir daripada persaingan merebut kejuaraan Piala Suzuki AFF 2008 yang diadakan di Phuket, Thailand.

-------------------------------------------------------------------------------------

Teman saya, seorang pengkagum hoki yang dulunya merupakan penyerang lincah di padang bola menyatakan kemarahannnya terhadap pasukan bola sepak Malaysia.

Rasa berangnya membuak-buak tatkala melihat Malaysia diperbodohkan hasil kesilapan penjaga golnya yang tersalah jangkaan. Dalam perlawanan menentang Vietnam di Piala Suzuki AFF 2008 itu, Malaysia tumbang dengan dua gol berbalas tiga.

Jujurnya, saya juga tidak mengharapkan apa-apa daripada pasukan bola sepak Malaysia. Bila diberitakan tentang kekalahan itu, saya hanya perlu menambahkan koleksi piala kekalahan dalam almari kaca yang kabur bola sepak Malaysia.

Tetapi kehampaan tidak akan membantu mempositifkan keadaan. Kemarahan pula adalah duri yang hanya mampu meninggalkan bisa dan melompongkan keyakinan kita terhahadapnya.

Yakinlah bola sepak Malaysia mampu bangkit kembali. Kalaupun tidak, kita harus tahu bahawa ukuran kejayaan bukan hanya dikira pada jumlah kemenangan yang diperoleh di pentas dunia. Lebih jauh daripada itu, kejayaan adalah keunggulan cita-cita dengan segala pahit maung yang dilalui untuk mencapainya!

Success is a journey, not a destination
-Ben Sweetland

Yeop

Dalam bahasa yang mudah, beliau seorang yang sempoi. Bertemu mata memang tidak pernah, namun saya tetap merasakannya begitu. Dengan jadual yang padat hampir setiap hari, beliau lekas sedar bahawa rakyat punya kehendak untuk disantuni serta dilawati.

Tidak mudah untuk melihat orang besar sepertinya turun ke ceruk-ceruk desa. Dan kejanggalan juga sedikit terasa bila protokol dan formaliti tidak lagi menjadi persoalan utama. Ciri ini, bukan saja telah merajai hati rakyat, tetapi juga membawa perspektif baru kepimpinan bagi rakyat yang melihat.

Pemimpin seperti inilah yang sudah lama saya nantikan. Tanpa perlu tahu samada beliau efisien atau tidak dalam tugasannya, lagaknya sudah cukup untuk membuatkan hati rasa berbunga. Rakyat tidak berkeinginan kepada kemewahan dan harta, tetapi cukup dengan hanya mempunyai seorang pemimpin yang boleh menunjukkan arah tuju yang benar serta mulia.

Tahniah YAB Menteri Besar!

Usai Isyak

Usai Isyak, kertas putih kosong itu saya isikan dengan cita-cita. Lakaran graf perkembangan usia saya kali ini kelihatannya lebih jelas jika mahu dibandingkan dengan lakaran-lakaran sama yang pernah saya lakukan sebelumnya.

Saya melihat harapan yang melangit tinggi dalam lakaran itu. Tidak pernah terjadi, matlamat itu saya catatkan satu persatu untuk dibaca oleh orang lain. Tapi kali ini, sejarah mencatatkan bahawa ianya telah berlaku dan saya harus lebih yakin tentang itu.

Tentu saja, saya harus mulakan ia dengan harapan. Horizon baru Amerika juga membuktikan bahawa harapan, walau semustahil manapun ia, tetap mampu digapai dengan azam dan keyakinan yang jitu. Lebih penting daripada itu, Obama menggesa rakyat Amerika keseluruhannya untuk mempercayai diri sendiri. Lanjutan kepercayaan itulah yang membolehkan kita melihat Obama mencipta gelombang perubahan baru yang tidak pernah kita fikirkan akan terjadi.

Manusia, bila tiba masanya, tetap akan mati. Melihatkan kepada graf yang saya lakarkan di penjuru masjid tadi, jelas sekali saya mahukan kematian yang bererti. Saya punya matlamat agar saya boleh mengemudi kehidupan dengan cermat. Moga jalannya nanti dipermudahkan Tuhan.

Anda pula bagaimana? Adakah kehidupan semata-mata untuk memenuhkan masa dengan ria, noda dan dosa? Atau kita sama-sama punya matlamat untuk hidup dengan bermakna?

Khamis, Disember 11, 2008

Krisis!

Saya selalu percaya bahawa idea yang tidak jemu disanggah akan dapat mematangkan dan membantu menjelaskan pemikiran. Titik temu yang dicari belum tentu dapat ditemui. Hal itulah yang akan membantu proses timbang tara dan sikap kritis dalam mencari sebarang penyelesaian.

Perkara ini boleh saja digelar sebagai krisis. Namun saya lebih gemar menamakannya sebagai kebenaran yang pahit.

Ya. Ia kebenaran yang pahit kerana percanggahan tidak lagi dilihat melalui sudut pandang positif. Kesannya nanti, kita akan selalu merasa betul tanpa mahu merasa salah kerana tiada lagi pihak yang mahu menyanggah!

Undang-Undang Gila!

Penolakan terhadap akta zalim ISA adalah persoalan prinsip. Apa saja yang bertentangan dengan semangat keadilan sehingga dilihat tidak lagi mengangkat isu hak dan kebenaran, harus ditolak tanpa kompromi.

Tiada sebab untuk seseorang itu ditahan tanpa peluang untuknya membela diri. Selain tidak menghormati proses pengadilan yang jujur dan telus, ISA juga meragut kepercayaan dan keyakinan terhadap pihak-pihak berwajib yang terlibat sama.

Atas dasar itu, pengamal akta yang zalim seperti ini selama-lamanya tidak akan dilihat dengan pandangan yang mulia. Usaha membangunkan sesebuah bangsa tidak harus lari dari hakikat bahawa kekuatan bangsa itu harus diupayakan dulu dengan mengangkat nilai-nilai kemanusiaan dan agama yang melatarinya. Tindakan yang bercanggah dengan nilai-nilai ini hanya akan mengundang kritikan dan rungutan masyarakat terbanyak.

Dan berita ini tidaklah terlalu menggembirakan. Ia masih berlegar pada permasalahan ranting yang tidaklah terlalu signifikan kesannya. Pokoknya mudah, yang harus diubah ialah institusi yang mengawal prosesnya. Lebih tepat, institusi itu ialah kerajaan yang berkuasa.

Ada sesiapa yang berani untuk mengherdik kebobrokan ini?

Berita Kepada Kawan



Mendekati ulang tahun tragedi Highland Towers sambil menginsafi apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa, lagu ini wajar kita renungkan kembali. Ada mesej yang jelas untuk kita fikirkan. Semoga kita tidak lagi lupa, Tuhan itu berkuasa.

Salina

Lewat petang tadi, Salina akhirnya selesai ditelaah. Magnum opus A. Samad Said ini tidak hanya membawa saya kepada realiti, tetapi juga menyentuh kedalaman sebenar permasalahan sosial masyarakat.

Ada yang tempang pada personaliti Salina. Bagi saya, gadis sepertinya tidak harus terpesona dengan kebobrokan cinta. Ia harus lebih utuh mempertahankan maruah dan berani berdepan dengan kejijikan hidupnya.

Apapun, Salina yang digambarkan penulisnya tetap seorang gadis lemah. Meski ia berjiwa besar tatkala menyalakan harapan supaya Hilmy terus belajar, Salina tidak mampu menghadapi kebejatan hidupnya sendiri. Ia sentiasa didera Abdul Fakar walaupun lelaki itu ditatangnya dengan penuh kasih sayang dan kemesraan.

Personaliti Salina wajar diteladani dari sudut keazamannya untuk terus hidup. Tatkala ia nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur, secara tidak langsung harapan baru mula wujud. Mungkin saja ia terlambat, namun tekad yang diserlahkannya itu seharusnya ada pada diri setiap manusia. Kita boleh saja diperbodohkan, tapi akan tiba masanya untuk kita bangkit semula dengan penuh kekuatan.

Apa yang nyata, Salina membuatkan fikiran pantas mencerap keadaan dan peristiwa. Mungkin kini keadaannya juga sama. Gadis-gadis di belakang mati tetap menjual tubuh tanpa ada kekesalan yang mampu memaknakan hidup mereka. Dan ini harus menjadi tanggungjawab setiap dari kita untuk tidak membiarkan kemiskinan dan kesusahan terus menjadi raja. Ayuh hulurkan tangan sebelum ramai lagi yang terjebak dalam sisi gelap kehidupan seperti yang terpaksa dilalui Salina.

Sekali lagi, semuanya berlaku atas nama cinta. Dan mungkin juga catatan ini akan sedikit membantu untuk kita memahami cinta yang abadi. Semuanya harus kembali kepada kita. Cinta itu apa dan untuk siapa sebenarnya?

Sang Murabbi

Selepas dikecewakan kehambaran penceritaan Ayat-Ayat Cinta, nafas baru yang dihembus melalui Sang Murabbi benar-benar memberi erti. Mulanya dulu, Ada Apa Dengan Cinta yang pertama memberi rasa. Ia diperkenalkan kepada saya oleh kakak.

Ada kelainan yang dibawa filem baru ini. Memuntahkan kembali ingatan pada sisi terpuji sosok seorang pendakwah bukanlah hal yang mudah. Semuanya harus kelihatan sempurna tanpa cela. Walaupun tidak semua manusia mengakui bahawa Tuhan itu Esa, sisi mulia Rahmat Abdullah bagi saya layak untuk diteladani meski ia tidak dilihat daripada sudut pandang agama.

Ia menyantuni segenap masyarakat. Bermula dengan sapaan lembut terhadap jiran-jirannya sehinggalah ia terpilih ke Dewan Permesyuaratan Rakyat, Rahmat Abdullah bagi saya merupakan lambang konsistensi dan membawa contoh keazaman yang sangat tinggi. Risalah Islam yang disebarkannya tiada lain untuk mengangkat martabat umat.

Pengajarannya pelbagai. Catatan ringkas seperti ini tidak mungkin mampu mengungkap makna yang tersirat dan berselirat dalam perjalanan panjang Syaikh Tarbiyah ini. Dan di akhirnya, saya melihat tangisan. Bagaikan hujan yang juga sebenarnya sedang turun saat itu, pemergian Rahmat Abdullah ditangisi dan dengan berat dibiarkan pergi.

Ya. Semuanya kerana ia adalah Sang Murabbi.

Seorang guru, juga sahabat yang tidak pernah membiarkan hidupnya kosong tanpa isi untuk mendidik umat ke arah agama yang ia cintai.

Al-Fatihah buat Ustaz Rahmat Abdullah.

Kuasa Rakyat!

Bicara tentang kuasa rakyat adalah perkara serius yang memerlukan ketelitian yang tinggi. Rakyat, suatu entiti kuasa yang tidak terlihat oleh kita. Bila persoalan kuasa ditimbulkan, pandangan selalu akan hanya terarah kepada cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Keadaan ini meninggalkan satu lompong ketidakpedulian yang mesti ditangani segera. Fakta bahawa ketiga-tiga cabang negara yang disebut tadi mempunyai kuasa terhadap pemerintahan negara tentunya benar tetapi kuasa rakyat dalam prosedur pemilihan dan pembentukan rangka pemerintahan itu pastinya lebih penting.

Hal itulah yang membuatkan seorang pemimpin tidak boleh ketandusan naluri untuk merasai dan mendengar suara rakyat. Pemimpin yang tidak pernah tahu bagaimana perasaan rakyat adalah pemimpin yang hanya menunggu masa untuk diterajang dari ketinggian kuasa.

Namun begitu, pembentukan negara berdasarkan teori populis untuk memenangi hati rakyat juga tidak boleh berlaku dengan melulu. Walaupun rakyat punya kuasa penentu yang besar untuk menentukan kelangsungan pemerintahan seseorang pemimpin, pemimpin tersebut juga terbeban dengan keutamaan untuk mempertahankan prinsip dan dasar-dasar penting negaranya.

Keinginan terhadap sokongan tidak boleh membutakan mata seseorang pemimpin terhadap keutamaan hak dan tanggungjawab yang dipikulnya. Oleh itu, pengimbangan terhadap keinginan rakyat dan keperluan negara adalah perlu dan mesti sentiasa dipelihara.

Kuasa rakyat, walau sehebat manapun ia harus berlaku dalam proses keadilan yang tulen dan dengan penuh kesedaran tentang kesan-kesan langsung yang mengekorinya. Ini membuktikan betapa pentingnya membina rakyat yang luhur dan jelas jatidirinya sekaligus disokong oleh tindakan-tindakan bernegara yang mantap oleh seorang pemimpin bagi memastikan keamanan dan keharmonian sesebuah negara sentiasa terbela dalam sikap toleransi matang setiap cabang yang wujud di dalamnya.

Rabu, Disember 10, 2008

Mantera Gila

Entah mantera apa yang dibaca oleh para pendokong People’s Alliance for Democracy (PAD) di Thailand. Saya juga tidak tahu kuasa apa yang telah merasuk mereka. Jalan-jalan saya di Siam lama dahulu tidak pernah menemukan tanda-tanda keberanian sebegini besar hebatnya.

Hormat!

Rakyat Thailand tidak lagi gentar berhadapan dengan aparat kuasa yang bagi mereka telah diseleweng dan tidak lagi tulus. Tindakan merempuh dan mengambil alih pemerintahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi membuktikan kuasa rakyat itu keramat.

Telah saya nyatakan, pemimpin tidak boleh tandus naluri untuk merasai keperitan rakyat. Dan kerana hal ini, Somchai Wongsawat hanya menanti masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keempukan kerusi perdana menteri yang didudukinya.

Langsung saya teringat Himpunan Bersih. Walaupun kekuatannya jauh untuk menyamai kebangkitan rakyat Thailand, persamaannya jelas. Keberanian untuk menentang adalah penting untuk meluruskan kembali penyelewengan elit penguasa. Cumanya di Malaysia, kesopanan kita terlalu suci untuk disentuh sekaligus membuatkan kita lebih senang untuk tidak terlibat.

Itu hakikat. Namun saya tetap percaya bahawa akhirnya, keadilan pasti akan menang. Tapi saya tidak mahu ia berlaku dalam keadaan yang menggetirkan seperti Thailand. Namun untuk itu, kita memerlukan sebuah kerajaan yang matang. Adakah kerajaan seperti ini wujud di Malaysia? Atau saya sedang mengimpikan sesuatu yang gila? Perlukah kita juga bermantera untuk mencapainya?

Pengajaran Pasca Sahifah

Jauh dari persoalan fitrah dan keinginan yang harus dipenuhi, kita diperangkap suatu kuasa dengan nilai yang sangat mulia. Dalam keadaan ini, tatacara hidup tidak mungkin mampu bebas tanpa apa-apa kekangan. Kita harus juga mengerti bahawa kekangan itulah yang menyempadani kehidupan dari wilayah kelam kemanusiaan.

Hari ini, hakikat ini masih tidak dimengerti malah langsung tidak cuba difahami. Kita lebih gah dengan slogan-slogan dongengan yang menjustifikasikan keadilan dan kebebasan dengan kebebalan fikiran. Nilai dicipta untuk mewujudkan suatu bentuk perjalanan kehidupan yang berpaksikan keteraturan dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Hal inilah yang mencorak masyarakat dan menghindar mereka daripada terjerumus dalam gaung kebinasaan.

Sejak termeterainya Sahifah Al-Madinah, bukan sedikit perdebatan timbul. Semuanya cuba merungkai keperluan masyarakat dicorak dengan kekangan dan bukan membiarkan mereka lepas bebas sehingga akhirnya menemui kehancuran dalam keadaan yang pelbagai. Sehingga kini, persoalan ini masih tidak sepenuhnya dihadam oleh khalayak. Saya yakin ia bukan kerana persoalan ini sukar tetapi tentu ia disebabkan oleh penafian yang cuba dikedepankan tentang kesucian agama.

Saya wajib bersyukur pada Tuhan kerana nikmat agama ini yang dikurniakanNya menjamin masa depan yang lebih cerah terlihat jalannya. Kita tidak perlu mati sebelum tahu bahawa sesuatu yang diimani itu sesat kalau sejak mula lagi kita jujur dengan pandangan dan kekuasaan akal yang dianugerahkan!