Selasa, Mei 29, 2012

Aneh

Saya ditegur tatkala membaca di sebuah toko buku kelmarin. Aneh, di sebuah ruang yang seharusnya membenihkan minat pada ilmu dan pengetahuan, membaca jadi aktiviti asing yang terlarang. 

Lebih pedih, saya disindir seolah datang untuk mengemis dan terlalu sengkek. Kini faham lah saya, maka tak lagi hairan mengapa buku tak menghadirkan kebijaksanaan -- ia hanya jadi alat bisnes.

Kalau tak mahu saya membaca, sila buka toko kain atau karpet.

Ahad, Mei 20, 2012

Taat

Saya selalu percaya bahawa iman, taqwa atau apa jua kata yang seerti dengannya tak diukur dengan sekerap mana kita mensurahkan Qur'an. Meski tak salah menyulam tiap kata dengan pesan dan pedoman qur'ani, sebaiknya ia jadi penyuluh, bukan hanya bebelan.

Demikian juga halnya dengan nilai, prinsip atau apa jua kata yang seerti dengannya. Saya lebih senang jika semangatnya yang kita serap, bukan hanya laungan label-label kosong yang hampa nilai -- berulang kali meniti bibir, tapi masih gagal memberi kebijaksanaan.

Begitu kiranya kata sarjana, "it's how to stay true to the conviction."


Lat

Lat adalah bahagian hidup saya ketika kecil. Abah punyai hampir kesemua koleksi kartunnya termasuk keratan yang tersiar dalam akhbar. Lukisannya yang santai dengan latar budaya dan masyarakat setempat tak pernah menjemukan untuk diulang baca.

Kartunnya dengan mesej kemajmukan dan silang budaya -- pasti ada watak Cina, Sikh dan India -- awal-awal lagi menyerap semangat perpaduan. Latarnya juga menarik dengan gambaran aktiviti dan keadaan 50-an - 60-an khususnya di sekitar negeri Perak.

Tahun lalu, saya sempat ke Istana Budaya menonton teater Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal. Tentu saja saya teruja dikisahkan dengan kembaranya sedari awal mulai melukis sehingga lah memahat nama sebagai seorang kartunis bergengsi dan ternama.
 
Petang tadi, tatkala berjeda melawat tinggalan jentera melombong bijih timah yang sering dilakar dalam kartunnya, saya terkenang Lat.

Rabu, Mei 16, 2012

Guru

You cannot teach a man anything; you can only help him find it within himself.
-Galileo Galilei

Selasa, Mei 15, 2012

Prinsip

Hampir 24 jam setelah media mula menyiarkan berita mogok lapar tahanan Palestin dalam penjara Israel, kita melihat euforia membuak di ruang maya. Dek tekanan antarabangsa yang berterusan, tuntutan para tahanan terpaksa dipenuhi oleh regim Zionis.

Ironinya di Malaysia, berita mogok lapar tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting seolah tak bersambut. Langsung tak terdengar suara simpati. Tumpuan kita lebih terarah untuk membebaskan Quds daripada mendepani kezaliman di tanah air sendiri.

Bukan lah mahu meremehkan kesedaran rakyat terbanyak, tapi hal seperti ini cukup menyedihkan. Kepedulian dibatasi oleh sentimen agama -- perseteruan langka yang entah bila akan berakhir; bukan iltizam memartabat karamah insan dengan kebebasan.

Prinsip kita seharusnya jelas dan muga ada dhamir yang tersisa.

Mogok

Di Israel, lebih dua ribu tahanan Palestin bermogok lapar sebagai bantahan kepada administrative detention yang dikenakan pihak penjara. Sebahagiannya telah pun memasuki fasa ekstrem mencecah 77 hari tanpa makanan. 

Di Malaysia, laporan oleh SUARAM menyebut bahawa sepuluh tahanan ISA turut bermogok lapar menuntut pembebasan daripada penahanan zalim tanpa bicara. Sehingga semalam, ia memasuki hari ke-empat yang penuh dengan derita.

Di dunia mana pun, kita bersolidariti demi kebebasan dan keadilan.

Ahad, Mei 13, 2012

Ibu

Tentunya tak terumus kesimpulan tentang ibu. Kalau pun ada quotes yang menarik, ia tak mungkin dapat mengertikan ibu dan segenap kasihnya yang mendalam. Momen sebegini, kata terasa sangat kosong dan terbatas.

Begitu pun, ibu adalah sosok mulia yang tak terbanding. Tanpa rasa bahagia yang diilhamkan ibu, jagat raya ini adalah medan duka-lara yang cukup perit. Tak terbalas jerih dan keringat ibu yang cukup tekal mendewasakan.

Tuhan, ini sebuah kesaksian buat ibu yang selayaknya ke surga-Mu.


Sabtu, Mei 12, 2012

Fana



My Way mungkin adalah antara melodi terindah yang pernah tercipta dalam seluruh jagat raya. Tak cukup dengan hanya getar suara Frank Sinatra, gesekan biola-nya Andre Rieu ini benar-benar mengasyikkan!

Rausyanfikir

Entah bila saya mula mengenali Ali Shariati. Yang pasti, sosoknya itu, dengan aktivisme intelektual yang mencerahkan rakyat Iran menentang regim Shah Iran begitu menginspirasi. Lewat pemikir lulusan Sorbonne ini juga lah saya meramahi kata mustadhafin -- kaum tertindas.

Tapi sayang, ibrah babadnya tak terilham pada sekian ramai manusia yang gah membawa gelar cendekiawan dan intelektual. Bukan lagi rahsia dalam keadaan rakyat dizalimi, lahir ramai sekali golongan berilmu yang tunduk patuh tanpa soal. Lalu mereka ini digelar 'kangkung'.

Untuk beberapa hari berikutnya, saya tak akan peduli pada godaan dunia dan seluruh isinya. Biar lah apa pun yang terjadi; taufannya angin bawa rindu Layla, runtuhnya langit oleh gemersik Majnun dll, saya hanya mahu menghabisi Ali Shariati: Biografi Politik Intelektual Revolusioner.

LGBT

Sesi diskusi bukunya di Salihara diganggu kelompok Front Pembela Islam (FPI) selain sesi yang sama di Universitas Gadjah Mada (UGM) dibatalkan. Begitu lah nasib Irshad Manji, penulis asal Kanada yang juga aktivis LGBT.

Di Malaysia, nasibnya tak berbeda. Dua sesi, satunya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan toko buku Borders juga dikecam. Kita pun mendengar komentar tajam antara lain tak mahu senasib dengan kaum-nya Nabi Lut.

Adakah kerana itu kelompok ini langsung tak berhak punyai suara?