Isnin, Januari 21, 2013

Cerut

Cuba, selain dikenal orang sebagai sebuah negara yang dibangunkan lewat revolusi, juga adalah pengeluar cerut terbaik dan paling berkualiti di dunia. Yang mengejutkan, rahsianya -- puisi.

Begitu lah sastera dimanipulasi. Di salah sebuah gedung pembuatannya, sejumlah puisi dan prosa indah akan dibaca tiap masa. Ia jadi perangsang keenakan bau serta rasa cerut.

Kita teringat sosok Che Guevara; kita terhimbau puisi Pablo Neruda.

Rabu, Januari 16, 2013

Kembiri II

Bawani dihina dan yang memualkan, hal itu disambut riang dengan tepukan. Kalangan mahasiswa seakan rela melihat hujah dibungkam dengan nista. Tambah malang, medannya, universiti.

Universiti kini memang telah hilang makna. Kita tak lagi merasa ruh keilmuan dan dorongan untuk berfikir. Sebaliknya, ia hanya sebatas kilang penghasil tenaga kerja. Ilmu, langsung nir nilai.

Tapi apa lacur, sebahagian kita memang harus berjujur bahawa tujuan ke universiti adalah demi kertas bernama ijazah. Kemudian, kita pun bekerja dan mengumpul wang untuk berkahwin.

Ini tak aneh, malah, sebagai budaya yang sedang membarah, cara fikir seperti itu rata-ratanya diterima umum sebagai hal yang absah. Tanggungjawab keilmuan tak langsung cuba dimengerti.

Momen sebegini, kita pun mengenang Freire, Maududi dan Shari'ati.

Selasa, Januari 15, 2013

Wahana

Dalam basa-basi sebelum mendeklamasikan Di Atas Padang Sejarah di #KL112 lalu, Pak Samad berterima kasih kepada rakyat kerana memberi maruah kepada "orang baca puisi."

Di tangannya, puisi adalah senjata. Ia jadi wahana yang mencitrakan detak jantung serta denyut nadi umat melawan regim zalim dan korup. Sastera diranumi bahasa perlawanan.

Kekadang, kita pun jatuh hairan bagaimana ia, pak tua dengan usia lebih separuh abad, lebih bermotivasi untuk menggemakan hak dan kebenaran melalui ekspresi kesusasteraan.

Apalagi kala kalangan muda kerap meleleh; "kasih, hati-ku rintih."

Kembiri

Saya sempat menonton klip hangat yang khabarnya dirakam dalam sebuah forum mahasiswa di UUM tentang telingkah perihal politik mutakhir yang menyeleweng.

Menurut saya, ia memprihatinkan. Suara mahasiswa tak hanya cuba dikekang, malah pemikiran mereka turut dikembiri dalam proses pembodohan yang amat jelek.

Ini sebetulnya bukan lah hal baru di institut pendidikan awam. Ia merupakan rahsia umum yang didiamkan dan ditentang dengan silent protest oleh kalangan waras.

Apa pun, dukungan saya untuk sang pemberani; salut untuk Bawani!

Isnin, Januari 14, 2013

Diari

Salaam.

Dewi terpuja dan teman-teman terhormat,

I

Pasca #KL112 hujung minggu lalu, saya sebetulnya masih bergelut untuk pulih daripada serangan sunburn dek berlama di bawah terik mentari dalam rapat di Stadium Merdeka.

II

Jujurnya, saya terasa bodoh mengulit akhbar perdana. Terlepas daripada cubaan untuk menghina diri sendiri, ia tetap saya selak untuk menimbang-tara kebobrokan media.

III

Tunjuk rasa kali ini hanya sebuah show of force umumnya. Tapi saya rasa bersalah dengan al-Qardhawi andai tak hadir. Pesannya lewat Thaurah Sha'ab, 'ulama juga adalah 'amilin.

IV

Iltizam kini makin utuh; perubahan tak terelak; ini kali lah, Malaysia!

Khamis, Januari 10, 2013

Bela

Tapi mereka siap mati dengan harapan bisa ke surga bagi diri sendiri, dan bukan dengan harapan untuk memenangkan orang-orang yang mereka bela di dunia.
-Goenawan Mohamad, Catatan Pinggir

Selasa, Januari 08, 2013

Gadis II

Jyoti Singh Pandey -- kini dunia tahu apa namanya. Ia, gadis yang beberapa minggu lalu dijadikan catalyst pencetus protes besar di India, mungkin kini tersenyum di surga.

Kita tak mungkin mengerti saat ia, dengan derai airmata, memberi kesaksian kepada polis di katil hospital. Kata bapanya, pengkisahan itu cukup menghiris dan meremukkan.

Pergi lah dengan damai, kami akan menghidupkan mimpi-mu, Jyoti.

Sabtu, Januari 05, 2013

Kanang

Saya cuba membayangkan waktu itu; di sebuah belukar tebal, soldadu bertempur sengit. Darah mengucur dari tampang yang gugur tertembak. Pilihannya, lari menjauh atau mati sebagai pahlawan.

Kanang anak Langkau, hero saya sejak di bangku sekolah, memilih yang kedua. Tapi nyawanya tak berakhir di hujung senjata. Meski tubuhnya ditembusi peluru, ia tetap kembali bangun dan melawan.

Kisah sakti itu tak terlupakan. Sejak pertama kali membacanya, ia kekal kukuh dalam ingatan. Dan sosoknya, bersekali dengan motto agi idup agi ngelaban, adalah sihir yang selalu saja menyemangati.

Pahlawan, mungkin lahirnya tanpa rasa pasrah; apa betul, Kanang?

Khamis, Januari 03, 2013

2013

Mujur saja telahan kiamat itu meleset. Andai benar jagat-raya ini berakhir tahun lalu, saya akan jadi sangat penasaran. Sebabnya, ada azam serta sasaran peribadi yang telah sekian lama belum tertunai.

Hal itu akan dilanjutkan. Kerap-kali ia terhenti dek pelbagai desakan lain yang tak terelak. Tahun ini, saya wajibkan diri menghabisi dua karya; puisi agung Homer, Iliad dan epik India purba, Mahabharata.

Insha-Allah, begitu lah cadangnya. Tiga yang lain sedang dikerjakan;

1 - The Question of Palestine, Edward Said

2 - The Vision of Islam, Murata & Chittick

Selasa, Januari 01, 2013

Gadis

Kita mengenang gadis itu dengan jiwa yang luluh. Ia dirogol dengan buas. Agaknya, ketika dikasari, ia meronta. Tubuhnya melemah tak berdaya sebelum dilempar ke jalanan.

Kita takkan tahu deritanya. Diberitakan, organnya rosak teruk entah ditusuk dengan apa. Kalau pun ia melolong, tentu tak dipeduli kalangan sialan yang menghenyaknya.

"She was most happy," bapanya bilang, "when she got a chance to heal somebody's wounds." Tapi bila gadis itu yang dilukai, kita tak punya peluang untuk membalas budinya.

Manakala kemanusiaan makin nazak, kadang kami juga tak berdaya.