Khamis, Disember 17, 2009

Qasidah al-Burdah

Mawla ya salli wa sallim daa'iman, abadann
'Ala habeebika khayri khalqi kullihimi.

Muhammadun sayyidul kawnayni wath-thaqalayn,
Wal fareeqayni min 'urbiw-wa min 'ajami.

Nabiyyunal amirun-nahi fala ahadun,
Abarra fi qawli la minhu wa la na'ami.

Huwal habeebul-ladhee turja shafaa'atuhu
Li kulli hawlim-minal ahwali muqutahimi.

Da'a ilallahi fal mustamsi koona bihi
Mustamsi koona bi hablin ghayri munfasimi.

Faqan nabiyyina fi khalqiw-wa fi khuluqin
Wa lam yudaanuhu fi 'ilmiw-wa la karami.

Famablaghul 'ilmi feehi annahu basharun
Wa annahu khayru khalqillahi kullihimi.

-Imam al-Busiri

Selasa, Disember 15, 2009

Gagasan

Hujung minggu lalu, saya sempat menyertai Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Program yang dianjurkan oleh Himpunan Keilmuan Muda(HAKIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) ini cukup mengujakan.

Manakan tidak, sepanjang mengenali sarjana besar ini, saya hanya mampu menatap dan mentelaah pemikirannya lewat karya-karyanya sahaja. Setelah lama menyepi sejak aparat kuasa menidakkan usahanya, al-Attas muncul kembali menyuntik pesan dan memperkukuh pemikirannya tentang pandangan alam Islam.

Sesi seminar yang diisi oleh para ilmuan muda didikan al-Attas tatkala ia masih di International Institute of Islamic Thought and Civilization(ISTAC) terasa segar dan bertenaga. Melalui kefahaman mendalam mencakup sisi epistemologi isu yang dihujah, mereka membedah setiap hal dengan tuntas dan wibawa.

Pada sebelah malamnya, al-Attas mengambil ruang wacana. Di sisi orang kanannya, Prof. Wan Mohd Noor, ia memperjelas faham agama melalui pandangan alam Islam yang sebenar dan tulen seperti yang dibahaskan dalam karya-karyanya yang terdahulu. Khalayak malam itu khusyuk, meski kamera tak berhenti dipetik.

Saya turut gembira kerana menjadi sebahagian daripada sejarah. Memang, bunyinya keterlaluan. Tapi ia wajar untuk mengistilahkan sumbangan bermakna al-Attas kepada dunia Islam lebih-lebih lagi mengenangkan idea Islamisasi Ilmu yang dipeloporinya. Dalam usia 78 tahun, ia tampak bersemangat dan ceria.

Moga ada lagi kesempatan lain buat saya untuk menikmati waktu-waktu indah bersama sarjana besar sepertinya. Melihatkan minat dan keterujaan khalayak malam itu, saya terus berharap agar apa yang diimpikan oleh al-Attas terus mengakar - mencengkam butir tanah, dan bertunas mencapai dada langit.

Dan malam itu, the unsung hero ini mampu berbangga. Tradisi ilmu dan keintelektualan yang dibinanya sejak puluhan tahun lalu kini bersambut. Ratusan anak muda tergugah, seperti juga khalayak selainnya dalam takjub. Demi sebuah gagasan, al-Attas diangkat sebagai pahlawan!

Jumaat, November 27, 2009

Pengorbanan

Hati sebak. Dada pula sesak. Tinggal lagi hanya mata yang tak bergenang. Saya cuba sedaya mungkin menahan tangis. Mujur tidak tewas. Andai sebaliknya, kemaskulinan(haha!) yang lama dipertahan pasti terjejas di depan emak dan kakak.

Manakan tidak, apa yang ditonton menggugah jiwa. Watak yang dilakonkan besederhana, tetap mampu bergerak selari dengan emosi yang dibawa. Ia berkisah dengan ringkas walau ada cliche yang mengiringi sebuah drama Melayu sepertinya.

Melaluinya, saya melihat pengorbanan dari suatu sisi yang jarang diteroka. Pengorbanan dicungkil dari sudut jiwa yang terselindung. Ia hadir dengan kepayahan, bukan dengan tawa dan senyum menyeringai, tapi dengan keringat dan airmata.

Kesedaran terus menyentak. Dalam gema takbir, saya terasa kerdil. Apatah lagi jika diimbau memori Ibrahim dan Ismail. Jauh, dan mungkin juga keterlaluan untuk disemat menjadi azam. Hina sungguh rasa diri.

Moga pengorbanan dapat kita maknakan sebaiknya. Salam Aidiladha.

Khamis, November 26, 2009

Keamanan

Sepi dinihari menemukan saya dengan sejumlah fakta menarik tentang penentangan terhadap peperangan. Lewat perang Vietnam beberapa dekad lalu, masyarakat khasnya di Amerika mula membudayakan protes terbuka bagi tujuan itu. Hal ini dilakukan dengan pelbagai cara yang akhirnya mengundang kesedaran dan simpati majoriti masyarakat.

Tragedi di Kent State University membuktikan betapa hasrat murni yang mahukan kedamaian tidak mudah untuk dicapai. Ia diburukkan lagi dengan sikap aparat kuasa yang gagal mentafsir makna kemanusiaan. Justeru, dalam gelojoh dan strategi tempang untuk membungkan suara penentangan, ia terpaksa meragut nyawa sebagai korban.

Entah bila kebejatan ini akan berakhir. Dewasa ini, ia bukan lagi suatu isu yang tersudut, malah telah menjadi gempita di seantero dunia. Ketegangan demi ketegangan yang berlaku tak kunjung selesai. Padahal, jutaan manusia telah lebih dulu pergi diakibatkannya. Air mata hampir kering dan terhapus demi mengimbau darah yang tumpah.

Dan saya akan terus mengulang dengar bait lagu John Lennon, Give Peace A Chance. Biarpun lagu itu sering mengisi slot demonstrasi dan protes anti perang, ia seakan jauh daripada kepekakan telinga pemimpin dunia yang sombong. Kuasa terus-terusan ingin dicari dengan cara mengganyang negara dan kelompok yang lemah.

Namun ia pasti akan berpenghujung. Kita hanya perlu menyedari sebuah hakikat bahawa keamanan, juga seperti cinta, ia memerlukan peluang!

Rabu, November 25, 2009

Menyeru Altantuya

Pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh Balasubramaniam, penyiasat persendirian dalam kes pembunuhan Altantuya sungguh mengujakan. Saban malam, saya menanti laman Malaysia Today keluar dengan maklumat-maklumat baru mengenainya.

Saya pasti ramai yang panas punggung di singgahsana kuasa. Manakan tidak, apa yang telah dan cuba dibongkar Bala secara jelas mengaitkan keterlibatan orang-orang besar pentadbiran kerajaan. Semuanya menuju kepada kesimpulan, konspirasi!

Aduhai, menyaring maklumat sebegini cukup payah. Dengan bukti demi bukti yang dibongkar, misteri kematian Altantuya hampir pasti akan terkuak. Penceritaannya cukup suspense dan penuh drama. Mungkin juga ia lebih merangsang daripada itu!

Sejak mula, saya memang ragu dengan kes ini. Banyak persoalan yang tak terungkap secara tidak langsung menutup keadilan daripada terlaksana. Pun begitu, kebatilan pasti musnah. Nah, waktu itu, Altantuya akan kembali bernyawa menuntut bela atas kematiannya yang penuh dengan dusta!

Jana Gana Mana

Sejak beberapa hari kebelakangan, saya kerap memulakan hari dengan mendengarkan Jana Gana Mana. Berbekalkan melodi yang memikat, lagu kebangsaan India ini lekas menyihir pendengaran. Ya, mungkin saja bunyinya derhaka kerana tidak memutarkan Negaraku sebagai pembangkit semangat.

Bagi saya, melodinya cukup indah. Malah ia jauh meninggalkan lagu-lagu balada picisan yang kerap dimainkan di radio kini. Apatah lagi jika mengenangkan bahawa ia ditulis oleh Rabindranath Tagore, orang Asia pertama yang berjaya menerima Anugerah Nobel Sastera pada tahun 1913.

Mungkin keterlaluan untuk menyatakan bahawa lagu ini secara tidak langsung menyuntik patriotisme melebihi lagu kebangsaan negara saya sendiri. Sebuah lagu kebangsaan bukan hanya untaian kata diiringi muzik yang bergetar, ia juga terbeban dengan persoalan maruah dan kebanggaan.

Beberapa orang teman mempertikaikan tindakan saya mengangkat lagu ini. Kata mereka, seburuk manapun ia, akhirnya itulah yang acapkali dinyanyikan tanda keharmonian dan keutuhan dalam sejarah negara yang sebegini jauh. Khabar tentang Negaraku yang diciplak daripada Mamula Moon langsung ditutup.

Biarlah, saya tak peduli mengenainya. Sebagai sebuah negara terhormat, saya tidak dapat menerima andai benar dakwaan bahawa lagu kebangsaan negara saya sendiri merupakan sebuah lagu ciplak. Itu penghinaan terbesar seolah kita tandus buah fikir untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik.

Sementara konflik itu belum terungkai, saya akan terus membiarkan lagu ini mengisi rongga. Ia lalu meresap dalam nadi dan terpasak teguh dalam hati. Demi sebuah melodi sebegini indah, harus saja ia terbuai dalam diri. Persetankan keluh-kesah yang membelenggu. Saya hanya mahu menikmati muzik!

Selasa, November 10, 2009

Seminar Pandangan Alam Islam

Program : Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas
Tarikh : 13 Disember 2009 (Ahad)
Tempat : Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur
Anjuran : Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Objektif :

1 - Menekankan keutamaan Pandangan Alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.
2 - Memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.
3 - Menghuraikan unsur-unsur penting dalam Pandangan Alam Islam.

Maklumat lanjut akan menyusul.

Selasa, November 03, 2009

Celaru

Saya diberitakan mengenai penangkapan Dr. Mohd Asri, mantan mufti Perlis, sejurus selepas beliau ditahan lewat laman Twitter. Lantas, maklumat itu dipanjangkan kepada teman-teman agar dapat disahkan kebenarannya. Dalam debar, keraguan saya terhapus dinihari semalam usai membaca laporan awal Bernama.

Isu ini tentu saja menarik minat dan reaksi masyarakat. Asri, meski berbeza pendekatan agamanya berbanding amalan lazim di Malaysia, tetap seorang tokoh agama berkelayakan yang wajar dihormati. Tindakan pihak berkuasa menangkapnya hanya menyumbang kepada tercemarnya imej institusi agama di Malaysia.

Saya membantah kecelaruan JAIS dalam isu ini. Senada dengan banyak pihak, saya juga merasakan penangkapan dan pendakwaan Asri tidak dibuat secara profesional. Mana mungkin seorang tokoh agama yang dikenali dan diiktiraf sebagai mufti boleh ditahan hanya dengan hujah beliau tidak mempunyai tauliah?

Kita juga tidak harus larut dalam isu ini. Pastinya ada lapis-lapis lain yang perlu kita baca dan sedar mengenainya. Pun begitu, prinsip dan pandangan kita dalam menanggapi isu ini harus jelas. Menggunakan kuasa untuk membungkam perbezaan bukanlah suatu tindakan yang sihat dan bijak.

Akhirnya, ia menjadi bahan jenaka dan seloroh. Malah, ada teman bertanya, "Pak Lah dulu ada tauliah tak masa dia sebarkan ajaran Islam Hadhari?"

Jumaat, Oktober 30, 2009

Telaah

Saya bergelut dengan beberapa bahan bacaan yang masih belum disudahkan. Walaupun mencuba sekuat daya untuk mendidik diri dengan disiplin pembacaan yang teratur, ia masih belum mampu saya turutkan.

Dalam tempoh dua minggu cuti semester yang baru lalu, kesibukan mengisi jadual mengeteh dan berlibur bersama teman-teman membantutkan hasrat saya itu. Mujur juga saya sempat mencuri waktu senggang tatkala berada dalam pengangkutan awam untuk meladeninya.

Saya seringkali cemburu dengan teman-teman yang punya iltizam tinggi untuk membaca. Meski kebiasaannya ia disalurkan pada bacaan seperti novel, sebahagian mereka hanya memerlukan semalaman sebelum menyudahkannya.

Semoga semangat seperti itu dapat saya teladani. Saya mahu rakus!

Dan berikut saya kongsikan beberapa judul yang masih ditelaah;

1 - Gagasan Persuratan Baru, Mohd Affandi Hassan

2 - Cosmopolitanism, Kwame Anthony Appiah

3 - The Failure of Political Islam, Olivier Roy

4 - The Revolt of The Masses, Ortega y Gasset

5 - A Young Muslim's Guide to the Modern World, SH Nasr

Khamis, Oktober 22, 2009

Kalimatun Sawak



Masih terngiang di telinga rangkaian kata yang kerap mempersalahkan beza agama dan kaum. Malah, pengucapnya juga mengangkat agama sebagai justifikasi untuk menidakkan hak dan peranan kaum lain.

Mendapati ia tidak cocok dengan prinsip dan pendirian, lalu saya menjauh. Fikir saya, ada baiknya berteleku dulu sambil menggali telaga hikmah. Saya mahu mengaut seberapa banyak dapatan ilmu dan hujah.

Dalam persidangan Kalimatun Sawak di Perth ini, Anwar Ibrahim menyerlahkan sisi intelektualnya. Beliau bersandar pada maqasid syariah sebagai asas persefahaman dalam perbezaan. Jelas, jangan beku, teman!