Ahad, Julai 29, 2012

Sawm 4

Demam dan selsema mulai kebah dan menghilang. Tapi, awalnya memang tak terelak berasa lemah; kepala sedikit pusing, juga hidung yang berair. Pun, rencana-Nya aneh.

Hamza Yusuf memerikan hal yang sama, kira-kira begini; ia di padang pasir, terdedah dengan cuaca ekstrem. Lantas, dihinggap oleh ketakberdayaan peparu, nafas memendek.

Ia segera ketemu doktor, yang mengkagumkan, sentiasa optimis. Meski lelah, doktor itu memuji-muji fungsi tubuhnya -- seluruhnya positif. Psikologinya terkesan, dan membaik.

Nah, ini kisah kesyukuran manakala kita lupa erti nikmat dan kurnia.

Sabtu, Julai 28, 2012

London

Obor telah pun dinyalakan oleh kalangan muda -- simbol masa depan, menandakan pembukaan Sukan Olimpik London '12. Acara purba yang bermula di Greece ribuan tahun lampau, kini jadi medan solidariti warga dunia, sebalik pertarungan maruah dan kehormatan nusanya.

Buat kesemua atlit -- maju terus, menang lah atau tewas bak wira!

Khamis, Julai 26, 2012

Jawa

Selamet nyambut poso sedulor-ku. Mugo diparingi oleh rohmati lan ngapuroni; terjemahan; Selamat menyambut puasa saudara-ku. Muga diiringi rahmat dan keampunan.

Saya sering terpesona dengan bahasa. Itu, ucapan selamat dalam bahasa Jawa yang dititip seorang teman rakyat Malaysia yang mengaku punyai leluhur Jepun.

Hey, tentu saya tak mahu kalah; maka harus dibalas, matur nuwun!

Fantasi

Saya teringat-ingat Zia Sardar dan kritikannya buat kalangan yang begitu enthusiast mahu menciptakan surga dunia dengan fantasi yang muluk-muluk.

Dalam segala ketaksempurnaan dan keterbatasan manusia, ia adalah misi mustahil. Begitu pun, ketempangan itu harus dihadapi sebaiknya dengan penuh sedar.

Dendangnya; bawa aku pergi / pacu laju-laju / kita lari dari realiti.

Sawm 3

Betapa pun sukar atau tersudut, sebuah prinsip harus dipertahankan. Apalagi kalau ia berkait agama; tapi wajar lah absah dan bertanggungjawab.

Kita mengenang al-Qardawi dalam konfrontasi dengan Emir Qatar sehinggakan sang umara' tunduk merendah diri kepada ulama' demi mengetahui khilafnya.

Manusia bebas dan setara; bedanya, taqwa yang dinilai Maha Mulia.

Ahad, Julai 22, 2012

Qiam

It is time to remind ourselves that in the profoundest of Islamic teachings, believers do not rise to pray during the night in order to find themselves and forget the world; indeed they do this to find themselves, but so as to give meaning to the day and to reform the world.
-Tariq Ramadan, The Arab Awakening

Sawm 2

Pernah dulu, saya diminta bertazkirah dalam sela tarawih. Yang teringat waktu itu hanya satu, perihal menggugah seorang gabenor, marhaen dan sejenis manisan.

Tentu saja kisah itu dilatari konteks dan perlu dideskripsi. Umumnya, ia adalah tentang kebertanggungjawaban dan rasa peduli orang besar buat orang kecil.

Puasa lah medannya; tempat kita mendengar rintih yang terpinggir.

Tulus

Waktu itu, keilmuannya tak terbanding. Dalam struktur Nizamiyya, al-Ghazali adalah faqih, yang kini barangkali disebut dengan gelar profesor. Tapi kita pun tahu kisahnya lewat al-Munqidh min al-Dalal;

 I reflected on my intention in my public teaching, and I saw that it was not directed purely to God, but rather was instigated and motivated by the quest for fame and widespread prestige. So, I became certain that I was on the brink of a crumbling bank.
  
Dasawarsa berikutnya, ia berkelana; tulus dan luhur mencari Tuhan.

Sabtu, Julai 21, 2012

Sawm 1

Kita memulakan puasa dengan optimisme; meningkatkan kekuatan ruhi dan darjat taqwa. Tapi, tak aneh kalau kita disedut dalam putaran konsumerisme -- berbelanja tanpa had.

Lalu, kita pun berleka-leka dan langsung melupakan keutamaan puasa dengan hikmah yang sedemikian mendalam. Beri lah sebanyak-banyaknya, dan usah bertanya, balasannya apa.

Tazkirah

Ramadhan; tak ada yang sia-sia dalam pengisiannya. Madrasah, atau tempoh mujahadah ini, selayaknya dipadati dengan kualiti amal dan ibadah. Kalau ada masa, laman ini menarik -- Ramadan Chronicles.