Rabu, Ogos 29, 2012

Shi'ah II

Hamid Dabashi lewat bukunya Shi'ism: A Religion of Protest merakam babad lara yang terlakar di medan Karbala kala cucunda baginda nabi dibantai dan dipenggal ketumbukan musuh.

Imam Hossein awalnya menerima undangan umat di Kufa yang berjanji mahu bersama untuk menjatuhkan Yazid ibn Muawiyah. Tapi, mereka berkhianat dan memencil diri.

Kita pun mempelajari satu hal yang sedemikian segar dan terus menggema dalam perjuangan, malah diangkat sebagai sebuah seru iltizam dan kejujuran dalam sebuah revolusi.

Ma ahl-e Kufa nistim / we are not the people of Kufa; yang agak-agaknya, kalau diterjemah dan ditakwil adalah kesaksian untuk bertulus; dalam cinta, politik, keilmuan, dll.

Selasa, Ogos 28, 2012

Shi'ah

Beberapa waktu kebelakangan, saya ralit menggelintar tentang shi'ah. Tiap ada kesempatan, saya menonton dokumentari sisi politik selain membaca faham teologinya.

Memang ada pandangan yang menghukum shi'ah terkeluar dari agama. Tapi ada juga pandangan wibawa lain yang masih mengakui bahawa ia bahagian daripada Islam.

Perbedaan sekte yang berawal daripada momen kewafatan nabi ini menimbulkan polemik besar dalam sejarah. Umat terbahagi kepada dua kelompok utama; sunni/shi'ah.

Menurut saya, ada keperluan untuk ia diteliti. Di sebuah nusa yang tak ramah dengan yang-bukan-arus-perdana, kelompok shi'ah sering terhukum dengan persepsi negatif.

Demikian lah kita berperan; dalam kegelapan, mari nyalakan lilin.

Pergi

Dua orang teman saya terlibat dalam kemalangan jalanraya semalam. Seorang kini kritikal di hospital, dan seorang lagi telah terkorban dalam nahas tersebut.

Pergi lah, muga diterima amal dan diampun noda lalu. Kita pernah ketemu dalam hayat ini, dan muga akan ketemu lagi dalam hayat panjang yang berikutnya.

Kau kasihkan yang di bumi; muga yang di langit turut mengasihi-mu. 

Gulat

Teman-teman dah lama merungut. Kata mereka, saya menulis dengan bahasa yang tak difahami. Juga, bicaranya adalah topik pelbagai yang tak ketahuan punca.

Saya tak punya jawapan memujuk. Memang, catatan yang tertuang kadangkala begitu. Ia adalah lintasan fikiran yang sengaja tak dicerna, lalu di-"goreng" seadanya.

Tapi impinya besar; konon setaraf catatan-nya Wahib dan Hok Gie.

Isnin, Ogos 27, 2012

Hudud

Saya meluat membaca polemik terkini tentang hudud. Kita mendengarnya saban waktu menjelang pilihanraya. Begitu pun, politikus masih tak cerdas.

Memang lah, mengimani hudud itu tuntutan sebagai umat yang beragama. Tapi, sebegitu naif menanggapi realiti sistem demokrasi juga tak boleh dimaafkan.

Akhirnya, kita tetap simplistik; segala masalah selesai dengan Islam!

Temasik

Kalau benar kebersihan adalah sebahagian daripada iman, barangkali iman saya kini lengkap manakala ia saya temukan di sebuah negara sekular, Temasik.

Tentu, saya bukan Syed Qutb yang dalam kunjungannya ke Amerika, mengatakan yang adikuasa itu lebih dekat dengan citra agamanya ketimbang Mesir.

Begitu lah agak-agaknya. Tanpa bertelingkah siapa yang lebih islami mengaplikasikan hudud pun, mereka terkesan matang. Politikus kita, alahai childish.

Sabtu, Ogos 18, 2012

Sawm 6

'Amore e'l cor gentil sono una cosa.
-Dante Alighieri

Fitrah

Yang indah-indah, begitu lazimnya, pasti akan berakhir. Ramadhan juga tak terkecuali daripada ke-cliche-an itu. Apalagi manakala ia berawal dengan janji-janji keampunan.

Besar lah harapan kita agar hayat yang diisi dalam sebulan terdahulu ini tak tersia, malah dinilai sebaiknya sebagai upaya mencapai tingkat redha dan taqwa kepada Tuhan.

Muga dihitung segala amal soleh, diperkenan du'a tanpa hijab, dan diampuni noda lalu. Juga, muga dengan penuh sedar, terus tekal dengan disiplin selain ditingkatkan akhlak.

Minal 'aidin wal faizin; dalam kalangan yang kembali dan menang!

Jumaat, Ogos 17, 2012

Dewi

Ini catatan buat dewi terpuja memperingati tanggal lahir 17 Agustus.

***

Reza Shah-Kazemi menjelaskan kaitan kata rahma-nya Arab dengan caritas-nya Latin dan agape-nya Yunani dalam sebuah kata; charity-nya Inggeris untuk melawan teologi kebencian.

Kata itu, yang dimaknakan sebagai belas-kasih, umumnya adalah sifat-sifat Tuhan yang terangkum dalam asma' yang mulia. Ia terbias dalam diri manusia -- mutatis mutandis ke arah relatif.

Demikian lah paduan compassion, atau daya untuk merasakan derita lingkungan yang tak hanya menjadi esensi kemanusiaan yang nir nilai, tapi terilham dari keupayaan ruhani yang peduli.

Barangkali itu dimensi metafizik yang tak perlu dilanjut-lanjut. Pun begitu, wajar lah ia diwarasi manakala kita dihadapkan rencam pentafsiran yang kadangkala terkesan terlalu ekstrem.

Belas-kasih; ia elemen yang tak terbantah daripada kurnia nan indah.

Rabu, Ogos 15, 2012

Gastronomi

Ini catatan buat para penikmat makanan khususnya Sarah Syazwani.

***

Barangkali, saya tak menduga-duga libang-libu rasa saudari. Iftar tanpa putu tentu lah sebuah ketaksempurnaan. Hidup disumbu resah demi mengetahui menunya tak lengkap.

Demikian juga yang saya rasakan manakala tercari-cari akok tradisi. Jenuh menggelintar bazar petang di sini-sana. Tapi, yang saya temukan hanya lah kuih-muih nan lazim.

Momen begini, kita merindukan santapan agung yang lahir dari rahim leluhur bangsa; bengkang, lepat pisang, pengat durian, serawa timun aceh, dll. Agaknya itu impi yang muluk.

Dalam maraknya perang budaya mutakhir ini, kita merasa terhenyak bilamana kelazatan duniawi itu tiba-tiba berubah; diganti dengan scone, pavlova, cupcakes, macaroons, dll.

Di sebuah nusa terjajah, ingat lah, perut harus tetap bebas merdeka.