Khamis, Februari 28, 2013

Rasis

Kalangan yang akhir-akhir ini cukup galak melaung slogan dengan tempelan label-label agama rupanya hanya cuba menutupi rasisme yang begitu kental dalam diri.

Serunya konon kepada muslim berwibawa yang tak lebih adalah cerminan mentaliti lapuk dan jumud. Tambah malang, disumbu dengan prejudis penuh dusta.

Manakala fraksi politik merangka kebijakan menyeluruh untuk mengangkat martabat rakyat, mereka cuma mampu menyebarkan insecurity yang tak berjejak.

Terus lah bersandiwara; acungkan tangan ke langit -- hidup Melayu!

Rabu, Februari 27, 2013

Pope

Tinggal beberapa jam saja lagi, Pope Benedict XVI akan mencipta sejarah apabila meletakkan jawatan sebagai Ketua Gereja Katolik dan memulakan hidup baru dengan gelar Pope Emeritus.

Momen seperti ini bukan hal yang lazim. Kali terakhir ia berlaku pada tahun 1415 manakala Pope Gregory VII, turut melepaskan jawatan untuk mengakhiri intrik dalaman yang menjerut gereja.

Dalam periode sede vacante ini, 115 kardinal dari seluruh dunia akan berkumpul di Vatican untuk memilih sosok baru yang akan diangkat sebagai Pope, mengetuai lebih sebilion penganut Katolik.

Selamat bersidang semuanya dan selamat bersara Joseph Ratzinger.

Isnin, Februari 25, 2013

Tawakal

Al-Khuldi, the pupil, relates that he went to Junayd and found him suffering from a fever. "O Master," he cried, "tell God in order that He may restore thee to health." Junayd said: "Last night I was about to tell Him, but a voice whispered in my heart, 'Thy body belongs to Me: I keep it well or ill, as I please. Who art thou, that thou shouldst interfere with my property."
-Al-Hujwiri, Kashf al-Mahjub

Sabtu, Februari 23, 2013

Sejarah

Malam tadi, seperti juga malam-malam sebelumnya belakangan ini, saya terpaksa bergelut untuk lekas lelap. Selagi tak diserang kantuk yang kronik, saya memang tak punyai pilihan -- membaca.

Begitu lah awalnya saya menekuni Comments on the Re-Examination of Al-Raniri’s Hujjatu’l Siddiq: A Refutation karya-nya Prof. al-Attas, sebuah sanggahan bertenaga terhadap Prof. G.W.J Drewes.

Dengan cukup tajam, al-Attas mengkritik sikap dan conjecture yang dilakukan sang orientalis dalam memahami manuskrip langka oleh Nuruddin al-Raniri, ulama besar di Acheh pada abad ke-17.

Mentelaah dan larut dalam karya tulis al-Attas tentang sejarah sering kali mengujakan. Ia tak hanya mengajukan tesis baru, malah dengan berani, memberi tafsiran yang berbeda daripada kelaziman.

Misalnya, yang termuat dalam Historical Fact and Fiction, seputar babad Melaka, Parameswara, dan asal-muasal Sumatera, sebuah rombakan total riwayat yang telah termaktub di Nusantara.

Harapnya malam nanti nyenyak; saya mahu mimpi jadi Hang Jebat.

Oscars

Nate Silver, ahli statistik yang telah dengan tepat meramalkan kemenangan Barack Obama dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, sekali selagi diberi perhatian.

Kali ini, pertaruhannya adalah seputar keputusan dalam acara cukup bergengsi dunia perfileman, Academy Awards yang akan berlangsung Ahad ini di Dolby Theatre, Los Angeles.

Menurutnya, ia adalah malam gemilang untuk Argo, filem arahan Ben Affleck tentang pergolakan politik dan diplomasi pasca Revolusi Islam Iran yang terjadi sekitar tahun 1979.

Filem ini belum lagi ditonton; maka, dukungan saya untuk Lincoln.

Jumaat, Februari 22, 2013

Saqifah

Betapa segar manakala khutbah hari ini membabadkan perihal Saqifah Bani Sa'adah, suatu momen penting yang mengambil tempat sesudah wafatnya Baginda Nabi S.A.W.

Peristiwa itu, yang rangkumannya telah saya baca dalam Metafizik dan Kosmopolitanisme-nya Khalid Jaafar, memberi iktibar kepentingan untuk memilih pemimpin.

Khatib memberi sorotan sejarah dengan kaitan seputar isu kontemporari penyertaan ulama dalam gelanggang politik. Ia menjustifikasi peranan dan tindakan itu.

Seideal mana pun kita berhujah, hakikat yang tak ternafi adalah umat tetap berpecah. Hal itu tak terelak. Kita teringat du'a nabi yang ditolak, juga tahu Tuhan lebih mengerti.

Fragmen III

"..kadang-kadang, yang dibutuhkan hanya keberanian."
-Laksmi Pamuntjak, Amba

Khamis, Februari 21, 2013

Esensi

Esensi sesuatu perkara itu sewajarnya lebih diberatkan ketimbang sebuah form yang ditempel dengan pelbagai label. Yang harus diperhatikan adalah persoalan substance yang mendasar.

Dengan hujah tohor ini lah saya cuba bergelut dengan pelbagai polemik yang bermuara dari lapangan politik kita. Faham maqasid shari'ah ditandai oleh maslahah, bukan hukuman melulu.

Dan demi Tuhan, saya takkan mengundi fraksi rasis dalam PRU 13.

Rabu, Februari 20, 2013

Label

Lewat makalahnya yang termuat dalam Adab dan Peradaban, sebuah festschrift buat Prof. al-Attas yang baru diluncurkan, Mohd Affandi Hassan mentakrifkan gelar pengarang dan sasterawan.

Pengarang, begitu katanya, adalah kelompok yang cuba menyampaikan pemikiran sementara sasterawan adalah kelompok yang bermain dengan bahasa untuk meluahkan emosi.

Demikian lah, ketika membacanya, saya cuba membayangkan sekian banyak toko buku dengan rak yang penuh terisi label novel tarbiah; novel islami; dan tentu saja, novel cinta kopiah-tudung.

Ahad, Februari 17, 2013

Cita

Menonton filem-nya Woody Allen, Midnight in Paris adalah pengalaman yang sublime. Filem yang terbit setahun dua lalu itu baru sempat saya nikmati pada ambang hari kekasih.

Barangkali masih dalam kepompong Annie Hall, bedanya filem ini melakarkan konflik diri yang terkepung dalam melankoli dua zaman yang telah berubah dengan latar indah kota Paris.

Gil Pender sang protagonisnya, adalah penulis dengan watak nostalgia, sebuah pertembungan tak terelakkan dengan si tunangan yang tak mengerti betapa bernilainya masa lalu.

Dalam daya bayang yang cukup magis, ia kembali ke dekad gemilang seni dan sastera serta menemukan nama-nama besar idolanya -- Zelda, Toklas, Picasso, Fitzgerald, Hemingway.

Filem ini elok ditonton sendiri. Ia mewajahkan hidup yang sering mendesak kita menjadi orang lain, bukan lagi sosok asli yang terbangun daripada cita-cita dan mimpi sendiri.