Khamis, Mei 31, 2012

Renung III

Mengamati ibadah-ibadah agama dan ritual adalah tidak ada gunanya, ketika ritual-ritual tersebut kehilangan makna dan jiwanya. Keliling ka'bah tidak ada gunanya bagi masyarakat yang terbelenggu.
Shari'ati memuntahkan itu, frasa yang demikian ringkas tapi punyai makna mendalam. Manakala kita terpasung dalam lingkaran ritual, asas-asas lain terus hapus.

Contohnya, saban minggu kita dihadapkan dengan pesanan usrah sang da'ie agar membaca al-Kahfi, kisah tentang iltizam kalangan muda menyanggah kezaliman.

Arakian, kita pun membacanya sebelum kembali mensurahkan cinta.

Renung II

Memang, jagat raya ini memerlukan saling pengertian. Tapi, tatkala ia dan seluruh isinya memusuhi dan tak pernah mahu memahami, kita masih punyai diri.

Lalu, kita menciptakan sebuah utopia metafizik, juga sebuah babak cinta-kasih yang paling romantis; dan seperti diilhamkan mitos -- akhirnya adalah harapan.

Meski berlebihan, itu ibrah yang mengesankan lewat sosok Shari'ati.

Rabu, Mei 30, 2012

Renung

Ali Shari'ati; kalau bukan disebabkan nama itu yang tertulis di kulit biografinya, saya merasa seolah sedang membaca babad hidup sendiri. Keterasingan dan gelojak jiwanya tak sukar difahami.

Begitu lah, saya seperti menemukan diri. Manakala ia bertanya, mencabar dan menyanggah, respon dingin lingkungan boleh dibayangkan. Juga, bila ia keluar dari dogma dan status quo.

Barangkali, ini bukan pun renungan, tapi adalah sebuah narsisisme.


Selasa, Mei 29, 2012

Mortar

Jagat raya ini bukan lah tempat bersenang-senang. Ia medan juang, tanah datar yang menakung darah mujahid dan para syuhada. Sekurang-kurangnya, buat yang masih berfantasi, itu realiti di Syria.

Dari Malaysia, du'a terasa bak mortar dan peluru yang paling ampuh!

Remeh

Mas Goen mengisahkan ini; di Demak, ratusan tahun lampau, Sunan Kalijaga membina sebuah masjid daripada sisa ketam kayu dan serpihannya yang terbuang. Saya tak pasti sejauh mana ia benar.

Tapi, kalau percikan pertama yang dinukil dalam Tuhan dan Hal-Hal Yang Tak Selesai itu benar, ia cukup untuk jadi bukti bahawa yang remeh dan tak terpandang juga bernilai, meski tak dimengerti.

Maaf, ini interpolasi -- demikian lah halnya macam cinta-kasih.

Aneh

Saya ditegur tatkala membaca di sebuah toko buku kelmarin. Aneh, di sebuah ruang yang seharusnya membenihkan minat pada ilmu dan pengetahuan, membaca jadi aktiviti asing yang terlarang. 

Lebih pedih, saya disindir seolah datang untuk mengemis dan terlalu sengkek. Kini faham lah saya, maka tak lagi hairan mengapa buku tak menghadirkan kebijaksanaan -- ia hanya jadi alat bisnes.

Kalau tak mahu saya membaca, sila buka toko kain atau karpet.

Ahad, Mei 20, 2012

Taat

Saya selalu percaya bahawa iman, taqwa atau apa jua kata yang seerti dengannya tak diukur dengan sekerap mana kita mensurahkan Qur'an. Meski tak salah menyulam tiap kata dengan pesan dan pedoman qur'ani, sebaiknya ia jadi penyuluh, bukan hanya bebelan.

Demikian juga halnya dengan nilai, prinsip atau apa jua kata yang seerti dengannya. Saya lebih senang jika semangatnya yang kita serap, bukan hanya laungan label-label kosong yang hampa nilai -- berulang kali meniti bibir, tapi masih gagal memberi kebijaksanaan.

Begitu kiranya kata sarjana, "it's how to stay true to the conviction."


Lat

Lat adalah bahagian hidup saya ketika kecil. Abah punyai hampir kesemua koleksi kartunnya termasuk keratan yang tersiar dalam akhbar. Lukisannya yang santai dengan latar budaya dan masyarakat setempat tak pernah menjemukan untuk diulang baca.

Kartunnya dengan mesej kemajmukan dan silang budaya -- pasti ada watak Cina, Sikh dan India -- awal-awal lagi menyerap semangat perpaduan. Latarnya juga menarik dengan gambaran aktiviti dan keadaan 50-an - 60-an khususnya di sekitar negeri Perak.

Tahun lalu, saya sempat ke Istana Budaya menonton teater Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal. Tentu saja saya teruja dikisahkan dengan kembaranya sedari awal mulai melukis sehingga lah memahat nama sebagai seorang kartunis bergengsi dan ternama.
 
Petang tadi, tatkala berjeda melawat tinggalan jentera melombong bijih timah yang sering dilakar dalam kartunnya, saya terkenang Lat.

Rabu, Mei 16, 2012

Guru

You cannot teach a man anything; you can only help him find it within himself.
-Galileo Galilei

Selasa, Mei 15, 2012

Prinsip

Hampir 24 jam setelah media mula menyiarkan berita mogok lapar tahanan Palestin dalam penjara Israel, kita melihat euforia membuak di ruang maya. Dek tekanan antarabangsa yang berterusan, tuntutan para tahanan terpaksa dipenuhi oleh regim Zionis.

Ironinya di Malaysia, berita mogok lapar tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting seolah tak bersambut. Langsung tak terdengar suara simpati. Tumpuan kita lebih terarah untuk membebaskan Quds daripada mendepani kezaliman di tanah air sendiri.

Bukan lah mahu meremehkan kesedaran rakyat terbanyak, tapi hal seperti ini cukup menyedihkan. Kepedulian dibatasi oleh sentimen agama -- perseteruan langka yang entah bila akan berakhir; bukan iltizam memartabat karamah insan dengan kebebasan.

Prinsip kita seharusnya jelas dan muga ada dhamir yang tersisa.