Selasa, Februari 10, 2009

Apologetik

Selain sosok unggul Muhammad B. Abdullah, tiada manusia lain yang sempurna dan terlepas daripada kesilapan. Meski ia seorang raja sehinggalah kepada hamba, kita harus akur bahawa insan itu asal maknanya adalah pelupa.

Jangan cabar kuasa Sultan - sebaris kata dengan makna mulia yang kini gah diungkap dimana-mana. Sikap apologetik sesetengah pihak dan ketakjuban kepada tokoh dan kuasa nampaknya semakin menghakis pedoman atas prinsip dan pegangan.

Mungkin kita cuai dalam meletakkan makna seimbang antara daulat hukum dan pemaknaan atas kuasa yang diamanahkan kepada manusia. Tiada sesiapa yang boleh mendabik dada mengatakan kedudukannya lebih tinggi daripada undang-undang yang mencorakkan wajah negara.

Maka itu, yang silap harus diperbetulkan. Meski kadangkala menelan kebenaran itu pahit untuk dilakukan, upaya bagi menghormatinya atas dasar kepatuhan terhadap daulat hukum memerlukan kita melakukannya.

Kita harus hidup dengan jujur kerana ia bukan hanya mampu mengelakkan manusia daripada melacurkan prinsip yang diimaninya, malah ia juga sumber penghormatan manusia lain terhadap kita; penghormatan atas rasa percaya bahawa undang-undang bukan padang rata yang boleh dipijak sesuka hati dengan rakus dan keji.

Tiada ulasan: