Memaparkan catatan dengan label Arus Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Arus Politik. Papar semua catatan

Khamis, Mei 09, 2013

Fokus

Pertempuran dalam medan politik adalah usaha penegakan prinsip. Ia bukan perjuangan untuk melebihkan ras atau agama, tapi menjunjung nilai dan maruah rakyat terbanyak.

Kerana itu apabila pemerintah dengan bantuan aparatnya merompak kemenangan dengan pelbagai penipuan, redha dan menyerah bukan pilihan. Ia harus ditentang dengan sekuat daya.

Kita tak patut menghina diri dan merelakannya diperlembu secara terang-terangan manakala wujud dakwaan serta bukti tak terbantah tentang helah untuk mengubah keputusan pemilu.

Ketika rasisme telah pun dihumban ke dalam tong sampah sejarah, fokus kita harus terpadu kepada isu pokok itu, bukan terhadap propaganda murahan oleh juak-juak regim lapuk.

Tiap daripada kita -- Melayu, Cina, India, dll -- mahukan kebenaran.

Reformasi II

Rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi 
rajawali merasa pasti
bahawa langit akan selalu menanti.
-WS Rendra, Rajawali

Rabu, Mei 08, 2013

Justifikasi


Siddiq Fadzil sering saja mengocak dhamir saya dengan daya renung yang mendalam. Cerapannya melampaui justifikasi agama yang diberikan ulama' dan profesor kangkung untuk membela kezaliman.

Isnin, Mei 06, 2013

Celaru

Keputusan rasmi PRU-13 oleh SPR tadi menyatakan bahawa Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah berbekal sekitar 112 kerusi parlimen.

Saya akan kedengaran seperti sore loser, tapi dalam sebuah proses yang celaru dan jelas tak adil, tiada sebab untuk Pakatan Rakyat dan rakyat secara umum menyerah kalah.

Kita dihina dengan cukup keji hari ini bermula daripada persoalan ketahanan dakwat kekal, kemasukan pengundi hantu, pembelian undi serta pemberitaan sendeng oleh media.

Syahdan, para konspirator dan petualang berganti sorak; et'tu Brute?

Ahad, Mei 05, 2013

Reformasi

To be or not to be, that is the question.
-William Shakespeare

Selasa, April 30, 2013

Islah

Apabila ada kalangan yang terdera dan dizalimi, keadilan serta kebenaran bukan lagi sebuah konstruksi ilmiah yang kaku. Memperjuangkannya adalah sebuah aksi dan tanggungjawab.

Saya senang hati melihat kelompok cendekia ikut terdorong menyatakan sikap mereka lewat penubuhan sebuah komiti kecil baru-baru ini. Hal ini sungguh pun asing, tapi cukup bererti.

Dan dengan ilmu, datang islah mastata'tum -- reformasi sekuat daya.

Isnin, April 29, 2013

Ultimatum

Membaca babad para tahanan politik yang direnggut kebebasan lewat pelbagai tuduhan serta akta zalim membuatkan kita benar-benar kacau dan galau selain didesak untuk kekal waras.

Periode tegang itu berkali-kali saya alami manakala menekuni Dua Wajah-nya Syed Husin Ali, Universiti Kedua-nya Kassim Ahmad dan juga Sengsara Kem Kamunting-nya Saari Sungib.

Tak terbayangkan, demi mempertahan kuasa beberapa kerat elit penguasa korup, sebuah sistem bobrok mewajarkan tingkah yang cukup kejam membungkam semua nilai manusiawi.

Meski undang-undang itu kini telah telah dimansuhkan, akta baru yang diperkenal tak lah begitu berbeza. Kita tetap terdedah dengan rekayasa jahat kalangan regim yang tandus moral.

Barangkali, kerana itu lah pilihanraya kali ini merupakan sebuah ultimatum bagi pihak rakyat. Kita harus memilih antara dua nilai, bukan semata perubahan pada sosok wakil rakyat.

Jumaat, April 26, 2013

Gelora



Demikian lah, keprihatinan saya kepada kepada teman-teman kalangan muda ditegaskan Pak Samad; "kita tulis puisi bukan untuk cinta-cintaan saja." Dan pak tua ini masih sebegitu tekal berjuang.

Rabu, April 24, 2013

Ampu

Saya hampir selesai membaca The Captive Mind, sebuah magnum opus Czeslaw Milosz, cendekia asal Poland yang secara gamblang melakarkan realiti masyarakat dalam sistem totalitarian.

Menghubungkan karya ini dengan erti hidup dalam sebuah negara demokrasi tentu lah keterlaluan. Pun begitu, semacam ada generalisasi serta persamaan sentral yang tak terelakkan.

Ia mengkisahkan kalangan terdidik dan terpandang dalam strata sosial yang tunduk serta lunak kepada kekuasaan meski tahu tentang kefasadan yang terus saja bersipongang dalam sistem itu.

Dek pesona dan tawaran timbal-balik yang mengiurkan, mereka dilihat rela membungkam penentangan peribadi, lalu mengambil sikap yang berseberangan untuk mengampu pemerintah.

Di sini, kalangan itu merajai wawancara media -- profesor kangkung.

Isnin, April 22, 2013

Purbasangka

Saya membesar dalam kondisi sosial yang rencam. Malah, kalangan bff juga terdiri daripada jamak bangsa -- India, Siam dan Melayu, tentunya. Dan kerana itu, saya bersyukur.

Menjelang pilihanraya kali ini, setelah berdekad kita merdeka, saya masih gagal memahami retorika rasisme dan purbasangka lapuk yang umumnya bertujuan membela status quo.

Kalangan yang mempropagandakan hal itu terlihat tak segan-segan mencemuh serta menidakkan realiti politik baru dengan perhatian terhadap nilai ketimbang ras dan agama.

Mereka masih dipasung oleh culture of fear, sebuah tingkah jumud yang tak lagi relevan. Yang gagal dilihat adalah substance segar yang telah begitu menjauh serta berseberangan.

Tapi akhirnya, politik baru yang memaknakan maruah dan harga diri itu hanya lah sehampir lakon Hamlet bikinan William Shakespeare; "to be, or not to be, that is the question."

Ahad, April 21, 2013

Tempa

Dalam tiap medan revolusi yang melibatkan pertempuran antara kebenaran dengan kebatilan, kalangan marhaen pasti akan ditekan oleh aparat kekuasaan dengan segala dayanya.

Paling mutakhir, kita menyaksikan hal itu berlaku di Tunisia, Mesir, dan Libya. Bukan sedikit pahlawan yang tewas. Tapi mereka tahu, ada bunga harus gugur sebelum kembali mekar.

Berbekal tekad itu, keberanian menyala; dan sejarah pun ditempa.

Sabtu, April 20, 2013

Sistem

Momen ini telah saya nantikan sejak sekian lama. Pilihanraya yang gendangnya mulai dipalu dengan proses penamaan calon pagi tadi begitu mengujakan. Tapi juga getir dan penuh resah.

Setelah berdekad dihadapkan sistem politik jelek yang tak bermaruah; sistem politik yang memperkaya cukong serta tembolok sendiri; kini waktunya kerancuan itu dirombak total.

Perubahan yang akan kita lakukan ini tentu saja mendesak. Ia menuntut sikap dan prinsip yang jelas. Apalagi manakala berkait soal tata-kelola secara systemic yang begitu fundamental.

Demikian lah du'a kita sehari-hari; muga akan diberkati Gusti Ilahi.

Khamis, April 04, 2013

Bubar

Parlimen akhirnya dibubarkan semalam. Kita menantinya sejak sekian lama. Tapi, menjadi seorang warga di sebuah watan yang punyai pemimpin bacul memang melelahkan.

Elit penguasa terlihat sebegitu lemah. Mereka tak berupaya mengawal tingkah samseng simpatisan sendiri. Apalagi untuk bersilat hujah dan berdepan dengan serangan oposisi.

Biar lah itu diabadikan sejarah. Kita berhak mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Juga, peluang untuk hidup dengan lebih bermaruah. Lewat kotak undian, masa depan ditentukan.

Periode ini tentunya getir; sebuah defining moment untuk Malaysia.

Ahad, Mac 17, 2013

Misuari



Nur Misuari, Pengerusi MNLF bicara tentang insiden di Lahad Datu.

Isnin, Mac 11, 2013

Praxis

Saya selalu percaya bahawa faham kebebasan dan keadilan bukan sekadar sebuah theoritical construct yang kaku. Ertinya, ia wajar diupayakan melampaui randau para sarjana.

Manakala mereka memenuhkan gedung-gedung indah dan selesa demi perbahasan itu, marhaen yang terdera serta terhimpit tanpanya kekal tak terpandang, apalagi untuk dibela.

Betapa pun dimusuhi, perjuangan itu tetap wujud. Bagi kalangan tertindas, hidup tak lah sesempurna Skyfall-nya Adele; "when we crumbles / we will stand tall / face it all."

Ahad, Mac 03, 2013

Ceroboh

Lahad Datu: barangkali kita harus berjeda seketika. Manakala khalayak bergegak-gempita gempar, silang-sengketa politik bersimpang-siur. Dalam keadaan itu, naratifnya tak dapat kita baca.

Tentunya kita tak harus bersandar kepada pemberitaan media bobrok, apalagi simpatisannya yang begitu lantang seolah memberi laporan definitif. Dekad lalu mengajar kita agar tak naif diperbodoh.

Begitu pun, du'a dan ingatan kita buat wira yang tewas. Al-Fatihah!

Khamis, Februari 28, 2013

Rasis

Kalangan yang akhir-akhir ini cukup galak melaung slogan dengan tempelan label-label agama rupanya hanya cuba menutupi rasisme yang begitu kental dalam diri.

Serunya konon kepada muslim berwibawa yang tak lebih adalah cerminan mentaliti lapuk dan jumud. Tambah malang, disumbu dengan prejudis penuh dusta.

Manakala fraksi politik merangka kebijakan menyeluruh untuk mengangkat martabat rakyat, mereka cuma mampu menyebarkan insecurity yang tak berjejak.

Terus lah bersandiwara; acungkan tangan ke langit -- hidup Melayu!

Jumaat, Februari 22, 2013

Saqifah

Betapa segar manakala khutbah hari ini membabadkan perihal Saqifah Bani Sa'adah, suatu momen penting yang mengambil tempat sesudah wafatnya Baginda Nabi S.A.W.

Peristiwa itu, yang rangkumannya telah saya baca dalam Metafizik dan Kosmopolitanisme-nya Khalid Jaafar, memberi iktibar kepentingan untuk memilih pemimpin.

Khatib memberi sorotan sejarah dengan kaitan seputar isu kontemporari penyertaan ulama dalam gelanggang politik. Ia menjustifikasi peranan dan tindakan itu.

Seideal mana pun kita berhujah, hakikat yang tak ternafi adalah umat tetap berpecah. Hal itu tak terelak. Kita teringat du'a nabi yang ditolak, juga tahu Tuhan lebih mengerti.

Khamis, Februari 21, 2013

Esensi

Esensi sesuatu perkara itu sewajarnya lebih diberatkan ketimbang sebuah form yang ditempel dengan pelbagai label. Yang harus diperhatikan adalah persoalan substance yang mendasar.

Dengan hujah tohor ini lah saya cuba bergelut dengan pelbagai polemik yang bermuara dari lapangan politik kita. Faham maqasid shari'ah ditandai oleh maslahah, bukan hukuman melulu.

Dan demi Tuhan, saya takkan mengundi fraksi rasis dalam PRU 13.

Jumaat, Februari 08, 2013

Fragmen I

"Ya memang," katanya lirih, "waktu memang bisa berkhianat."
-Laksmi Pamuntjak, Amba