Rabu, Ogos 17, 2011

Tujuh Belas

Ramadhan tujuh belas kali ini berbeda. Lazimnya, yang dikenang orang hanya tanggal turunnya Qur'an, ditandai dengan cuti dalam gempita iklim berpesta-pestaan sehampir lebaran.

Mujur ia tanggal kelahiran saya. Tak terbayangkan, usia yang menginjak tak disyukuri selayaknya. Maka, tentu saja ia lebih menginsafi diri guna memperingati hayat yang berbaki.

Membaca satu persatu ucap selamat yang dititip ini cukup membahagiakan. Muga kebaikan yang didu'akan kepada saya ini juga dilimpahkan buat kalian yang sudi memperingati.

Famili seluruhnya, teman-teman setia dan dewi terpuja -- trimas!

Rabu, Ogos 10, 2011

Qur'an

Dalam tahun-tahun terdahulu, ibu sering memberitahu saya perkembangan bacaan Qur'annya sepanjang puasa bersama teman-temannya yang lain di kawasan perumahan kami. Halaqah yang disertai ibu, selalu saja bersaing dengan halaqah lelaki yang biasanya diisi oleh jamaah masjid.

Saban tahun, saya pasti mendengar kisah jumlah bacaan Qur'an halaqah wanita mendahului halaqah lelaki. Malah, kadangkala sehampir lebaran pun, mereka masih belum mampu menghabisi bacaan. Tidak pula saya tanyakan mengapa. Agak saya, tuntutan kerjaya mengehadkan masa.

Aimi, teman lama sekampus juga benar-benar mencabar. Mulanya saya sengaja berkomentar di statusnya mengajak bersaing menghabisi Qur'an. Meski menjangka saya ketinggalan, seruan itu bersahut. Betapa benar, ia telah menekuni lebih separuh dengan beberapa juz mendahului saya.

Kini saya tak punya masa untuk menoleh. Terus!

Isnin, Ogos 08, 2011

Sembilan

Kuliah di masjid seusai tarawih malam ini saya fikir mendesak. Menginjak hari-hari terakhir tempoh kurniaan rahmah seperti yang dimaksudkan hadis, kita wajar menyemak kualiti dan sasaran berpuasa.

Hari ke-sembilan, seharusnya Qur'an mulai lunyai; infaq berganda melimpah; waktu diisi kian padat; silaturrahmi mengatasi silang sengketa dll. Tapi, andai sebaliknya, kita masih punyai masa untuk berubah.

Dan seperti yang dilafaz cliche -- muga dipermudah!

Sabtu, Ogos 06, 2011

Fasa

Sejauh ini, saya melewati Ramadhan dengan baik. Mungkin belum setara dengan khawas al-khawas-nya al-Ghazali, tapi kesempatan mengerjakan tarawih, punyai senggang waktu membelek mushaf Qur'an dll, cukup membahagiakan.

Meneliti sirah para alim dan abid tak kalah merangsang. Meski bertindih dek berkali-kali dikuliahkan para guru dan pak ustaz, ia semacam ingatan yang sengaja tak tertewaskan guna memperingati diri agar terus gencar beristiqamah.

Memang, fasa-fasa ini wajib maju!

Isnin, Ogos 01, 2011

Ramadhan

Ramadhan memang sering mengujakan. Barangkali, kerana itu juga, tazkirah seusai lapan raka'at tarawih malam tadi berlanjut lewat. Lafaz suara dilaung, menggemakan khabar dan pesan.

Manakala diungkap puasa bukan hanya soal menahan diri daripada makan dan minum, tetapi menuntut kepada pengendalian akhlak, yang terimbas adalah perubahan total, memuja Khalik.

Tuhan, perkenankan lah du'a, berkati lah hayat!