Lama dulu, teman-teman saya hadir ke sekolah dengan rambut yang terpacak keras. Waktu pulang, wajah-wajah mereka terlihat
sempoi menyemakkan pagar belakang sambil jari mengulit rokok berbatang-batang. Tiada lagi sisi tajam kemeja sekolah yang biasanya sering kemas dan segak.
Menjelang petang, wajah-wajah itu jugalah yang memenuhi tembok-tembok kosong di tepi jalan. Dengan gitar tua tanpa seri kerana lanjut usianya, lagu-lagu melayu, lama dan baru terus saja berkumandang. Mereka seakan lupa bila masanya ibu memanggil pulang.
Malam pun menjelma meninggalkan siang yang resah dengan pergolakan manusia mencari harta. Kali ini, kesibukan restoran mamak menjadi pentas aksi. Mereka berbicara memecah sunyi. Secawan teh tarik cukup buat bekalan perdebatan manusiawi mencari diri berjam-jam lamanya.
Dinihari itu, ada tayangan secara langsung bola sepak liga Inggeris. Pulang awal bererti gagal manghayati falsafah anak muda berani. Tiada antara mereka yang mahu dilabel anak manja kerana taatkan ibu dan bapa.
Hujung minggu mula memperlihatkan wajah. Otak mula ligat bekerja. Kali ini, pusat
snooker mana pula yang ingin dijelajahi. Kalaupun tidak, masih ada c
yber cafe yang belum dimasuki. Ke mana harus diatur destinasi.
Mungkin kerana keberadaan yang terlalu lama, ramai teman saya masih terpaut dalam lingkaran ini. Acapkali juga, saya disindir dengan ungkapan-ungkapan berbisa yang memanaskan hati. Dek kerana punya pandangan dan minat yang berbeza tidak seperti mereka, maka saya dilabel naif. Aduhai teman. Mujur, kenaifan itu dalam kesedaran betapa hebatnya kepelbagaian yang dicipta Tuhan!
Pemerhatian, ia nikmat Tuhan agar kita mengerti apa itu insan.