Memaparkan catatan dengan label Peristiwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Peristiwa. Papar semua catatan

Khamis, Mei 09, 2013

Fokus

Pertempuran dalam medan politik adalah usaha penegakan prinsip. Ia bukan perjuangan untuk melebihkan ras atau agama, tapi menjunjung nilai dan maruah rakyat terbanyak.

Kerana itu apabila pemerintah dengan bantuan aparatnya merompak kemenangan dengan pelbagai penipuan, redha dan menyerah bukan pilihan. Ia harus ditentang dengan sekuat daya.

Kita tak patut menghina diri dan merelakannya diperlembu secara terang-terangan manakala wujud dakwaan serta bukti tak terbantah tentang helah untuk mengubah keputusan pemilu.

Ketika rasisme telah pun dihumban ke dalam tong sampah sejarah, fokus kita harus terpadu kepada isu pokok itu, bukan terhadap propaganda murahan oleh juak-juak regim lapuk.

Tiap daripada kita -- Melayu, Cina, India, dll -- mahukan kebenaran.

Reformasi II

Rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi 
rajawali merasa pasti
bahawa langit akan selalu menanti.
-WS Rendra, Rajawali

Isnin, Mei 06, 2013

Celaru

Keputusan rasmi PRU-13 oleh SPR tadi menyatakan bahawa Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah berbekal sekitar 112 kerusi parlimen.

Saya akan kedengaran seperti sore loser, tapi dalam sebuah proses yang celaru dan jelas tak adil, tiada sebab untuk Pakatan Rakyat dan rakyat secara umum menyerah kalah.

Kita dihina dengan cukup keji hari ini bermula daripada persoalan ketahanan dakwat kekal, kemasukan pengundi hantu, pembelian undi serta pemberitaan sendeng oleh media.

Syahdan, para konspirator dan petualang berganti sorak; et'tu Brute?

Ahad, Mei 05, 2013

Reformasi

To be or not to be, that is the question.
-William Shakespeare

Selasa, April 30, 2013

Islah

Apabila ada kalangan yang terdera dan dizalimi, keadilan serta kebenaran bukan lagi sebuah konstruksi ilmiah yang kaku. Memperjuangkannya adalah sebuah aksi dan tanggungjawab.

Saya senang hati melihat kelompok cendekia ikut terdorong menyatakan sikap mereka lewat penubuhan sebuah komiti kecil baru-baru ini. Hal ini sungguh pun asing, tapi cukup bererti.

Dan dengan ilmu, datang islah mastata'tum -- reformasi sekuat daya.

Ahad, April 21, 2013

Tempa

Dalam tiap medan revolusi yang melibatkan pertempuran antara kebenaran dengan kebatilan, kalangan marhaen pasti akan ditekan oleh aparat kekuasaan dengan segala dayanya.

Paling mutakhir, kita menyaksikan hal itu berlaku di Tunisia, Mesir, dan Libya. Bukan sedikit pahlawan yang tewas. Tapi mereka tahu, ada bunga harus gugur sebelum kembali mekar.

Berbekal tekad itu, keberanian menyala; dan sejarah pun ditempa.

Sabtu, April 20, 2013

Sistem

Momen ini telah saya nantikan sejak sekian lama. Pilihanraya yang gendangnya mulai dipalu dengan proses penamaan calon pagi tadi begitu mengujakan. Tapi juga getir dan penuh resah.

Setelah berdekad dihadapkan sistem politik jelek yang tak bermaruah; sistem politik yang memperkaya cukong serta tembolok sendiri; kini waktunya kerancuan itu dirombak total.

Perubahan yang akan kita lakukan ini tentu saja mendesak. Ia menuntut sikap dan prinsip yang jelas. Apalagi manakala berkait soal tata-kelola secara systemic yang begitu fundamental.

Demikian lah du'a kita sehari-hari; muga akan diberkati Gusti Ilahi.

Khamis, April 04, 2013

Bubar

Parlimen akhirnya dibubarkan semalam. Kita menantinya sejak sekian lama. Tapi, menjadi seorang warga di sebuah watan yang punyai pemimpin bacul memang melelahkan.

Elit penguasa terlihat sebegitu lemah. Mereka tak berupaya mengawal tingkah samseng simpatisan sendiri. Apalagi untuk bersilat hujah dan berdepan dengan serangan oposisi.

Biar lah itu diabadikan sejarah. Kita berhak mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Juga, peluang untuk hidup dengan lebih bermaruah. Lewat kotak undian, masa depan ditentukan.

Periode ini tentunya getir; sebuah defining moment untuk Malaysia.

Sabtu, Mac 23, 2013

Pisah II

Catatan buat teman yang bergalau, tapi baik budi; Faizah Ibrahim.

***

Tuah bergelut dengan sebuah dilema yang maha dahsyat. Waktu itu, kala psyche rakyat menanggapi titah sultan sebagai kenescayaan, yang tersisa hanya lah ketundukan dan ketaatan total.

Ia diutus membawa mohor diraja untuk meminang seorang puteri di puncak Ledang. Tapi, seperti yang dicitrakan Saw Teong Hin, dhamirnya bergolak, lalu berpergian tak lagi kembali.

Sang laksamana tak tertanggung derita cinta. Menjunjung perintah sultan bererti berkhianat kepada tulus kasih serta janji setia yang telah dimeterainya dengan gusti puteri di bumi Jawa.

Barangkali, berpisah daripada segala sesuatu memang adalah awal mula kepada hal-hal yang agung. Malah, ia bukan lagi asing dalam sejarah, apalagi bagi kalangan pendeta dan intelektual.

Kita tak mungkin lupa sosok al-Ghazali, Syed Qutb, Edward Said dll. Buat mereka ini, being a loner is justifiable, juga didambakan. Tapi itu tentunya tak mudah dan tentu saja dipenuhi duga.

Begitu pun, ada hal yang tak terelak; dan kita memang harus tabah.

Ahad, Mac 17, 2013

Misuari



Nur Misuari, Pengerusi MNLF bicara tentang insiden di Lahad Datu.

Khamis, Mac 14, 2013

Francis I

Jorge Mario Bergoglio, Archbishop Buenos Aires asal Argentina akhirnya dipilih sebagai Pope yang ke-266 menaungi Vatican, mengetuai Gereja Roman Katolik dengan gelar Pope Francis I.

Manakala fumata bianca berkepul lewat corong Sistine Chapel, buat julung kalinya, para kardinal memutuskan tanggungjawab itu buat seseorang from the end of the world -- dari penghujung dunia.

Ini adalah kali pertama jawatan itu diamanahkan kepada sosok dari Amerika Latin, meski pada tahun 2005, ia diberitakan sebagai favourite dalam saingan dengan Pope Emeritus, Benedict XVI.

Bergoglio dikenal orang sebagai petinggi gereja yang merendah diri, mengasihi kalangan terpinggir dan tak bermewah. Ia menolak segala keistimewaan serta memilih untuk tetap hidup bersederhana.

Muga akan terus thabat dan baik-baik saja; selamat bertugas, Pope.

Ahad, Mac 03, 2013

Ceroboh

Lahad Datu: barangkali kita harus berjeda seketika. Manakala khalayak bergegak-gempita gempar, silang-sengketa politik bersimpang-siur. Dalam keadaan itu, naratifnya tak dapat kita baca.

Tentunya kita tak harus bersandar kepada pemberitaan media bobrok, apalagi simpatisannya yang begitu lantang seolah memberi laporan definitif. Dekad lalu mengajar kita agar tak naif diperbodoh.

Begitu pun, du'a dan ingatan kita buat wira yang tewas. Al-Fatihah!

Rabu, Februari 27, 2013

Pope

Tinggal beberapa jam saja lagi, Pope Benedict XVI akan mencipta sejarah apabila meletakkan jawatan sebagai Ketua Gereja Katolik dan memulakan hidup baru dengan gelar Pope Emeritus.

Momen seperti ini bukan hal yang lazim. Kali terakhir ia berlaku pada tahun 1415 manakala Pope Gregory VII, turut melepaskan jawatan untuk mengakhiri intrik dalaman yang menjerut gereja.

Dalam periode sede vacante ini, 115 kardinal dari seluruh dunia akan berkumpul di Vatican untuk memilih sosok baru yang akan diangkat sebagai Pope, mengetuai lebih sebilion penganut Katolik.

Selamat bersidang semuanya dan selamat bersara Joseph Ratzinger.

Isnin, Februari 25, 2013

Tawakal

Al-Khuldi, the pupil, relates that he went to Junayd and found him suffering from a fever. "O Master," he cried, "tell God in order that He may restore thee to health." Junayd said: "Last night I was about to tell Him, but a voice whispered in my heart, 'Thy body belongs to Me: I keep it well or ill, as I please. Who art thou, that thou shouldst interfere with my property."
-Al-Hujwiri, Kashf al-Mahjub

Sabtu, Februari 23, 2013

Oscars

Nate Silver, ahli statistik yang telah dengan tepat meramalkan kemenangan Barack Obama dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, sekali selagi diberi perhatian.

Kali ini, pertaruhannya adalah seputar keputusan dalam acara cukup bergengsi dunia perfileman, Academy Awards yang akan berlangsung Ahad ini di Dolby Theatre, Los Angeles.

Menurutnya, ia adalah malam gemilang untuk Argo, filem arahan Ben Affleck tentang pergolakan politik dan diplomasi pasca Revolusi Islam Iran yang terjadi sekitar tahun 1979.

Filem ini belum lagi ditonton; maka, dukungan saya untuk Lincoln.

Jumaat, Februari 22, 2013

Saqifah

Betapa segar manakala khutbah hari ini membabadkan perihal Saqifah Bani Sa'adah, suatu momen penting yang mengambil tempat sesudah wafatnya Baginda Nabi S.A.W.

Peristiwa itu, yang rangkumannya telah saya baca dalam Metafizik dan Kosmopolitanisme-nya Khalid Jaafar, memberi iktibar kepentingan untuk memilih pemimpin.

Khatib memberi sorotan sejarah dengan kaitan seputar isu kontemporari penyertaan ulama dalam gelanggang politik. Ia menjustifikasi peranan dan tindakan itu.

Seideal mana pun kita berhujah, hakikat yang tak ternafi adalah umat tetap berpecah. Hal itu tak terelak. Kita teringat du'a nabi yang ditolak, juga tahu Tuhan lebih mengerti.

Jumaat, Februari 15, 2013

Dworkin



Kita menghening cipta khusus buat sarjana hukum, Ronald Dworkin.

Protokol

Hujjatul Islam al-Ghazali menyinggungnya sebagai al-mutarasimun, ya'ni kalangan yang beragama tanpa penghayatan dan sekadar ditanggapi sebagai ritual resmi-resmian.

Maka tak hairan, khutbah tadi masih terpengap dengan spekulasi Protokol Zionis yang semacam diyakini sebagai meta naratif penyebab kondisi umat terus membejat.

Tudingan ke luar tanpa sedetik pun cuba melakukan introspeksi ini, malah kepada suatu hal yang belum terbukti, juga telah disanggah, amat lah menyeksakan seluruh jiwa-raga.

Sungguh, saya tak cuba bersarkastik. Ia persis peristiwa di negeri jauh. Kala berjejer fatwa mengharamkan hari kekasih, program bertema cinta begitu mekar berkembang.

Alahai, betapa hipokritnya kami beramal dengan agama-mu, Tuhan.

Khamis, Februari 14, 2013

Valentine

Hari Valentine; saban tahun, kita dihadapkan beragam hujah pengharamannya. Ia dikitar-ulang dengan inti agama dan moral yang dilatari oleh pelbagai kekaburan. Tafsirnya pula tampak agak melulu.

Tapi lewat sejarah, kita tahu hanya ada dua kisah agung -- cinta dan peperangan. Ia tak teredam oleh waktu dan tak tergusur oleh tohmah. Jagat-raya ini mual dibebani duka-lara tak berpenghujung.

Tenang saja, mari mawar-ku raikan cinta; selamat hari Valentine.

Khamis, Februari 07, 2013

Amba

Laksmi Pamuntjak menulis dengan cukup memikat. Belakangan ini, saya tak hanya membaca novelnya, tapi turut terhantar bergulat dalam sebuah momen tegang yang mencemaskan.

Novel dengan judul Amba itu, sebetulnya diilhami oleh Mahabharata dengan latar pergolakan politik pada tahun 1965 di Indonesia yang turut menyaksikan coup d'etat terhadap Bung Karno.

Dengan cukup simpatik, ia mengadun kisah belas-kasih yang sedemikian tulus tetapi terhalang oleh situasi yang begitu menduga. Wataknya lugas memperikan perasaan yang bergalau.

Mengulitnya juga adalah sebuah kembara ke masa lalu yang pahit. Hal ini dicitrakan dengan cemerlang lewat singkapan hidup menyeksakan para tapol yang terbuang ke Pulau Buru.

Tapi mengatasi kesemua itu, novel yang baru terbit hujung tahun lalu ini, terasa bergetar dengan gemerlapan imaginasi. Memetik kata sang protagonisnya,"..bahasa menjadi tak berguna."