Memaparkan catatan dengan label Omongan Jiwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Omongan Jiwa. Papar semua catatan

Ahad, Ogos 20, 2017

Kasih

Eulogi tertunda buat atuk; dengan du'a, kasih dan segenap kenangan.

*****

Pagi itu, ibu menghubungi saya dalam sayu. Ada tangis yang tak terempang. Dengan getar suara yang sayup, khabar dukanya beralih gagang -- atuk barangkali sedang menghabisi sisa-sisa hayat dan saya harus segera pulang.

Demikian lah atuk dalam ingatan saya. Sejak lebih sedekad lalu setelah berkali-kali dioperasi -- jantung, peparu, buah pinggang dll, tampangnya mulai melemah. Ia harus dibantu menguruskan diri dan tentu saja selalu diawasi.

Berbeda benar dengan periode mudanya. Atuk asalnya lulusan Sultan Idris Training College (SITC), yang kemudiannya berkarier sebagai guru sekolah Melayu. Ia lebih dikenal orang sebagai Cikgu Abu -- gelar terhormat zaman itu.

Dalam sesi ngobrol kami yang lazim, atuk selalu mengenang hal ini. Ia pergi berkereta api pacuan arang ke Tanjung Malim, jadi jaguh dalam sukan badminton, selain sedarjah dengan tokoh-tokoh gadang dunia pendidikan Melayu.

Begitu pun, menurut saya, ada sisi lain hidupnya yang lebih mengesankan. Ia bahagian peribadi yang tak tampak, apalagi dihebahkan. Tapi sering dikenang pelbagai kalangan. Saya mendengarnya saban waktu.

Atuk adalah sosok dengan belas kasih yang nir batas. Ia memberi sebanyak-banyaknya tanpa mengharap balas dan pamrih. Manakala dilukai dan dikhianati, ia selalu terkesan ikhlas dan redha dengan masa lalu tanpa banyak soal.

"Sekali berarti," demikian kata Chairil Anwar, "sudah itu mati." Atuk tentu tidak mengerti puisi ini. Tapi seluruh hidupnya memang adalah pengabdian. Ia dipercaya keluarga dalam begitu banyak hal dan dengan sabar, melayaninya.

Tanpa perlu bertele-tele, atuk mengungkapkan perhatian dengan komitmen nyata. Kadang disalah fahami, tapi barangkali itu bahagian yang tak terpisahkan daripada kehidupan. Laras bahasa romantis pun belum tentu akan dihargai.

Tiap ada kesempatan, saya menemaninya di rumah, di pusat dialisis, dan puluhan kali juga, di wad hospital. Kadang saya juga ralat, dalam momen seperti itu, saya gagal mengucapkan apa yang seharusnya dari jiwa yang paling dalam.

Memang begitu agaknya dunia bergulir. Masa lalu hanya dikenang dalam penyesalan. Ketika saatnya tiba, ada begitu banyak hal yang tak terluahkan. Dan kita hanya dapat mengisahkan masa depan dalam du'a yang penuh harap.

Saya barangkali rapat dengan atuk kerana sering berziarah. Rumah kami tak begitu jauh. Tiap ada senggang, saya selalu berlibur ke sana. Mungkin kerana itu lah atuk sering bertanyakan ibu bila saya akan pulang untuk bersamanya.

Permintaan atuk tak sentiasa saya penuhi. Di universiti dulu, saya hanya pulang manakala ada libur panjang. Tapi atuk tahu, saya memang punya alasan. Kasih melampaui jeda waktu serta batas ruang. Tiada yang terpinggirkan.

Tanpa atuk, hari jadi sepi dan malam pun memanjang. Kerinduan bukan lagi sebuah klise tak bermakna. Tapi melewati kesemua ini, kata menjadi tak berguna. Tuhan tentu punya rencana lain yang niscaya. Dan iman, diteguhkan.

"Bila kutitipkan dukaku pada langit," Gus Mus berujar, "pasti lah langit memanggil mendung." Betapa hiba, atuk pergi tatkala saya dan keluarga membacakan pesan qur'ani di pembaringannya. Tanpa keluh, ruh dan raganya terpisah.

Kami sekeluarga menguruskannya dengan takzim. Ketika memercikkan bauan mawar di layuannya, saya merasa kehilangan. Sosok yang pernah mengasihi saya tanpa tara itu, tiba-tiba beralih ke dalam dimensi yang berbeda.

Di pusaranya semalam, pohon mulai merendang dan seperti juga sosoknya dulu, meneduhkan. Saya tak mungkin lagi bisa menyalami kedut di tangannya atau mengucup dahinya yang jerih. Tapi kata pendeta, waktu adalah penawar.

Atuk adalah sebentuk bintang -- shooting star -- yang gemerlap dan indah untuk sementara, tapi akan terus kekal dalam ingatan. Kenangan barangkali bisa berganti. Tapi kasih, abadi. Muga ketemu lagi nanti, atuk. Saya pamit!

Khamis, Mei 09, 2013

Fokus

Pertempuran dalam medan politik adalah usaha penegakan prinsip. Ia bukan perjuangan untuk melebihkan ras atau agama, tapi menjunjung nilai dan maruah rakyat terbanyak.

Kerana itu apabila pemerintah dengan bantuan aparatnya merompak kemenangan dengan pelbagai penipuan, redha dan menyerah bukan pilihan. Ia harus ditentang dengan sekuat daya.

Kita tak patut menghina diri dan merelakannya diperlembu secara terang-terangan manakala wujud dakwaan serta bukti tak terbantah tentang helah untuk mengubah keputusan pemilu.

Ketika rasisme telah pun dihumban ke dalam tong sampah sejarah, fokus kita harus terpadu kepada isu pokok itu, bukan terhadap propaganda murahan oleh juak-juak regim lapuk.

Tiap daripada kita -- Melayu, Cina, India, dll -- mahukan kebenaran.

Reformasi II

Rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi 
rajawali merasa pasti
bahawa langit akan selalu menanti.
-WS Rendra, Rajawali

Isnin, Mei 06, 2013

Celaru

Keputusan rasmi PRU-13 oleh SPR tadi menyatakan bahawa Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah berbekal sekitar 112 kerusi parlimen.

Saya akan kedengaran seperti sore loser, tapi dalam sebuah proses yang celaru dan jelas tak adil, tiada sebab untuk Pakatan Rakyat dan rakyat secara umum menyerah kalah.

Kita dihina dengan cukup keji hari ini bermula daripada persoalan ketahanan dakwat kekal, kemasukan pengundi hantu, pembelian undi serta pemberitaan sendeng oleh media.

Syahdan, para konspirator dan petualang berganti sorak; et'tu Brute?

Isnin, April 29, 2013

Ultimatum

Membaca babad para tahanan politik yang direnggut kebebasan lewat pelbagai tuduhan serta akta zalim membuatkan kita benar-benar kacau dan galau selain didesak untuk kekal waras.

Periode tegang itu berkali-kali saya alami manakala menekuni Dua Wajah-nya Syed Husin Ali, Universiti Kedua-nya Kassim Ahmad dan juga Sengsara Kem Kamunting-nya Saari Sungib.

Tak terbayangkan, demi mempertahan kuasa beberapa kerat elit penguasa korup, sebuah sistem bobrok mewajarkan tingkah yang cukup kejam membungkam semua nilai manusiawi.

Meski undang-undang itu kini telah telah dimansuhkan, akta baru yang diperkenal tak lah begitu berbeza. Kita tetap terdedah dengan rekayasa jahat kalangan regim yang tandus moral.

Barangkali, kerana itu lah pilihanraya kali ini merupakan sebuah ultimatum bagi pihak rakyat. Kita harus memilih antara dua nilai, bukan semata perubahan pada sosok wakil rakyat.

Jumaat, April 26, 2013

Gelora



Demikian lah, keprihatinan saya kepada kepada teman-teman kalangan muda ditegaskan Pak Samad; "kita tulis puisi bukan untuk cinta-cintaan saja." Dan pak tua ini masih sebegitu tekal berjuang.

Isnin, April 22, 2013

Purbasangka

Saya membesar dalam kondisi sosial yang rencam. Malah, kalangan bff juga terdiri daripada jamak bangsa -- India, Siam dan Melayu, tentunya. Dan kerana itu, saya bersyukur.

Menjelang pilihanraya kali ini, setelah berdekad kita merdeka, saya masih gagal memahami retorika rasisme dan purbasangka lapuk yang umumnya bertujuan membela status quo.

Kalangan yang mempropagandakan hal itu terlihat tak segan-segan mencemuh serta menidakkan realiti politik baru dengan perhatian terhadap nilai ketimbang ras dan agama.

Mereka masih dipasung oleh culture of fear, sebuah tingkah jumud yang tak lagi relevan. Yang gagal dilihat adalah substance segar yang telah begitu menjauh serta berseberangan.

Tapi akhirnya, politik baru yang memaknakan maruah dan harga diri itu hanya lah sehampir lakon Hamlet bikinan William Shakespeare; "to be, or not to be, that is the question."

Ahad, April 21, 2013

Tempa

Dalam tiap medan revolusi yang melibatkan pertempuran antara kebenaran dengan kebatilan, kalangan marhaen pasti akan ditekan oleh aparat kekuasaan dengan segala dayanya.

Paling mutakhir, kita menyaksikan hal itu berlaku di Tunisia, Mesir, dan Libya. Bukan sedikit pahlawan yang tewas. Tapi mereka tahu, ada bunga harus gugur sebelum kembali mekar.

Berbekal tekad itu, keberanian menyala; dan sejarah pun ditempa.

Selasa, Mac 26, 2013

Sako

Pak Sako pada zamannya memang adalah seorang penulis yang gemilang. Sebagai seorang nasionalis, karya tulisnya diadun dengan pemikiran dan kritikan terhadap elit penjajah.

Begitu lah kira-kiranya deskripsi lazim yang ditemukan tentang sosoknya. Pun begitu, waktu berubah. Dan agaknya kerana itu, buah fikir dan idealismanya itu gagal saya fahami.

Saya baru saja menghabisi Anak Mat Lela Gila, tapi setelah lebih separuh ditelaah, intinya tak dapat diterka. Hal yang sama kala saya mengulit Putera Gunung Tahan tak lama dulu.

Ia persis rindu-dendam serta belas-kasih; terlihat ringkas tapi rumit.

Sabtu, Mac 23, 2013

Pisah II

Catatan buat teman yang bergalau, tapi baik budi; Faizah Ibrahim.

***

Tuah bergelut dengan sebuah dilema yang maha dahsyat. Waktu itu, kala psyche rakyat menanggapi titah sultan sebagai kenescayaan, yang tersisa hanya lah ketundukan dan ketaatan total.

Ia diutus membawa mohor diraja untuk meminang seorang puteri di puncak Ledang. Tapi, seperti yang dicitrakan Saw Teong Hin, dhamirnya bergolak, lalu berpergian tak lagi kembali.

Sang laksamana tak tertanggung derita cinta. Menjunjung perintah sultan bererti berkhianat kepada tulus kasih serta janji setia yang telah dimeterainya dengan gusti puteri di bumi Jawa.

Barangkali, berpisah daripada segala sesuatu memang adalah awal mula kepada hal-hal yang agung. Malah, ia bukan lagi asing dalam sejarah, apalagi bagi kalangan pendeta dan intelektual.

Kita tak mungkin lupa sosok al-Ghazali, Syed Qutb, Edward Said dll. Buat mereka ini, being a loner is justifiable, juga didambakan. Tapi itu tentunya tak mudah dan tentu saja dipenuhi duga.

Begitu pun, ada hal yang tak terelak; dan kita memang harus tabah.

Ahad, Mac 17, 2013

Kompromi

Ada seorang ilmuan dengan gelar profesor pernah berpesan kepada saya, yang intinya kurang lebih, mengajukan kompromi dalam hal-hal kebenaran. Ertinya, kekadang kita harus lunak.

Maka tak hairan, dengan bertopengkan hujah agama tentunya, ilmuan itu terus-terusan menjadi juak yang ramah dengan kerajaan. Ia tak berperan-serta menidakkan isu kezaliman.

Tentunya kita boleh menjangka, rencana keislamannya pula kaku dan terpisah dari realiti umat. Ilmu terbuang sebagai gugusan teori tanpa amal meski terdengar bahawa ia cukup mendalam.

Saya pun terhimbau kritik tepat Siddiq Fadzil betapa ulama kini tak punya umat selain hanya bermajikan; dan betapa yang diberatkan bukan lagi pendapat, tetapi hanya lah pendapatan.

Khamis, Februari 28, 2013

Rasis

Kalangan yang akhir-akhir ini cukup galak melaung slogan dengan tempelan label-label agama rupanya hanya cuba menutupi rasisme yang begitu kental dalam diri.

Serunya konon kepada muslim berwibawa yang tak lebih adalah cerminan mentaliti lapuk dan jumud. Tambah malang, disumbu dengan prejudis penuh dusta.

Manakala fraksi politik merangka kebijakan menyeluruh untuk mengangkat martabat rakyat, mereka cuma mampu menyebarkan insecurity yang tak berjejak.

Terus lah bersandiwara; acungkan tangan ke langit -- hidup Melayu!

Sabtu, Februari 23, 2013

Sejarah

Malam tadi, seperti juga malam-malam sebelumnya belakangan ini, saya terpaksa bergelut untuk lekas lelap. Selagi tak diserang kantuk yang kronik, saya memang tak punyai pilihan -- membaca.

Begitu lah awalnya saya menekuni Comments on the Re-Examination of Al-Raniri’s Hujjatu’l Siddiq: A Refutation karya-nya Prof. al-Attas, sebuah sanggahan bertenaga terhadap Prof. G.W.J Drewes.

Dengan cukup tajam, al-Attas mengkritik sikap dan conjecture yang dilakukan sang orientalis dalam memahami manuskrip langka oleh Nuruddin al-Raniri, ulama besar di Acheh pada abad ke-17.

Mentelaah dan larut dalam karya tulis al-Attas tentang sejarah sering kali mengujakan. Ia tak hanya mengajukan tesis baru, malah dengan berani, memberi tafsiran yang berbeda daripada kelaziman.

Misalnya, yang termuat dalam Historical Fact and Fiction, seputar babad Melaka, Parameswara, dan asal-muasal Sumatera, sebuah rombakan total riwayat yang telah termaktub di Nusantara.

Harapnya malam nanti nyenyak; saya mahu mimpi jadi Hang Jebat.

Rabu, Februari 20, 2013

Label

Lewat makalahnya yang termuat dalam Adab dan Peradaban, sebuah festschrift buat Prof. al-Attas yang baru diluncurkan, Mohd Affandi Hassan mentakrifkan gelar pengarang dan sasterawan.

Pengarang, begitu katanya, adalah kelompok yang cuba menyampaikan pemikiran sementara sasterawan adalah kelompok yang bermain dengan bahasa untuk meluahkan emosi.

Demikian lah, ketika membacanya, saya cuba membayangkan sekian banyak toko buku dengan rak yang penuh terisi label novel tarbiah; novel islami; dan tentu saja, novel cinta kopiah-tudung.

Jumaat, Februari 15, 2013

Protokol

Hujjatul Islam al-Ghazali menyinggungnya sebagai al-mutarasimun, ya'ni kalangan yang beragama tanpa penghayatan dan sekadar ditanggapi sebagai ritual resmi-resmian.

Maka tak hairan, khutbah tadi masih terpengap dengan spekulasi Protokol Zionis yang semacam diyakini sebagai meta naratif penyebab kondisi umat terus membejat.

Tudingan ke luar tanpa sedetik pun cuba melakukan introspeksi ini, malah kepada suatu hal yang belum terbukti, juga telah disanggah, amat lah menyeksakan seluruh jiwa-raga.

Sungguh, saya tak cuba bersarkastik. Ia persis peristiwa di negeri jauh. Kala berjejer fatwa mengharamkan hari kekasih, program bertema cinta begitu mekar berkembang.

Alahai, betapa hipokritnya kami beramal dengan agama-mu, Tuhan.

Khamis, Februari 07, 2013

Amba

Laksmi Pamuntjak menulis dengan cukup memikat. Belakangan ini, saya tak hanya membaca novelnya, tapi turut terhantar bergulat dalam sebuah momen tegang yang mencemaskan.

Novel dengan judul Amba itu, sebetulnya diilhami oleh Mahabharata dengan latar pergolakan politik pada tahun 1965 di Indonesia yang turut menyaksikan coup d'etat terhadap Bung Karno.

Dengan cukup simpatik, ia mengadun kisah belas-kasih yang sedemikian tulus tetapi terhalang oleh situasi yang begitu menduga. Wataknya lugas memperikan perasaan yang bergalau.

Mengulitnya juga adalah sebuah kembara ke masa lalu yang pahit. Hal ini dicitrakan dengan cemerlang lewat singkapan hidup menyeksakan para tapol yang terbuang ke Pulau Buru.

Tapi mengatasi kesemua itu, novel yang baru terbit hujung tahun lalu ini, terasa bergetar dengan gemerlapan imaginasi. Memetik kata sang protagonisnya,"..bahasa menjadi tak berguna."

Rabu, Januari 30, 2013

Siddharta

Khabarnya, ia lahir dengan beberapa petanda bahawa nanti sosoknya membesar sebagai seorang yang sakti. Dalam sebuah istana yang firdausi, ia ditatang dengan segala kemewahan.

Begitu pun, kita tahu kisahnya yang masyhur. Siddharta sedar hidup melampaui sebuah janji kekuasaan dan belai manja gundik. Fantasi yang diciptakan sang raja, tak lagi mengiurkan.

Kita tak mungkin benar-benar pasti adakah ia akhirnya menemukan nirvana. Tapi, pengiran muda ini menempuh moment of existential realisation, sebuah hal fana yang tak terbanding.

Dari sana, di bawah sebuah pohon rimbun, lahir sebuah agama, juga kesedaran bahawa manusia harus melepaskan pesona dunia. Dan saya teringat luput senja yang damai di Benares.

Ahad, Januari 27, 2013

Tegah

Hayek menegah Fischer terjun ke dalam lapangan politik. Dua tokoh itu, yang awalnya bertemu di LSE, akhirnya merubah lanskap ekonomi dengan ide-ide kebebasan dan pro-pasaran.

Cendekiawan atau kalangan intelektual harus terlibat dalam pertempuran pemikiran, bukan sibuk dengan ehwal politik yang memperdaya serta dipenuhi kebijakan menyeleweng.

Berdekad sesudahnya, kita pun mengangguk; mungkin benar, Hayek.

Sabtu, Januari 26, 2013

Pop

Mendengar kuliah agamawan pop memang menghiburkan. Bicaranya, yang lazimnya adalah seputar persoalan fiqh, dipenuhi gelak tawa dan lelucon dengan contoh mudah.

Cuma, kita kadang resah dihadapkan hujah simplistik yang culas dan liar dalam isu-isu pokok. Apalagi, jika hal-hal itu kemudiannya nanti terus diimani dan disebar luas.

Tapi, kalau mahu memandu tanpa menguap, boleh saja dong. Beres!

Isnin, Januari 21, 2013

Cerut

Cuba, selain dikenal orang sebagai sebuah negara yang dibangunkan lewat revolusi, juga adalah pengeluar cerut terbaik dan paling berkualiti di dunia. Yang mengejutkan, rahsianya -- puisi.

Begitu lah sastera dimanipulasi. Di salah sebuah gedung pembuatannya, sejumlah puisi dan prosa indah akan dibaca tiap masa. Ia jadi perangsang keenakan bau serta rasa cerut.

Kita teringat sosok Che Guevara; kita terhimbau puisi Pablo Neruda.