Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

Sabtu, Julai 28, 2012

London

Obor telah pun dinyalakan oleh kalangan muda -- simbol masa depan, menandakan pembukaan Sukan Olimpik London '12. Acara purba yang bermula di Greece ribuan tahun lampau, kini jadi medan solidariti warga dunia, sebalik pertarungan maruah dan kehormatan nusanya.

Buat kesemua atlit -- maju terus, menang lah atau tewas bak wira!

Sabtu, Jun 16, 2012

Takdir

24 jam setelah membebel perihal bolasepak, saya dipaksa untuk kembali menyepak bola. Ia bergolek di depan saya, tersasar dari tengah padang. Lalu saya pun menyepaknya kembali. Terasa masih seperti dulu, zaman gemilang dengan teman-teman -- macam Henry!

Jumaat, Jun 15, 2012

EURO '12

Kalau keterikatan kepada bolasepak adalah sebuah cinta-kasih, maka saya mungkin romeo yang telah berkhianat. Barangkali, kalau pernah berjanji setia, saya kini pendusta.

Saya takkan menulis eulogi atau consolatio buat diri, meski bolasepak telah menjadi sebuah kata yang begitu asing. Jujurnya, ia bukan lagi sebuah obsesi seperti dulu.

Buat bolasepak, kita harus ingat kata M. Nasir lewat lagu Sang Pencinta; sang pencinta hanya dia mengerti persoalan percintaan ini.


Isnin, Oktober 04, 2010

Komanwel

India secara rasmi menjadi tuan rumah Sukan Komanwel ke-19 setelah upacara pembukaannya berlangsung meriah di Stadium Jawaharlal Nehru malam tadi. Dalam ulitan persembahan leluhur budayanya yang megah, cakap-cakap seputar ketidaksediaan persiapan India langsung sepi.

Dari kejauhan, saya menontonnya dengan penuh minat dan penghargaan. Malam gemilang pesta sukan kedua terbesar dunia ini cukup bergetar. Muga rasa manusiawi dan persaudaraan yang cuba disenyawa melalui sukan juga turut terkesan sama. Buat semua atlit, selamat beraksi di tanah Delhi!

Jai Hind!

Ahad, Disember 14, 2008

Perang!

Awal-awal lagi, perang saraf saya mulakan. Mendengar kehebatan beberapa nama yang diulang berkali-kali, saya pantas berapi. Sebanyak manapun keringat harus dikerah, kesediaan saya malam tadi memang tidak goyah!

Medan tempur itu panas. Gelegak darah dan pusaran deras ribut jiwa jelas kelihatan. Bola maut itu dilontar balingan demi balingan menuju sasaran.

Saya mahu membunuh. Ada yang harus dikorbankan. Pedulikan jam yang tidak henti-henti berdetik. Saya tidak akan balik selagi pertaruhan nyawa ini tidak berkesudahan.

Special team!

Dan akhirnya, bergempita alam maya. Keriuhan dalam kegembiraan hati pantas mengisi ruang. Yang kuat harus menang! Mutlak!
-----------------------------------------------------------------------------------
Catatan ini masih diresapi kekuatan roh kemenangan saya semalam. Walaupun hanya berjaya mengisi tempat ke-dua dalam pertandingan boling itu, saya tetap gembira kerana berjaya mencabar diri untuk berkesan dalam aksi. Oh ya, catatan ini juga sedikit poyo buat manusia yang tidak menyukainya!

Jumaat, Disember 12, 2008

Kejayaan Itu Apa?

Catatan berikutnya adalah catatan lewat. Sebelum membacanya, anda harus tahu bahawa pasukan bola sepak Malaysia telahpun tewas dan tersingkir daripada persaingan merebut kejuaraan Piala Suzuki AFF 2008 yang diadakan di Phuket, Thailand.

-------------------------------------------------------------------------------------

Teman saya, seorang pengkagum hoki yang dulunya merupakan penyerang lincah di padang bola menyatakan kemarahannnya terhadap pasukan bola sepak Malaysia.

Rasa berangnya membuak-buak tatkala melihat Malaysia diperbodohkan hasil kesilapan penjaga golnya yang tersalah jangkaan. Dalam perlawanan menentang Vietnam di Piala Suzuki AFF 2008 itu, Malaysia tumbang dengan dua gol berbalas tiga.

Jujurnya, saya juga tidak mengharapkan apa-apa daripada pasukan bola sepak Malaysia. Bila diberitakan tentang kekalahan itu, saya hanya perlu menambahkan koleksi piala kekalahan dalam almari kaca yang kabur bola sepak Malaysia.

Tetapi kehampaan tidak akan membantu mempositifkan keadaan. Kemarahan pula adalah duri yang hanya mampu meninggalkan bisa dan melompongkan keyakinan kita terhahadapnya.

Yakinlah bola sepak Malaysia mampu bangkit kembali. Kalaupun tidak, kita harus tahu bahawa ukuran kejayaan bukan hanya dikira pada jumlah kemenangan yang diperoleh di pentas dunia. Lebih jauh daripada itu, kejayaan adalah keunggulan cita-cita dengan segala pahit maung yang dilalui untuk mencapainya!

Success is a journey, not a destination
-Ben Sweetland