Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan
Sabtu, Mei 11, 2013
Isnin, April 29, 2013
Ultimatum
Membaca babad para tahanan politik yang direnggut kebebasan lewat pelbagai tuduhan serta akta zalim membuatkan kita benar-benar kacau dan galau selain didesak untuk kekal waras.
Periode tegang itu berkali-kali saya alami manakala menekuni Dua Wajah-nya Syed Husin Ali, Universiti Kedua-nya Kassim Ahmad dan juga Sengsara Kem Kamunting-nya Saari Sungib.
Tak terbayangkan, demi mempertahan kuasa beberapa kerat elit penguasa korup, sebuah sistem bobrok mewajarkan tingkah yang cukup kejam membungkam semua nilai manusiawi.
Meski undang-undang itu kini telah telah dimansuhkan, akta baru yang diperkenal tak lah begitu berbeza. Kita tetap terdedah dengan rekayasa jahat kalangan regim yang tandus moral.
Barangkali, kerana itu lah pilihanraya kali ini merupakan sebuah ultimatum bagi pihak rakyat. Kita harus memilih antara dua nilai, bukan semata perubahan pada sosok wakil rakyat.
Labels:
Aktiviti,
Arus Politik,
Demokrasi,
Omongan Jiwa,
Telaah Buku
Jumaat, April 26, 2013
Gelora
Demikian lah, keprihatinan saya kepada kepada teman-teman kalangan muda ditegaskan Pak Samad; "kita tulis puisi bukan untuk cinta-cintaan saja." Dan pak tua ini masih sebegitu tekal berjuang.
Labels:
Aktiviti,
Arus Politik,
Omongan Jiwa,
Sosial,
Tokoh
Rabu, April 24, 2013
Ampu
Saya hampir selesai membaca The Captive Mind, sebuah magnum opus Czeslaw Milosz, cendekia asal Poland yang secara gamblang melakarkan realiti masyarakat dalam sistem totalitarian.
Menghubungkan karya ini dengan erti hidup dalam sebuah negara demokrasi tentu lah keterlaluan. Pun begitu, semacam ada generalisasi serta persamaan sentral yang tak terelakkan.
Ia mengkisahkan kalangan terdidik dan terpandang dalam strata sosial yang tunduk serta lunak kepada kekuasaan meski tahu tentang kefasadan yang terus saja bersipongang dalam sistem itu.
Dek pesona dan tawaran timbal-balik yang mengiurkan, mereka dilihat rela membungkam penentangan peribadi, lalu mengambil sikap yang berseberangan untuk mengampu pemerintah.
Di sini, kalangan itu merajai wawancara media -- profesor kangkung.
Labels:
Aktiviti,
Arus Politik,
Demokrasi,
Pemikiran,
Telaah Buku
Jumaat, April 05, 2013
Selasa, Mac 26, 2013
Sako
Pak Sako pada zamannya memang adalah seorang penulis yang gemilang. Sebagai seorang nasionalis, karya tulisnya diadun dengan pemikiran dan kritikan terhadap elit penjajah.
Begitu lah kira-kiranya deskripsi lazim yang ditemukan tentang sosoknya. Pun begitu, waktu berubah. Dan agaknya kerana itu, buah fikir dan idealismanya itu gagal saya fahami.
Saya baru saja menghabisi Anak Mat Lela Gila, tapi setelah lebih separuh ditelaah, intinya tak dapat diterka. Hal yang sama kala saya mengulit Putera Gunung Tahan tak lama dulu.
Ia persis rindu-dendam serta belas-kasih; terlihat ringkas tapi rumit.
Labels:
Aktiviti,
Omongan Jiwa,
Pemikiran,
Telaah Buku,
Tokoh
Isnin, Mac 25, 2013
Sabtu, Mac 23, 2013
Pisah II
Catatan buat teman yang bergalau, tapi baik budi; Faizah Ibrahim.
***
Tuah bergelut dengan sebuah dilema yang maha dahsyat. Waktu itu, kala psyche rakyat menanggapi titah sultan sebagai kenescayaan, yang tersisa hanya lah ketundukan dan ketaatan total.
Ia
diutus membawa mohor diraja untuk meminang seorang puteri di puncak
Ledang. Tapi, seperti yang dicitrakan Saw Teong Hin, dhamirnya bergolak,
lalu berpergian tak lagi kembali.
Sang laksamana
tak tertanggung derita cinta. Menjunjung perintah sultan bererti
berkhianat kepada tulus kasih serta janji setia yang telah dimeterainya
dengan gusti puteri di bumi Jawa.
Barangkali, berpisah daripada segala
sesuatu memang adalah awal mula kepada hal-hal yang agung. Malah, ia
bukan lagi asing dalam sejarah, apalagi bagi kalangan pendeta dan
intelektual.
Kita tak mungkin lupa sosok al-Ghazali, Syed Qutb, Edward Said dll. Buat mereka ini, being a loner is justifiable, juga didambakan. Tapi itu tentunya tak mudah dan tentu saja dipenuhi duga.
Begitu pun, ada hal yang tak terelak; dan kita memang harus tabah.
Labels:
Aktiviti,
Filem,
Omongan Jiwa,
Peristiwa,
Sosial
Rabu, Mac 20, 2013
Pisah I
Beberapa bulan lalu saya menyinggung catatan Goenawan Mohamad tentang Edward Said, sang intelektual asal Jerusalem, yang oleh pergolakan politik, terbuang ke Amerika Syarikat.
Dalam sela penantian pengumuman pembubaran parlimen beberapa hari belakangan, saya sempat menghabisi Out of Place, memoirnya yang dilakarkan dengan begitu banyak kenangan.
Sebermula daripada waktu kecilnya yang diterap dengan disiplin, hubungan dengan famili dan teman-teman di Kaherah serta konflik diri di Princeton dan Harvard, ia memang geseh.
Tapi menurut saya, yang paling menarik tentu lah kala ia memisahkan diri daripada kelompok dominan yang popular semata untuk merintis denai sebagai seorang sarjana.
Judulnya cocok; dan sosoknya adalah tugu gadang yang terkalahkan.
Labels:
Aktiviti,
Pemikiran,
Telaah Buku,
Tokoh
Sabtu, Februari 23, 2013
Sejarah
Malam tadi, seperti juga malam-malam
sebelumnya belakangan ini, saya terpaksa bergelut untuk lekas lelap.
Selagi tak diserang kantuk yang kronik, saya memang tak punyai pilihan
-- membaca.
Begitu lah awalnya saya menekuni Comments on the Re-Examination of Al-Raniri’s Hujjatu’l Siddiq: A Refutation karya-nya Prof. al-Attas, sebuah sanggahan bertenaga terhadap Prof. G.W.J Drewes.
Dengan cukup tajam, al-Attas mengkritik sikap dan conjecture yang dilakukan sang orientalis dalam memahami manuskrip langka oleh Nuruddin al-Raniri, ulama besar di Acheh pada abad ke-17.
Mentelaah dan larut dalam karya
tulis al-Attas tentang sejarah sering kali mengujakan. Ia tak hanya
mengajukan tesis baru, malah dengan berani, memberi tafsiran yang
berbeda daripada kelaziman.
Misalnya, yang termuat dalam Historical Fact and Fiction, seputar babad Melaka, Parameswara, dan asal-muasal Sumatera, sebuah rombakan total riwayat yang telah termaktub di Nusantara.
Labels:
Aktiviti,
Omongan Jiwa,
Pemikiran,
Telaah Buku,
Tokoh
Oscars
Nate Silver, ahli statistik yang telah dengan tepat meramalkan kemenangan Barack Obama dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, sekali selagi diberi perhatian.
Kali ini, pertaruhannya adalah seputar keputusan dalam acara cukup bergengsi dunia perfileman, Academy Awards yang akan berlangsung Ahad ini di Dolby Theatre, Los Angeles.
Menurutnya, ia adalah malam gemilang untuk Argo, filem arahan Ben Affleck tentang pergolakan politik dan diplomasi pasca Revolusi Islam Iran yang terjadi sekitar tahun 1979.
Filem ini belum lagi ditonton; maka, dukungan saya untuk Lincoln.
Ahad, Februari 17, 2013
Cita
Menonton filem-nya Woody Allen, Midnight in Paris adalah pengalaman yang sublime. Filem yang terbit setahun dua lalu itu baru sempat saya nikmati pada ambang hari kekasih.
Barangkali masih dalam kepompong Annie Hall, bedanya filem ini melakarkan konflik diri yang terkepung dalam melankoli dua zaman yang telah berubah dengan latar indah kota Paris.
Gil Pender sang protagonisnya, adalah penulis dengan watak nostalgia, sebuah pertembungan tak terelakkan dengan si tunangan yang tak mengerti betapa bernilainya masa lalu.
Dalam daya bayang yang cukup magis, ia kembali ke dekad gemilang seni dan sastera serta menemukan nama-nama besar idolanya -- Zelda, Toklas, Picasso, Fitzgerald, Hemingway.
Filem ini elok ditonton sendiri. Ia mewajahkan hidup yang sering mendesak kita menjadi orang lain, bukan lagi sosok asli yang terbangun daripada cita-cita dan mimpi sendiri.
Khamis, Februari 14, 2013
Valentine
Hari Valentine; saban tahun, kita
dihadapkan beragam hujah pengharamannya. Ia dikitar-ulang dengan inti
agama dan moral yang dilatari oleh pelbagai kekaburan. Tafsirnya
pula tampak agak melulu.
Tapi lewat sejarah, kita tahu hanya ada dua kisah agung -- cinta dan peperangan. Ia tak teredam oleh waktu dan tak tergusur oleh tohmah. Jagat-raya ini mual dibebani duka-lara tak berpenghujung.
Tenang saja, mari mawar-ku raikan cinta; selamat hari Valentine.
Rabu, Februari 13, 2013
Khamis, Februari 07, 2013
Amba
Laksmi Pamuntjak menulis dengan cukup memikat. Belakangan ini, saya tak hanya membaca novelnya, tapi turut terhantar bergulat dalam sebuah momen tegang yang mencemaskan.
Novel dengan judul Amba itu, sebetulnya diilhami oleh Mahabharata dengan latar pergolakan politik pada tahun 1965 di Indonesia yang turut menyaksikan coup d'etat terhadap Bung Karno.
Dengan
cukup simpatik, ia mengadun kisah belas-kasih yang sedemikian tulus
tetapi terhalang oleh situasi yang begitu menduga. Wataknya lugas
memperikan perasaan yang bergalau.
Mengulitnya juga adalah sebuah
kembara ke masa lalu yang pahit. Hal ini dicitrakan dengan cemerlang
lewat singkapan hidup menyeksakan para tapol yang terbuang ke Pulau
Buru.
Labels:
Aktiviti,
Arus Politik,
Omongan Jiwa,
Peristiwa,
Telaah Buku
Rabu, Februari 06, 2013
Lincoln
Ia berdepan dengan sikap prejudis yang mengental dan belum mampu dilebur. Meski puluhan ribu jiwa telah gugur, konflik perkauman itu tetap saja menimbulkan bentrokan fatal.
Di Amerika waktu itu, juga yang ngaumnya barangkali kita rasakan di Malaysia kini, ada kalangan yang meyakini mereka lebih mulia, lebih terpilih, lebih bererti, justeru menguasai.
Berada di pundak kekuasan, batas moral tiba-tiba mulai kabur. Malah tak lagi ganjil apabila ia menumbuhkan keyakinan absolute yang tak tergoncang. Dunia, dirubah menjadi surga.
Tapi politik akan selamanya kekal sebagai wahana diplomasi, medan di mana tanggungjawab mengatasi keghairahan menawan musuh dan mengakui kesetaraan dalam wujud manusia.
Lincoln akhirnya tetap ditembak, tapi kita tahu, ia belum lagi mati.
Labels:
Aktiviti,
Antarabangsa,
Arus Politik,
Filem,
Tokoh
Rabu, Januari 30, 2013
Siddharta
Khabarnya, ia lahir dengan beberapa petanda bahawa nanti sosoknya membesar sebagai seorang yang sakti. Dalam sebuah istana yang firdausi, ia ditatang dengan segala kemewahan.
Begitu pun, kita tahu kisahnya yang masyhur. Siddharta sedar hidup melampaui sebuah janji kekuasaan dan belai manja gundik. Fantasi yang diciptakan sang raja, tak lagi mengiurkan.
Kita tak mungkin benar-benar pasti adakah ia akhirnya menemukan nirvana. Tapi, pengiran muda ini menempuh moment of existential realisation, sebuah hal fana yang tak terbanding.
Dari
sana, di bawah sebuah pohon rimbun, lahir sebuah agama, juga kesedaran
bahawa manusia harus melepaskan pesona dunia. Dan saya teringat luput
senja yang damai di Benares.
Labels:
Agama,
Aktiviti,
Omongan Jiwa,
Peristiwa
Isnin, Januari 28, 2013
Normalisasi
Slavoj Zizek lewat sebuah esei pendek dalam The Guardian sehari dua lalu memberi masukan yang baik tentang Zero Dark Thirty, filem tentang pemburuan sang teroris, Osama Laden.
Filem itu, yang belum ditonton kerana toko DVD cetak rompak yang selalu saya kunjungi sering saja tutup, boleh jadi telah bankrap, tergambar cuba untuk menormalkan penderaan.
Menurut
saya, hal ini bukan sesuatu yang aneh. Ia adalah halwa mata dalam
segugus filem lain sebelumnya. Antaranya, sekian banyak babak tak
terlupakan semisal dalam Unthinkable.
Ia
cuba dijustifikasi dengan pelbagai istilah yang kononnya mendesak --
keselamatan negara, ancaman kepada keamanan dll. Lantas, tanpa soal,
kita pun memberi consent dan tunduk patuh.
Labels:
Aktiviti,
Antarabangsa,
Filem,
Pemikiran
Sabtu, Januari 26, 2013
Pop
Mendengar kuliah agamawan pop memang menghiburkan. Bicaranya, yang lazimnya adalah seputar persoalan fiqh, dipenuhi gelak tawa dan lelucon dengan contoh mudah.
Cuma, kita kadang resah dihadapkan hujah simplistik yang culas dan liar dalam isu-isu pokok. Apalagi, jika hal-hal itu kemudiannya nanti terus diimani dan disebar luas.
Tapi, kalau mahu memandu tanpa menguap, boleh saja dong. Beres!
Labels:
Agama,
Aktiviti,
Omongan Jiwa,
Pemikiran
Selasa, Januari 15, 2013
Wahana
Dalam basa-basi sebelum mendeklamasikan Di Atas Padang Sejarah di #KL112 lalu, Pak Samad berterima kasih kepada rakyat kerana memberi maruah kepada "orang baca puisi."
Di
tangannya, puisi adalah senjata. Ia jadi wahana yang mencitrakan detak
jantung serta denyut nadi umat melawan regim zalim dan korup. Sastera
diranumi bahasa perlawanan.
Kekadang,
kita pun jatuh hairan bagaimana ia, pak tua dengan usia lebih separuh
abad, lebih bermotivasi untuk menggemakan hak dan kebenaran melalui
ekspresi kesusasteraan.
Labels:
Aktiviti,
Omongan Jiwa,
Seni,
Tokoh
Langgan:
Catatan (Atom)