Sabtu, Mei 16, 2009

Selamat Hari Guru

Tidak mudah untuk menyusun kembali puzzle kehidupan. Apabila saya cuba mengisi satu demi satu ruang dengan memori lampau, ia seakan tidak punya titik mula. Imbauan terlalu sukar untuk dicorak dengan berkesan.

Namun saya percaya, di mana pun jua permulaannya, kehidupan sehingga ke hari ini tidak boleh lari dari bayangan segar dasawarsa lalu. Saat itu, saya baru ingin dimanusiakan. Dan tentu saja selain keluarga, proses itu dimulakan oleh seorang guru.

Saya, bahkan mungkin kesemua daripada kita, punya pengertian dan memori mendalam tentang itu. Dengan penuh kesedaran, kita harus mengakui bahawa seorang guru merupakan tunjang dan nadi kepada pembentukan diri.

Ah, kita tidak sama. Cerapan kita berbeza. Cukuplah omongan itu saya hentikan di sini. Cuma, apapun tanggapan kita terhadap guru dan nilai yang mereka salurkan pada kita sepanjang hidup, hal itu perlu sentiasa dihargai.

Sebelum munculnya mentari esok, saya harus mengakui bahawa tiada kata dan lafaz lain yang indah untuk saya ucapkan. Segala rasa kasih, pengharapan dan penghargaan telah terangkum dalam suatu slogan keramat, kenangan terhadap sebuah jasa yang hebat;

Selamat hari guru!

Rabu, Mei 13, 2009

Ilusi

Membaca helaian demi helaian Long Walk To Freedom sangat mengujakan. Memoir Nelson Mandela ini juga adalah antara buku terawal yang membuka pemikiran saya tentang daya juang yang harus dipertahankan demi keadilan dan kebebasan.

Melaluinya, pemenang anugerah Nobel Keamanan pada tahun 1993 itu melakar jerih yang terpaksa diharunginya bagi membebaskan Afrika Selatan daripada belenggu apartheid. Bersama teman-temannya, Mandela berusaha dengan sekuat daya.

Tetapi hari ini, saya sangat jelek apabila Dato' Seri Dr. Zambry menyamakan situasinya dengan Mandela. Lebih menggelikan, Gandhi juga dilibatkan sama. Dalam cemuhan menggila kelompok marhaen terhadapnya, jenaka begini tidak langsung kelakar.

Kita berhak untuk membandingkan. Namun saya pasti, jika hal ini sampai ke pendengaran Mandela, ia akan berasa dukacita dan terhina. Mujur saja Gandhi sudah mati. Andai sebaliknya, pasti ia akan menghambat manusia berilusi yang tak sedar diri!

Isnin, Mei 11, 2009

Seminar Ekonomi Alternatif

Maklumat lanjut boleh diakses di sini.

Selamat Hari Ibu

Pernah dulu, dalam kelas biologi, saya bertanya kepada guru bagaimana rasanya saat melahirkan anak selepas berbulan-bulan ia dalam kandungan. Pertanyaan itu dijawab guru saya secara berseloroh, "rasa pedih macam pedang dihiris di pinggang".

Dalam kejahilan dan ketaktahuan, jawapan seperti itu tentu saja mengejutkan saya dan teman-teman meski kami masih cuba menyimpan resah dengan berusaha untuk tersenyum. Pertanyaan terjawab walaupun ia tidak langsung menyenangkan pendengaran.

Kalaupun benar ia berlaku, itu mungkin hanya cebisan kecil daripada penderitaan sebenar yang terpaksa ditanggung oleh ibu yang tidak pernah kita rasakan. Dan kita terus gembira menjadi anak sambil terus melupakan kesusahan dan kesakitan.

Wahai anak, berhentilah bermimpi. Si ibu harus kita hargai dengan segenap rasa kasih yang mendalam sesuai dengan pengorbanan dan keringat yang telah ia curahkan. Hapuskan airmatanya yang hiba dengan tangisan duka. Gantikan ia dengan tawa gembira.

Demi Tuhan, ibu adalah lambang ketinggian semangat dan kekuatan, mungkin juga ia antara sosok terunggul yang pernah Dia ciptakan!

Selamat hari ibu!

Jumaat, Mei 08, 2009

Matinya Daulat Hukum

Sidang DUN Perak tanggal 7 Mei 2009 mencipta duka yang bukan kepalang. Keluhuran perlembagaan diinjak sang penguasa yang rakus. Tatkala Speaker diheret tanpa rasa hormat, demokrasi sebenarnya telah mati dan tidak bernafas lagi.

Dan ini masanya untuk kita kembali bermuhasabah;

amenangi jaman édan
éwuhaya ing pambudi
mélu ngédan nora tahan
yén tan mélu anglakoni
boya keduman mélik
kaliren wekasanipun
ndilalah kersa Allah
begja-begjaning kang lali
luwih begja kang éling klawan waspada


Meneliti rangkap terkenal syair Ranggawarsita bertajuk Zaman Edan ini cukup mengesankan. Ia seolah satu hentakan kembali ke dalam diri. Suatu ingatan agar kita sentiasa waspada dengan tindakan gila kelompok berkuasa!

Rabu, Mei 06, 2009

Kebodohan

Tidak ada pekerjaan maksiat yang lebih jahat daripada kebodohan (jahl), dan kebodohan terbesar adalah tidak mengenali kebodohan (al-jahlu bil jahli)
-Abu Talib al-Makki

Isnin, Mei 04, 2009

Berkisah Pada Harapan

Sisyphus hanya mampu memerhati. Ia berulang kali melakukan hal yang sama. Belum sempat sampai ke puncak bersama batu yang dibawa, batu itu bergolek jatuh. Lalu ia mencuba lagi, lagi dan lagi. Dapatan yang sama terjadi. Batu itu tetap bergolek jatuh.

Tidak seperti Sisyphus, Pandora kelihatan punya nasib yang lebih baik. Meski kedua-duanya seolah melakukan sesuatu yang sia-sia, kisah Pandora lebih menarik kerana di sana masih tersimpan nasib. Sebuah harapan dalam rencam permasalahan.

Mahasiswa memang harus kritis. Kesedaran yang tinggi atas hakikat itu layak menerima pujian menggunung. Apatah lagi dalam keadaan mendesak yang menyaksikan idealisme mahasiswa seringkali mati ditembusi derita hedonisme dan kebutaan jatidiri.

Golongan terpelajar harus menjadi rakan yang membina terhadap pembentukan apa jua agenda perubahan dimensi minda. Dalam proses itu pula penolakan terhadap pertentangan pendapat perlu diraikan dengan semangat keterbukaan yang tinggi.

Umumnya, kita sering terpana dengan revolusi aksi. Menghadapi kekeliruan dengan membentak hanya menghadirkan ketempangan yang jelas terlihat. Bukan menidakkan, tetapi saluran intelektual dan pemikiran mahasiswa seolah tidak digarap dengan baik.

Masih ramai mahasiswa yang terperangkap dalam khayalan. Mereka gagal memahami fungsi dan peranan. Dan hal ini menyebabkan episod duka mahasiswa yang mandom diteruskan dengan alasan remeh kononnya hidup ingin bergembira ria dan bukan ditekan.

Tatkala mahasiswa mempertikaikan sesuatu, hal itu tentunya perlu diteliti dengan baik. Manakan tidak, cetusan dari otak yang terdidik tentu saja terkandung ilmu dan dasar hujah yang mendalam. Tapi kini kita hampa. Mahasiswa tidak lagi begitu.

Hal ini juga semacam telah mencipta satu budaya baru yang menjelekkan - pandang sehala. Sikap dan perilaku tidak diupayakan sepenuhnya untuk turut sama menyelam ke dasar masalah. Ia lebih melihat kepada lambakan sampah daripada cuba membuangnya.

Sikap mahasiswa dewasa ini diburukkan lagi dengan kesalahfahaman dalam mendepani sesuatu isu berbangkit. Ruang tidak dimanfaatakan dengan hikmah tetapi ia dimanipulasi untuk mencipta gempita yang dijana sudut pandang yang sempit.

Dan kerana itu kita harus belajar daripada Sisyphus dan mengambil pengajaran daripada Pandora. Matlamat mahasiswa harus lebih jelas dan tidak dikaburkan hal-hal yang membantutkan ia dicapai. Melalui Pandora, mahasiswa harus yakin dengan harapan meski yang tergambar hanya rantaian masalah dan kegusaran.

Mimpi-Mimpi Resah

Aku tak pernah menyesal pada kelam malam kerana aku tahu ia bukan salah bulan. Namun, kalau kau rimas dengan kegelapan, bukankah ini masanya dian itu harus kau nyalakan?

Jumaat, Mei 01, 2009

Manusia Indonesia

Dalam ceramahnya di Taman Ismail Marzuki, Jakarta, tanggal 6 April 1977, Mochtar Lubis menanggapi beberapa hal berkaitan masyarakat di Indonesia. Pasca ceramahnya, tokoh wartawan dan sasterawan ini menerima maklumbalas pelbagai dari khalayak.

Ia melihat bahawa permasalahan sikap dan perilaku yang mendarah daging dalam kalangan masyarakat Indonesia sebagai penghalang kemajuan. Pun begitu, ceramahnya masih bersifat umum dan tidak mengkhususkan cerapan pada kelompok tertentu.

Justeru, ada baiknya inti ceramahnya bertajuk 'Manusia Indonesia' itu saya perturunkan kembali di ruang ini. Mungkin hal ini akan sedikit mengganggu benak. Namun saya mengharapkan kejujuran dan kerendahan hati untuk kita maladeninya.

Berikut merupakan ciri-ciri masyarakat Indonesia yang ia gariskan;

Bersikap hipokrit atau munafik

Tidak bertanggungjawab

Berjiwa feudal

Mempercayai tahyul

Bersifat artistik

Berwatak lemah

Mengenangkan yang kita berasal dari rumpun yang sama, wajar untuk kita bermuhasabah kembali mengenai hal ini. Dan akhirnya terpulang kepada kita, mahu maju dengan menyingkirkan segala kelemahan atau terus melemah dengan segala kekurangan.