Langit masih samar tatkala feri membelah ombak laut Pulau Mutiara. Mentari seakan malu untuk memunculkan wajah. Kepenatan mengharung perjalanan panjang selama enam jam sebelum tiba di negeri sebelah utara ini lekas hilang sebaik pandangan mula diisi dengan kelibat kota batu yang memenuhi tanah warisan Francis Light itu.
Kembara ke Pulau Pinang ini sebenarnya dirancang lewat. Bermula hanya sebagai bahan ketawa bersama teman-teman saat pertemuan terakhir sehari selepas sambutan Hari Natal, ramai yang ragu bahawa ia akan terlaksana. Manakan tidak, beberapa acara yang dirancang sebelumnya sudah beberapa kali menemui kegagalan (baca:dibatalkan), tidak hairan andai kali ini tiada yang mahu mempercayai si perancangnya lagi.
Bagi saya ia menggamit. Tinggalan struktur kolonial dengan rupa bentuk pelbagai memang menanti kerlipan lensa kamera yang mahu mengabadi kenangan bersamanya. Walaupun didominasi oleh bangsa Cina bermula dari perniagaan runcitan sekitar Batu Ferringhi sehinggalah ke syurga makanan Persiaran Gurney, atmosferanya tenang dengan rasa damai yang kadangkala membuai rasa sunyi di kejauhan.
Georgetown hidup dan bergetar menanti kunjungan. Meski wajah-wajah asing terlihat di mana-mana, mereka hidup rukun tanpa sengketa. Perbalahan kecil di atas jejantas persimpangan jalan menghala Pasar Chowrasta yang melibatkan mereka bagi saya hanya biasa. Selagi prinsip dan hak warganegara yang lain dihormati, saya tidak bermasalah menghadapi hakikat manusia yang selalu tidak sebulu dan penuh dengan benci.
Ah, biarkan. Gedung buku terpakai di Pasar Chowrasta yang letaknya di Jalan Penang sudah berteriak memanggil untuk dijelajah. Walaupun pasar lama ini sebetulnya lebih dikenali sebagai tempat berjual beli jeruk dan jajan lain yang terkenal, khazanah terpinggir di satu sudut kelamnya tidak harus saya lupakan. Ia benar-benar menggoda. Kaget seketika saat mata terlihat naskah Keluarga Gerilya yang lusuh. Himpunan buku-buku lamanya juga cukup mengiurkan. Hanya saja wang yang selalu mencemburui. Saya pulang dengan beberapa naskah lama dekad-dekad terdahulu yang tentunya sukar unruk ditemukan lagi.
Bersambung...
Selasa, Februari 17, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 ulasan:
aduh....ayat kamu menggoda lubang hidung aku....hahaha~
Ha ha ha
sounds great :)
Catat Ulasan