Khamis, April 30, 2009

Santai

Sabtu lalu saya sempat berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-28 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Bertemakan 'Buku:Lakaran Masa Depan', pesta selama seminggu ini sesak dengan orang ramai.

Lautan manusia seperti itu memang meresahkan. Apatah lagi jika ada di antaranya gagal memahami makna toleransi dan berbudi. Kemahuan berpaksikan nafsu dan kehendak diri didahulukan tanpa memikirkan orang lain di sekitarnya.

Sangkaan awal saya meleset. Fikir saya, manusia yang hadir ke pesta seperti ini adalah manusia terdidik. Tentu saja dengan minat membaca, nilai-nilai mulia akan lebih terserlah. Rupanya praktik tidak diselarikan dengan ilmu.

Apapun, kehadiran itu tidak mahu saya sia-siakan meski mood sedikit tergugah dek sikap segelintir pengunjung yang tidak beradab. Tatkala mundar-mandir sekitar lima jam di situ, ratusan juga tabungan berjaya dilangsaikan. Mujur saja hati lekas memujuk, "inikan pelaburan!"

Sebahagian buku-buku yang dibeli itu belum saya sentuh. Masa yang ada lebih banyak diperuntukkan untuk membaca Falsafah Dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas yang masih belum selesai sambil mula menyelak helaian awal Islam Dan Dasar Pemerintahan, sebuah karangan kontroversi Syeikh Ali Abdul Raziq!

Tiada ulasan: