Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan tindakan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin melaungkan ungkapan 'Hidup Rakyat' dan 'Bubar DUN Perak' sejurus selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Resminya, upacara itu harus berlangsung dengan penuh hormat memenuhi tatacara yang telah ditetapkan. Apa saja perlakuan yang tidak mengikut kelaziman dan kelihatan janggal, mudah ditebak sebagai unparliamentarian.
Sosok politikawan berkarisma yang dulunya langsung tidak dikenali ini kini menjadi bahan tawa musuh. Lebih malang, kredibilitinya dipertikai seolah perbuatannya itu terlalu teruk dan langsung tidak diterima akal.
Namun, kelihatannya ramai yang berbicara di luar konteks yang sepatutnya. Meski tindakan itu sumbang, ia didasarkan atas hujah dan situasi yang cukup ampuh. Samada ianya keterlaluan atau tidak bukanlah satu persoalan.
Apa perlunya ia mengangkat sumpah untuk mempertahankan perlembagaan jika matanya kabur menilai apa yang berlaku di Perak. Malah, diam bererti bacul. Perlembagaan yang jelas diinjak dan dihenyak harus dipertahankan.
Kita tidak boleh mengharapkan manusia yang mencampakkan perlembagaan ke dalam tong sampah untuk menatangnya kembali. Kelompok seperti itu, tidak mungkin wujud dalam kelompok politik kuasa yang rendah akal dan nilai.
Dan kerana itu rakyat memerlukan Nizar. Tindakannya itu, meski terlihat jelek di mata sesetengah pihak perlu dihormati seandainya kita masih berpijak dan meyakini keluhuran perlembagaan yang disanjung tinggi.
Apapun, desakan demi desakan yang dilakukan sekalian rakyat yang masih percaya kepada daulat hukum, jelas tidak memadai untuk menyedarkan kelompok penguasa yang diam membatu. Nizar punya justifikasi yang jelas.
Mereka? Benak!
Rabu, Jun 17, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan