Jumaat, Julai 10, 2009

Natrah

Singapura bergolak awal September 1950. Rusuhan atas nama agama yang dijana oleh masyarakat Melayu dan orang Islam ketika itu pantas merebak. Mereka tidak langsung gentar berdepan aparat kuasa tentera dan polis British. Bukan sedikit yang cedera, malah jumlah kematian juga menggentarkan.

Hanya demi akidah seorang gadis, mereka sanggup berdepan risiko yang mendatang. Pertembungan Islam dan Kristian lewat keputusan mahkamah yang mengembalikan hak jagaan Natrah kepada kedua ibu bapanya yang berbangsa Belanda, terus mencetus konflik. Keadaan tegang dengan semangat yang berkocak.

Penderitaan Natrah lekas mengundang simpati dunia. Bantuan datang mencurah dalam pelbagai bentuk. Sosok orang Melayu karismatik seperti Dr. Burhanuddin Helmi dan Prof. Ahmad Ibrahim antara yang awal menghulur bantuan. Matlamatnya hanya satu; Islam yang dianuti Natrah harus dipertahankan!

Kita memerlukan masa lalu untuk merencana masa depan. Kisah Natrah tidak harus selama-lamanya dipandang sebagai suatu konflik agama yang menyebabkan kita terperangkap dalam ketakutan dan rasa was-was. Ia sepatutnya mengajar kita untuk jujur mengakui kelemahan dalam beberapa aspek bernegara.

Dan kisah ini perlu mendapat perhatian khalayak secara keseluruhannya. Iktibar yang tercermin melaluinya perlu diteliti dengan baik. Kemajmukan agama yang sedang kita nikmati di Malaysia boleh menjadi bom jangka jika tidak ditangani dengan betul dan berkesan. Ia mendesak kita untuk sentiasa waspada dalam keterbukaan.

Beberapa hari yang lalu, Natrah meninggal dunia dalam usia 72 tahun di negara asal kedua orang tuanya; Belanda. Meski ia sudah tiada, latar masa dan peristiwa lampau yang pernah ditempuh dulu sentiasa hidup. Ia tidak perlu dikuburkan demi rasa senang bahawa ia telah berlalu. Kita perlu belajar sesuatu.

Buat Natrah, bersemadilah dalam damai.

4 ulasan:

i~ berkata...

kenapa kita sering kalah dlm pertahankan islam?

istana budaya akn membuat pementasan teater ttg beliau . watak natrah dilakonkan oleh diana daniel. sy pasti akn pergi menontonnya! :)

Sy@M!M! ^ AzM!r@ berkata...

kisah sedih. Doakan semangat mereka meresap kedalam jiwa kita demi sebuah perjuangan :)

Hanif Amir berkata...

Ya.

Muhammad Nabil berkata...

Salam Hanif,

Kalau kau ada masa nanti boleh tak sedikit sebanyak menulis tentang Yayasan Konrad Adenauer dan juga FreeMasonry mempengaruhi kehidupan sehari-harian dari kaca mata dan pandagan saudara dan juga kaedah mengekang serta mengatasi perkara yg difikirkan mengancam..

Terima kasih.