Isnin, Ogos 31, 2009

Merdeka

Merdeka seringkali diertikan dengan cukup ringkas. Bagi segelintir rakyat, kata merdeka dianggap sebagai keadaan mandiri dalam sebuah negara berdaulat. Dengan ketiadaan ancaman penjajah, kehidupan tentunya lebih lengkap.

Malaysia layak untuk bergembira. Setelah lebih setengah abad menikmati hidup yang bebas dan dibentuk oleh kebijaksanaan yang jauh daripada pengaruh luar, kita kini merayakan sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara.

Saya mengucap syukur atas peluang dan ruang yang tersedia untuk dimanfaatkan sebagai seorang warganegara. Kesedaran bahawa mengisi kemerdekaan itu lebih sukar tentu menyentak rasa agar kita menjadi lebih bertanggungjawab.

Sebagai rakyat, kita juga harus sentiasa menginsafi hakikat sebenar kemerdekaan. Bertunjangkan akar kebebasan, merdeka tidak akan bererti seandainya rakyat masih dibelenggu pelbagai sekatan atas hak yang seharusnya kita miliki.

Merdeka akan hanya menjadi laungan kepura-puraan yang berselindung atas nama perpaduan, jatidiri dan semangat nasionalisme sempit segelintir pihak. Maka, setiap dari kita harus segera memaknakan merdeka dengan jujur.

Semoga Tuhan memberkati perjalanan sejauh ini.

Selamat menyambut kemerdekaan.

Tiada ulasan: