Ahad, September 20, 2009

Lebaran

Usai bersama keluarga menyiapkan anyaman ketupat dan persiapan makanan lazim hari raya selainnya, langit terlihat gemilang dengan kerlipan bunga api memecah kelam malam. Mengenangkan atuk telah membeli beberapa jenis bunga api dan mercun, saya juga turut serta dalam sambutan meriah menyambut kedatangan hari mulia, Aidilfitri.

Saya belum pernah gagal untuk pulang berhari raya di kampung halaman. Peluang bertemu sanak saudara dalam keceriaan hari raya cukup membahagiakan. Tambahan pula jika aktiviti berziarah terus dilangsungkan. Ia medan terbaik buat umat Islam memanjatkan syukur atas segala nikmat setelah sebulan berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Menginsafi kehinaan diri yang terpalit pelbagai dosa di sisi manusia dan Tuhan, saya mohon kesempatan agar segala keterlanjuran dalam kata dan khilaf dalam perbuatan dimaafkan oleh teman-teman. Semoga lanjutan penyucian diri dalam Ramadhan dapat diteruskan dengan penuh sedar dan dengan komitmen yang tinggi menuju redha Tuhan.

Salam lebaran, selamat kembali kepada fitrah.