Khamis, Oktober 22, 2009

Gadoh

Awalnya, saya didesak oleh seorang teman agar segera menonton Gadoh. Walaupun ia sebenarnya telah lama ditayangkan, saya langsung tidak berminat melayan filem ini meski punya banyak masa terluang. Pandangan dan sangkaan saya pada filem-filem Melayu lazimnya negatif.

Bukan sedikit filem Melayu yang mewajahkan masyarakat dengan hodoh. Atas alasan ingin merakam gambaran sebenar kehidupan sosial, ia seolah mewajarkan filem-filem Melayu hilang moral dan tatasusila. Kurang sekali citra murni dan mulia yang dibekalkan dan boleh diteladani.

Dan saya menonton Gadoh dengan keraguan yang sama. Rasa ragu dengan makna dan mesej yang cuba disampaikan melaluinya. Pun begitu, persoalan demi persoalan yang terlontar segera menidakkan jangkaan saya. Isu perkauman yang disuguh dan dicerna jelas menyinggung ketempangan masyarakat.

Melalui setiap wataknya, prejudis antara kaum cuba dirungkai. Faham perkauman yang sempit dan diasaskan dengan dendam tidak hanya terlihat jijik, malah ia juga menggambarkan ketidakmatangan kita untuk cuba memahami sesama sendiri. Gadoh memecah kebuntuan ini seraya memaknakan kerjasama diantaranya.

Begitulah Gadoh, sebuah filem jujur tentang bangsa kita.

1 ulasan:

amira halim berkata...

dunie utk org bijak..pndai2 hidup klu xnk kne pijak..