Sejak beberapa hari kebelakangan, saya kerap memulakan hari dengan mendengarkan Jana Gana Mana. Berbekalkan melodi yang memikat, lagu kebangsaan India ini lekas menyihir pendengaran. Ya, mungkin saja bunyinya derhaka kerana tidak memutarkan Negaraku sebagai pembangkit semangat.
Bagi saya, melodinya cukup indah. Malah ia jauh meninggalkan lagu-lagu balada picisan yang kerap dimainkan di radio kini. Apatah lagi jika mengenangkan bahawa ia ditulis oleh Rabindranath Tagore, orang Asia pertama yang berjaya menerima Anugerah Nobel Sastera pada tahun 1913.
Mungkin keterlaluan untuk menyatakan bahawa lagu ini secara tidak langsung menyuntik patriotisme melebihi lagu kebangsaan negara saya sendiri. Sebuah lagu kebangsaan bukan hanya untaian kata diiringi muzik yang bergetar, ia juga terbeban dengan persoalan maruah dan kebanggaan.
Beberapa orang teman mempertikaikan tindakan saya mengangkat lagu ini. Kata mereka, seburuk manapun ia, akhirnya itulah yang acapkali dinyanyikan tanda keharmonian dan keutuhan dalam sejarah negara yang sebegini jauh. Khabar tentang Negaraku yang diciplak daripada Mamula Moon langsung ditutup.
Biarlah, saya tak peduli mengenainya. Sebagai sebuah negara terhormat, saya tidak dapat menerima andai benar dakwaan bahawa lagu kebangsaan negara saya sendiri merupakan sebuah lagu ciplak. Itu penghinaan terbesar seolah kita tandus buah fikir untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik.
Sementara konflik itu belum terungkai, saya akan terus membiarkan lagu ini mengisi rongga. Ia lalu meresap dalam nadi dan terpasak teguh dalam hati. Demi sebuah melodi sebegini indah, harus saja ia terbuai dalam diri. Persetankan keluh-kesah yang membelenggu. Saya hanya mahu menikmati muzik!
Rabu, November 25, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan