Khamis, November 26, 2009

Keamanan

Sepi dinihari menemukan saya dengan sejumlah fakta menarik tentang penentangan terhadap peperangan. Lewat perang Vietnam beberapa dekad lalu, masyarakat khasnya di Amerika mula membudayakan protes terbuka bagi tujuan itu. Hal ini dilakukan dengan pelbagai cara yang akhirnya mengundang kesedaran dan simpati majoriti masyarakat.

Tragedi di Kent State University membuktikan betapa hasrat murni yang mahukan kedamaian tidak mudah untuk dicapai. Ia diburukkan lagi dengan sikap aparat kuasa yang gagal mentafsir makna kemanusiaan. Justeru, dalam gelojoh dan strategi tempang untuk membungkan suara penentangan, ia terpaksa meragut nyawa sebagai korban.

Entah bila kebejatan ini akan berakhir. Dewasa ini, ia bukan lagi suatu isu yang tersudut, malah telah menjadi gempita di seantero dunia. Ketegangan demi ketegangan yang berlaku tak kunjung selesai. Padahal, jutaan manusia telah lebih dulu pergi diakibatkannya. Air mata hampir kering dan terhapus demi mengimbau darah yang tumpah.

Dan saya akan terus mengulang dengar bait lagu John Lennon, Give Peace A Chance. Biarpun lagu itu sering mengisi slot demonstrasi dan protes anti perang, ia seakan jauh daripada kepekakan telinga pemimpin dunia yang sombong. Kuasa terus-terusan ingin dicari dengan cara mengganyang negara dan kelompok yang lemah.

Namun ia pasti akan berpenghujung. Kita hanya perlu menyedari sebuah hakikat bahawa keamanan, juga seperti cinta, ia memerlukan peluang!

Tiada ulasan: