Isnin, November 22, 2010

Adab

Seboleh mungkin, saya cuba untuk tidak menghambur maki. Memang, dalam keadaan tertentu, kekangan yang dipaksa pada diri ini terasa menjerihkan. Bahasa, seperti juga laku, buat saya adalah cerminan adab.

Malahan, kala kecil dan bersekolah, ibu sering menegah saya membahasakan diri 'aku'. Pada ibu -saya mengagak- kata itu bernada kasar dalam pendengarannya. Dalam lingkungan itu, saya membesar dengan berbudaya.

Pagi tadi, saya terkesan benar ketika berurusan dengan seorang petugas kaunter. Ia tak hanya bakhil menguntum senyum, juga canggung hemah. Fikir saya, soalan yang diajukan sopan sekali, tapi balasnya angkuh.

Dengan mimik kelat, ia mempertikai soalan saya sebagai pelanggan. Matanya bundar, tak terlihat langsung simpati. Sambil mengetik kekunci komputer, sekali lagi ia berpaling, antara mahu dan tidak menyeluruhi saya.

Saya pun berlalu. Tidak memaki, meski gelojak jiwa - menyumpah!

Kasih

At the touch of love, everyone becomes a poet.
-Plato

Jumaat, November 19, 2010

Novela

Sejak menyudahkan Snow dan menghabiskan lebih separuh The Black Book karangan Orhan Pamuk beberapa purnama lalu, sudah begitu lama saya tidak menikmati novel. Masa yang tersisa dan disia-siakan lebih terisi dengan pembacaan tulisan bukan fiksi selain aktiviti wajib yang perlu dikerjakan (tidur).

Cuma baru-baru ini saya kembali menghadap kerja-kerja sastera. Bermula dengan citra novel persuratan Pujangga Melayu yang ditulis Mohd. Affandi Hassan, mood itu berlanjut dengan cerpen dan novel A. Samad Said. "Enak ya!", meminjam lafaz Presiden Obama, tepat sekali untuk menggambarkan rasa.

Kini, berdikit-dikit saya menjamah Midnight's Children-nya Salman Rushdie. Entah mengapa, ia selalu mengundang kantuk. Dan kerana itu, saya hanya membacanya kira-kira waktunya hampir untuk menghangatkan ranjang. Ah, terseksa sekali membaca lambat kerana ia pasti terlupakan kemudiannya.

Esok, mungkin juga lusa, cadangnya ingin ke toko buku. Sengaja mahu bersama gempita dunia seputar novel terbaru Jonathan Franzen, Freedom. Tabung ayam pecah. Maka terkuburlah harapan untuk ber-backpacking ke India. Mujur, buku punya getar yang asyik. Membaca, juga meneroka, lazimnya indah!

Khamis, November 04, 2010

Christian

Saya tidak tahu naluri manusiawi siapa yang tidak tergugah, atau airmata bakhil mana yang enggan berlinang, demi Christian. Ya, ia mungkin bukan sesiapa. Tentunya juga, tak pernah mengingin belai kasih atau gerak manja kita.

Tapi Christian, seperti yang tercerna dalam emosi John Rendall dan Anthony "Ace" Bourke, adalah segala-galanya. Meski ia hanya seekor singa biasa yang awalnya terkurung sendiri, kita akhirnya akur, tulus rasa itu rupanya tidak berbatas.

Manusia, harus jujur. Kita perlu belajar daripada binatang.