Khamis, Jun 23, 2011

Pesan

Sebenarnya, kita boleh mempermasalahkan apa saja dalam kehidupan. Lalu, hal itu sengaja diperpanjang; selain mahu melengah waktu, juga menanti hujah dalam ilham untuk mewajarkan tindakan.

Hal yang sama saya lalui kala masih sekolah. Lebih mengujakan, saya disokong oleh teman-teman dan langsung tak diperingatkan oleh kaunselor (yang waktu itu mengamanahkan tanggungjawab).

Saya diajar untuk memahami tindakan, juga menerima segala kesan dan dapatan. Sebetulnya, ia antara peristiwa yang sangat berbekas dan sering saja kembali dikenang setiap ada kesempatan.

Ah, omongan ini terlalu serius. Saya hanya mahu khabarkan yang kita boleh memilih apa yang kita mahu -- hidup saling dibenci dan membenci atau sebaliknya. Pesan teman saya, life is fun!

Jambori

Menjelang Jambori Pengakap Dunia ke-22 bermula 27 Julai hingga 7 Ogos di Rinkaby, Sweden, saya lekas terhimbau memori lampau. Meski keterlibatan berpengakap itu relatif singkat, memori dan jejaknya rencam.

Entah dari mana harus bermula, ia menggelojak untuk dikisahkan. Bagi yang skeptik, mereka harus tahu bahawa pengakap tak hanya tentang merintis denai baru hutan atau mengembara berkhemah tanpa tujuan.

Sejujurnya, ia tentang kehidupan; tentang pengalaman memaknai hayat; tentang jiwa dan semangat; tentang tulus rasa yang nir batas. Memang, kedengaran asing, juga berlebihan. Malah, pastinya sukar untuk dipercaya.

Buat saya, ia memperkaya. Ia mendedahkan saya pada saling keterikatan manusia -- emosi pelbagai, memahami kehendak, ruang sandaran dll -- yang tentu saja memberi corak dan menambah warna dalam kehidupan.

Insha-Allah, nantinya dicoret. Saya cuba habis baik!

Rabu, Jun 01, 2011

Pesona

Saya mulai bosan merepek. Teman-teman juga acapkali marah-marah. Seru mereka, saya harus serius -- kurang sarcastic, muka ketat dll -- yang tentu saja tak mudah untuk diubah.

Baik, sebetulnya bukan teman-teman; itu keterlaluan, seolah saya ini politikus licik yang hayatnya hanya mengundang benci. Teman, itu mungkin lebih tepat; yang sentiasa cuba mewaraskan.

Apapun, saya baru temukan satu ruang baru. Di sana, saya membaca coret-coret enak seputar kehidupan. Bahasanya memukau, juga membuai. Du'a saya, sosok penulisnya lekas jadi novelis.

Sampai jumpa!

Khamis, April 28, 2011

Benak

Istilah, hadir berangkai dan pelbagai. Sama ada pemikir, intelektual, rausyanfikir atau apa sekali pun, jujurnya saya merasa kontang. Malah di Malaysia, kalau pun terhidu hanya bau busuk gerak laku mereka.

Lalu buku-nya Raja Ahmad Aminullah yang terbit seminggu lalu ini saya baca. Dan di sana saya temukan paparan sikap apologetik yang beraja dalam kalangan sosok yang diistilahkan itu (juga kuasawan!).

Begini ia diungkapkan; sesebuah bangsa yang maju mesti mempunyai keupayaan untuk mentertawakan diri sendiri. Hanya orang yakin yang mampu berbuat demikian. Lanjutnya, di sebaliknya orang yang mempunyai rasa rendah diri akan mudah rasa tersinggung hatta oleh lawak atau guyonan yang bersifat ringan untuk hiburan.

Remeh, tapi sengaja diperbesar. Ah, ini biasa didengar. Kan?

Rabu, April 27, 2011

Bintang



Filem ini menggugah, dan saya, hampir menangis. Pada watak Ishaan yang sering tak dimengerti, lalu dipalit pelbagai persepsi buruk, saya rasakan ia hidup malah berlegar di sekeliling.

Bintang, muga kau terus bergemilang cerah!

Sabtu, Mac 05, 2011

Semangat

Tiada yang salah dalam susunan kata Sinatra. Kala ia mengungkap, "Regrets, I've had a few," kedengarannya indah. Tapi dalam melodi My Way, lirik itu berlanjut, "but then again, too few to mention."

Mungkin hidup memang begitu. Simpang-siur jalannya sering saja buatkan kita semacam mahu berhenti berharap. Yang menghalang hanya percik harapan. Dan hal ini yang mendorong untuk terus maju.

Aduh, "too few to mention." Muga ada semangat yang tersisa.

Khamis, Februari 17, 2011

Makan

Obsesi yang terbesar, selain daripada hal-hal remeh yang selalu saya bebelkan dalam ruang ini, adalah makanan. Kalau diturut hati, mahu saja semuanya saya sumbatkan ke tenggorok. Tapi sebagai muslim, soal halal dan haram masih kekal membatasi.

Kerana itu, saya cuba sekuat daya untuk tidak ke pasar malam. Di sana, saya akan terliur dengan pelbagai juadah lazim dan asing yang belum pernah dinikmati. Gelojak nafsu sentiasa menghasut saya untuk mencuba segalanya. Acapkali, saya tewas.

Oh, my bengkang (ajuk "Oh, my Louis Vuitton" dalam Pisau Cukur)!

Rabu, Februari 16, 2011

Repek

Baik, begini kisahnya. Saya kini lelah sekali. Meski cuba mengekang diri daripada tersedut dalam soal politik sejak beberapa bulan kebelakangan, sepertinya ada yang belum selesai dengan jiwa.

Beberapa orang teman anak muda yang berimpi besar mahu menjadi penulis (kalau boleh dikambinghitamkan) adalah puncanya. Membaca tulisan mereka, saya malas mahu terjeda menguap sekian lama.

Isinya hanya tentang muda-mudi berakhlak bobrok, diadun dengan sebakul kalimah yang dicuplik di sini-sana, dan bahasa yang ranum dengan kesaksian bahawa mereka Melayu ulung, cukup melelahkan.

Daripada mereka, saya mengharapkan sesuatu yang lebih segar dan lebih kaya. Dan mungkin kerana itu juga, saya hanya mampu merepek. Kerana segar dan kaya, selain asing, juga terlihat kabur.

Entah di mana boleh saya temukan.

Poyo

Sering juga terdengar monolog teman-teman yang sengaja mengundang bentak. Mereka, lingkungan rapat sekolahan, lazim menegur saya -- membosankan! Mahu diapakan lagi kenyataan itu kalau tidak hanya didiamkan.

Tapi memang tak ternafi bahawa ia tak seluruhnya salah. Kala mereka gencar dengan futsal dan liburan selainnya, sering juga ajakan untuk bersama saya tolak atas pelbagai alasan. Meski dalam diam, saya jarang rasa terasing.

Di sini kata bosan itu terjelma -- saya mahu membaca!

Selasa, Februari 01, 2011

Bangkit

Ratusan ribu, kalau pun tidak jutaan, rakyat Mesir kini di Medan Tahrir dalam tunjuk rasa mendesak Hosni Mubarak turun dari takhta kuasa. Setelah ditindas puluhan tahun, emosi membuak dengan amarah dan semangat menuntut perubahan.

Revolusi ini momen penting dalam sejarah umat. Muga kekal thabat!