Khamis, Februari 17, 2011

Makan

Obsesi yang terbesar, selain daripada hal-hal remeh yang selalu saya bebelkan dalam ruang ini, adalah makanan. Kalau diturut hati, mahu saja semuanya saya sumbatkan ke tenggorok. Tapi sebagai muslim, soal halal dan haram masih kekal membatasi.

Kerana itu, saya cuba sekuat daya untuk tidak ke pasar malam. Di sana, saya akan terliur dengan pelbagai juadah lazim dan asing yang belum pernah dinikmati. Gelojak nafsu sentiasa menghasut saya untuk mencuba segalanya. Acapkali, saya tewas.

Oh, my bengkang (ajuk "Oh, my Louis Vuitton" dalam Pisau Cukur)!

Rabu, Februari 16, 2011

Repek

Baik, begini kisahnya. Saya kini lelah sekali. Meski cuba mengekang diri daripada tersedut dalam soal politik sejak beberapa bulan kebelakangan, sepertinya ada yang belum selesai dengan jiwa.

Beberapa orang teman anak muda yang berimpi besar mahu menjadi penulis (kalau boleh dikambinghitamkan) adalah puncanya. Membaca tulisan mereka, saya malas mahu terjeda menguap sekian lama.

Isinya hanya tentang muda-mudi berakhlak bobrok, diadun dengan sebakul kalimah yang dicuplik di sini-sana, dan bahasa yang ranum dengan kesaksian bahawa mereka Melayu ulung, cukup melelahkan.

Daripada mereka, saya mengharapkan sesuatu yang lebih segar dan lebih kaya. Dan mungkin kerana itu juga, saya hanya mampu merepek. Kerana segar dan kaya, selain asing, juga terlihat kabur.

Entah di mana boleh saya temukan.

Poyo

Sering juga terdengar monolog teman-teman yang sengaja mengundang bentak. Mereka, lingkungan rapat sekolahan, lazim menegur saya -- membosankan! Mahu diapakan lagi kenyataan itu kalau tidak hanya didiamkan.

Tapi memang tak ternafi bahawa ia tak seluruhnya salah. Kala mereka gencar dengan futsal dan liburan selainnya, sering juga ajakan untuk bersama saya tolak atas pelbagai alasan. Meski dalam diam, saya jarang rasa terasing.

Di sini kata bosan itu terjelma -- saya mahu membaca!

Selasa, Februari 01, 2011

Bangkit

Ratusan ribu, kalau pun tidak jutaan, rakyat Mesir kini di Medan Tahrir dalam tunjuk rasa mendesak Hosni Mubarak turun dari takhta kuasa. Setelah ditindas puluhan tahun, emosi membuak dengan amarah dan semangat menuntut perubahan.

Revolusi ini momen penting dalam sejarah umat. Muga kekal thabat!

Khamis, Januari 13, 2011

Lara

Kelmarin, alam turut teriak. Untuk suatu duka perginya sebuah kasih, dan sebeban lara yang ditanggung kerana terpisah, tiada siapa akan mengerti. Alam turut bersama meski dakapan membujuk jiwa itu langsung tak terucapkan.

Kami bersama sejak akhir persekolahan. Awal perkenalan -- asing, angkuh enggan merenung, kini hanya mampu saya kenang kembali dalam mimpi dan senggang sunyi. Sosoknya lembut memaut, meramahi dan menyokong.

Saat dihenyak tugasan, ia pasti ada. Malah, tak pernah mempersoal andai ada waktu ia tertikam dengan amarah, dihunjam tanpa belas. Kalau lah boleh diulang waktu, pasti ia akan saya rayu dengan maaf dan rintihan tanda kesal.

Kelmarin, dipenghujung usianya, saya hanya memerhati. Kaget kerana sebelumnya ia cukup segar untuk menemani meski masih terlihat lelah. Tak terdaya saya membiarnya sendiri. Lalu terus saya kendong meski nadinya sepi.

Sebuah beg sandang, rabak di dada dan terputus tali. Ia bukan lah apa-apa. Cuma buat saya, ia beg yang cukup bermakna. Pergi lah kasih, jumpa lagi di sorga.

Rabu, Disember 22, 2010

Perak

Meski cuba melepaskan diri daripada segala keterikatan emosi yang saya rasakan terhadap tanah leluhur asal kelahiran, persoalan yang berbangkit dalam krisis perlembagaan di Perak tak dapat saya waraskan. Memang, saya cenderung berlaku bias.

Saat demokrasi dan hak absah rakyat yang diperoleh lewat pilihanraya dicabul, saya terhenyak. Terasa tolol berdiam dalam sebuah watan usang -- watan yang tak pernah tahu meletakkan penghormatan pada suatu nilai yang wajib disanjung.

Krisis politik yang mengheret sama peranan istana dan institusi kehakiman pasca gelora Mac 2008 ini wajar direnung, dicermati, juga diambil pedoman. Pasak sistem kenegaraan yang mulai rapuh, pasti tak menjanjikan apa-apa buat kita sebagai rakyat.

Ketaksuban pegangan politik, baik buat pemerintah, atau pembangkang, tak harus membuatkan kita terus-terusan memerangkap diri dalam faham canggung. Ia seharusnya memberi cerah, meski cukup sekadar mengakui tindak ralat dan silap.

Buku ini, wajib dibaca dengan du'a; muga esok masih bermentari.

Sabtu, Disember 11, 2010

Xiaobo

Liu Xiaobo, aktivis pro-demokrasi China diumum secara rasmi sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan 2010. Kerana masih terpenjara, kerusinya dalam dewan penganugerahan di Oslo dibiar kosong. Salut saya buatnya, sang pejuang!

Isnin, November 22, 2010

Adab

Seboleh mungkin, saya cuba untuk tidak menghambur maki. Memang, dalam keadaan tertentu, kekangan yang dipaksa pada diri ini terasa menjerihkan. Bahasa, seperti juga laku, buat saya adalah cerminan adab.

Malahan, kala kecil dan bersekolah, ibu sering menegah saya membahasakan diri 'aku'. Pada ibu -saya mengagak- kata itu bernada kasar dalam pendengarannya. Dalam lingkungan itu, saya membesar dengan berbudaya.

Pagi tadi, saya terkesan benar ketika berurusan dengan seorang petugas kaunter. Ia tak hanya bakhil menguntum senyum, juga canggung hemah. Fikir saya, soalan yang diajukan sopan sekali, tapi balasnya angkuh.

Dengan mimik kelat, ia mempertikai soalan saya sebagai pelanggan. Matanya bundar, tak terlihat langsung simpati. Sambil mengetik kekunci komputer, sekali lagi ia berpaling, antara mahu dan tidak menyeluruhi saya.

Saya pun berlalu. Tidak memaki, meski gelojak jiwa - menyumpah!

Kasih

At the touch of love, everyone becomes a poet.
-Plato

Jumaat, November 19, 2010

Novela

Sejak menyudahkan Snow dan menghabiskan lebih separuh The Black Book karangan Orhan Pamuk beberapa purnama lalu, sudah begitu lama saya tidak menikmati novel. Masa yang tersisa dan disia-siakan lebih terisi dengan pembacaan tulisan bukan fiksi selain aktiviti wajib yang perlu dikerjakan (tidur).

Cuma baru-baru ini saya kembali menghadap kerja-kerja sastera. Bermula dengan citra novel persuratan Pujangga Melayu yang ditulis Mohd. Affandi Hassan, mood itu berlanjut dengan cerpen dan novel A. Samad Said. "Enak ya!", meminjam lafaz Presiden Obama, tepat sekali untuk menggambarkan rasa.

Kini, berdikit-dikit saya menjamah Midnight's Children-nya Salman Rushdie. Entah mengapa, ia selalu mengundang kantuk. Dan kerana itu, saya hanya membacanya kira-kira waktunya hampir untuk menghangatkan ranjang. Ah, terseksa sekali membaca lambat kerana ia pasti terlupakan kemudiannya.

Esok, mungkin juga lusa, cadangnya ingin ke toko buku. Sengaja mahu bersama gempita dunia seputar novel terbaru Jonathan Franzen, Freedom. Tabung ayam pecah. Maka terkuburlah harapan untuk ber-backpacking ke India. Mujur, buku punya getar yang asyik. Membaca, juga meneroka, lazimnya indah!