Selasa, Mac 31, 2009

Ceritera Seorang Natsir

Alam memberi hormat tatkala sosok kaku itu diturunkan ke dalam lahad. Awan yang tadinya teriak lekas berhenti sebelum kembali mencurah bumi. 7 Februari di Tanah Abang adalah tarikh sepi, matinya keunggulan cita seorang Natsir.

Ceritera hidupnya penuh ranjau. Kesengsaraan bukan suatu keadaan asing. Ia tahu apa ertinya nikmat tatkala menjamah telur hanya dua kali dalam sebulan. Menjelang hari raya, merasai rendang mungkin difantasikannya sebagai makanan syurga.

Pengalaman mengajarnya bersederhana. Mungkin itulah yang menguatkan tekadnya untuk mengisi hidup dengan kerencaman masalah dan kenikmatan. Dan tekad itu diteguhkan dalam pidato akhirnya dengan masukan kalimat khutbatul wada' baginda Rasul.

Ia tidak memanfaatkan kedudukan semata-mata untuk kuasa kerana ia tahu pengakhirannya adalah agama. Dalam jalur yang berbeza, ia cuba sekuat daya membenamkan kebatilan demi kelangsungan kebenaran walau ditekan oleh kekejaman.

Dan kerana ketokohan serta wibawa yang dimilikinya, wajar sekali jalan hidupnya itu ditelusuri kembali. Meski belanjawan makanan selama sebulan dilangsaikan oleh tiga jilid Capita Selecta, pemikiran dan aspirasi politikawan intelektual ini menggugah nurani saya.

Semuanya kerana ia seorang Natsir - tokoh hebat yang mengisi hampir keseluruhan hidupnya membangun umat. Melalui liku yang begitu jauh, ia tetap teguh menghapuskan lompong kejahilan masyarakat Indonesia melalui sikap bernegara bersendi agama.

1 ulasan:

Hanif Amir berkata...

Mohammad Natsir merupakan mantan Perdana Menteri Republik Indonesia.