Sepanjang seminggu cuti pertengahan semester, saya sempat bermalas-malasan di hadapan televisyen menonton liputan berkenaan Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam. Peranan media mewajahkan parti politik orang Melayu ini dengan segala macam slogan lunak bertemakan perubahan cukup mengujakan.
Jujurnya, saya tidak pernah tertarik untuk mengikutinya jika bukan kerana diskusi-diskusi rasional para penganalisis, ahli akademik mahupun pimpinan UMNO sendiri dalam membicarakan survival parti itu. Walaupun kerap terdengar retorik memikat daripada melihat tindakan yang dibuat, topik sebegini wajar diberikan perhatian.
Kita sedia maklum bahawa rakyat tidak lagi melihat UMNO sebagai sebuah parti yang mendukung aspirasi dan kehendak mereka. Pasca kejatuhan UMNO lewat Mac tahun lalu, mereka kelihatannya masih gagal untuk belajar dan bangkit kembali. Ini diburukkan lagi dengan permasalahan rasuah yang mengakar di dalamnya.
Disebabkan itu, saya hanya mampu menahan tawa tatkala pimpinan UMNO heboh mencanangkan perubahan yang ingin mereka bawa. Apatah lagi dalam keadaan diri sendiri terpalit dengan segala macam tuduhan dan dakwaan yang hanya mampu mereka nafikan dengan senyum pahit yang mengundang segala macam spekulasi.
Saya pesimis dengan perubahan yang mampu dilaksanakan dalam parti itu. Awal-awal lagi mereka telah ditewaskan oleh persepsi negatif rakyat hasil daripada percaturan pincang mereka sendiri. Dan kerana itu, adalah mustahil untuk mereka kembali merajai hati rakyat jika mereka sendiri gagal mengubah pembawakan diri.
Apapun, UMNO kini sedang melalui tempoh transisi yang mencemaskan. Penolakan berterusan rakyat khususnya orang Melayu terhadap mereka tentu membawa dampak negatif yang sukar digambarkan. Dengan sejarah kejayaan perjuangan UMNO yang panjang berpaksikan idealisme luhur memartabatkan agama, bangsa dan negara, hanya masa akan menentukan riwayat parti itu dalam gelora politik yang sedang mencengkam.
Cumanya, dalam sayup laungan slogan perubahan yang memecah hening Dewan Merdeka itu, nampaknya mereka masih gagal meletakkan makna yang tepat pada perubahan. Kredibiliti pimpinannya adalah sangat meragukan. Apa lagi harapan yang ada jika mereka sendiri sebenarnya gagal memberi makna sebenar pada perubahan yang ingin dibawa. Pimpinan itu cerminannya. Alahai. Retorik!
Ahad, Mac 29, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan