Entah bila mulanya, saya melihat alam dengan satu pandangan berbeza. Seingat saya, ia mungkin sekali terhasil daripada ketakjuban melihat khazanah alam di puncak Gunung Ledang sambil menghayati sendiri suara fauna yang mendiaminya.
Sejak itu, alam jarang menghampakan keinginan. Melaluinya saya mencari rasa tenang pada muka langit yang membiru, kocak air pada tenang laut serta cicip burung kala ia bebas menggapai awan. Semuanya seakan lengkap mengisi makna hidup.
Dan daripada situlah timbulnya benci apabila terlihat keserakahan manusia. Akal sihat mereka tidak diupayakan sehingga mereka gagal mengerti keperluan untuk memelihara kesucian bumi. Keprihatinan lenyap ditewaskan akak hayawani.
Bumi dilacur dengan sikap pentingkan diri. Mereka tidak melihat tindakan pembuangan sampah di tempat tidak sepatutnya hatta bungkusan gula-gula sekalipun mampu menyumbang kepada ketempangan ekosistem bumi. Nafsu meliar dalam bingung.
Semuanya sibuk menjadi rakus. Apa saja yang dilakukan tidak pernah dilihat dari sudut kesannya secara menyeluruh kerana sikap individualistik yang mendasari pemikiran - untuk kau dunia kau, dan untuk aku dunia aku -.
Sabtu lalu, dalam kempen sedunia Earth Hour, hal yang sama juga berlaku. Ramai diantara kita seolah tidak pernah tahu bahawa sumbangan melalui tindakan, walau sekecil manapun ia, tetap berupaya mencipta sesuatu.
Malang sekali, perlakuan kita masih kaku hasil ikut-ikutan tanpa fahaman. Keterlibatan mungkin semata-mata kerana terpengaruh dengan massa. Bukan hasil kesedaran bahawa bumi ini milik kita dan ia harus dijaga.
Sejam bergelap bukan tindakan picisan melainkan sebagai tindakan atas keprihatinan mendalam atas isu yang timbul. Dan jika usaha pemula seperti itupun masih dipandang sinis oleh segelintir kita, nantikan saja bumi ini musnah disebabkan manusia!
Khamis, April 02, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan