Isnin, Mei 04, 2009

Berkisah Pada Harapan

Sisyphus hanya mampu memerhati. Ia berulang kali melakukan hal yang sama. Belum sempat sampai ke puncak bersama batu yang dibawa, batu itu bergolek jatuh. Lalu ia mencuba lagi, lagi dan lagi. Dapatan yang sama terjadi. Batu itu tetap bergolek jatuh.

Tidak seperti Sisyphus, Pandora kelihatan punya nasib yang lebih baik. Meski kedua-duanya seolah melakukan sesuatu yang sia-sia, kisah Pandora lebih menarik kerana di sana masih tersimpan nasib. Sebuah harapan dalam rencam permasalahan.

Mahasiswa memang harus kritis. Kesedaran yang tinggi atas hakikat itu layak menerima pujian menggunung. Apatah lagi dalam keadaan mendesak yang menyaksikan idealisme mahasiswa seringkali mati ditembusi derita hedonisme dan kebutaan jatidiri.

Golongan terpelajar harus menjadi rakan yang membina terhadap pembentukan apa jua agenda perubahan dimensi minda. Dalam proses itu pula penolakan terhadap pertentangan pendapat perlu diraikan dengan semangat keterbukaan yang tinggi.

Umumnya, kita sering terpana dengan revolusi aksi. Menghadapi kekeliruan dengan membentak hanya menghadirkan ketempangan yang jelas terlihat. Bukan menidakkan, tetapi saluran intelektual dan pemikiran mahasiswa seolah tidak digarap dengan baik.

Masih ramai mahasiswa yang terperangkap dalam khayalan. Mereka gagal memahami fungsi dan peranan. Dan hal ini menyebabkan episod duka mahasiswa yang mandom diteruskan dengan alasan remeh kononnya hidup ingin bergembira ria dan bukan ditekan.

Tatkala mahasiswa mempertikaikan sesuatu, hal itu tentunya perlu diteliti dengan baik. Manakan tidak, cetusan dari otak yang terdidik tentu saja terkandung ilmu dan dasar hujah yang mendalam. Tapi kini kita hampa. Mahasiswa tidak lagi begitu.

Hal ini juga semacam telah mencipta satu budaya baru yang menjelekkan - pandang sehala. Sikap dan perilaku tidak diupayakan sepenuhnya untuk turut sama menyelam ke dasar masalah. Ia lebih melihat kepada lambakan sampah daripada cuba membuangnya.

Sikap mahasiswa dewasa ini diburukkan lagi dengan kesalahfahaman dalam mendepani sesuatu isu berbangkit. Ruang tidak dimanfaatakan dengan hikmah tetapi ia dimanipulasi untuk mencipta gempita yang dijana sudut pandang yang sempit.

Dan kerana itu kita harus belajar daripada Sisyphus dan mengambil pengajaran daripada Pandora. Matlamat mahasiswa harus lebih jelas dan tidak dikaburkan hal-hal yang membantutkan ia dicapai. Melalui Pandora, mahasiswa harus yakin dengan harapan meski yang tergambar hanya rantaian masalah dan kegusaran.

3 ulasan:

~ZuLhAiRi~ berkata...

radikalisme pemikiran, adakah ia mampu membawa satu dimensi baru kepada mahasiswa?...perlukah radikalisme dipandang sebagai threat yang mampu menjatuhkan atau mungkinkah ia mampu menambahbaik sistem sedia ada?...

selamat hari raya anak muda!...maaf zahir batin!...:D

eika berkata...

"Masih ramai mahasiswa yang terperangkap dalam khayalan. Mereka gagal memahami fungsi dan peranan. Dan hal ini menyebabkan episod duka mahasiswa yang mandom diteruskan dengan alasan remeh kononnya hidup ingin bergembira ria dan bukan ditekan."

suka ayat itu..kdg2 perasaan ini selalu merasakan tekanan itu membuat sesorg itu matang,tekanan itu memberi kekuatan..apabila bijak mengawal tekanan itu, pasti merasai indahnya tekanan itu..
tekanan juga boleh membuat sesorg itu keluar dr zon keselesaan yg menyakitkn minda..

wah2 berbunga2 tol ayat daku diatas...akhirnya nih lah puisi yg nk diciptakan smlm..

” aku tidak bimbang jika yang menentang dan menghalang Islam itu adalah dari kalangan orang² kafir kerana itu adalah Sunnatullah dalam perjuangan tetapi aku bimbang jika segala halangan yang mendatang adalah daripada orang Islam itu sendiri” - Yusof Qardawi

Hanif Amir berkata...

Zulhairi, radikalisme pemikiran bukan satu ancaman seandainya ia berpaksikan prinsip yang jelas. Namun kita harus konsisten dengannya dan ini diserlahkan melalui tindakan yang selari dan tepat.

Tiada siapa yang perlu menentang radikalisme pemikiran. Namun, tatkala ia disalahguna dan disalurkan dengan cara yang tidak seharusnya, pelakunya harus diingatkan kerana berkemungkinan ia lupa.

Eika, kita bukan saja mahukan ayat yang berbunga, tetapi juga ia perlu berbau harum dan menyenangkan. Bukan seperti bunga busuk yang dijauhi orang.