Dalam struktur masyarakat yang semakin beranjak menjadi kritis, saya melihat pelbagai peluang dan ruang baru untuk diteroka. Melaluinya, segala medium yang tersedia perlu dimanfaatkan untuk menyebar kesemua idea, kritikan mahupun pandangan. Usaha membina kematangan dan daya fikir yang lebih luas serta matang mampu diupayakan dengan meluas.
Maknanya, kita semakin meninggalkan pegangan lama dan lapuk yang berasas pada suapan perspektif sehala daripada satu pihak sahaja. Apa yang menarik, keadaan ini memberi suatu nadi baru kepada pelbagai media dan medium selainnya khasnya blog, rangkaian sosial dan media alternatif. Kini, pemusatan pemberitaan hanya tinggal sejarah.
Namun begitu, dalam konteks media, kelihatannya masih ada pihak yang gagal memahami betapa segarnya haluan baru yang terjadi. Kelompok ini bukan sahaja terus beriman dengan kepercayaan lama, tetapi juga semakin memperhebatkan agenda beku yang mereka lakukan sejak dulu. Sayang, mereka seolah rela melihat jeritan tidak disahut.
Umumnya, hal ini terpalit pada medium-medium penyebaran maklumat daripada kerajaan yang masih berpedomankan kehidupan demi tembolok sekian banyak kroni yang harus dijaga. Media seperti ini lazimnya cuba seboleh mungkin untuk mewajahkan suatu yang buruk dengan sebegitu cantik melalui pembohongan, penafian dan pengakuan yang palsu.
Saya jelek melihatnya. Terbaru, tatkala menikmati sarapan sambil tercongok menonton siaran langsung sidang Parlimen, hal ini jelas terlihat. Stesen RTM hanya menyiarkan soalan tambahan daripada kelompok UMNO-BN. Jika ditanya oleh ahli Parlimen pembangkang, RTM cuba melewatinya dengan menyiarkan wawancara di studio dengan ahli Parlimen lain yang telah dijemput.
Dan pesta membodohkan rakyat untuk terdedah kepada maklumat sebenar yang tidak selari dengan pandangan kerajaan ini tentunya akan berterusan. Persetankan retorik pak menteri yang kononnya memberi ruang dan peluang yang sama kepada semua. Pedulikan apa jua cakap muluk yang diutarakan. Semuanya hanya dusta dan helah untuk melarikan diri dari hakikat.
Alangkah malang, mereka masih tidak tersentak pasca kejatuhan pada pilihanraya yang lalu. Rupanya, keputusan rakyat yang bijak, dan bertujuan untuk menyedarkan segala kesilapan kerajaan itu dipandang sepi tanpa diambil peduli. Sudahlah tidak berjaya memenangi hati, malah masih cuba memperbodoh dan meletakkan pemikiran rakyat setaraf dengan mereka.
Benar kata W.S Rendra, "suara dibungkam agar dosa berkuasa!"
Isnin, Jun 22, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan