Khamis, Januari 21, 2010

Amaran

Saya punya sebab untuk resah. Semalam, dan beberapa minggu sebelumnya, saya lalui dengan sedikit boros. Cumanya, kemalasan untuk kembali meneliti resit dan jumlah belanja memberi saya ruang untuk terus bernafas. Itupun kadangkala tersekat-sekat.

Catatan ini sebenarnya cliche untuk ditulis. Mesejnya telah puluhan kali dibaca dan ditemukan dalam coretan-coretan lain. Jelasnya, ia bukan hanya duka dan lara saya, tetapi juga dikongsi sebahagian besar daripada kita dengan minat dan tabiat yang sama.

Saya harus bertegas. Ada teman yang telah mula (dengan sengaja rasanya) menulis tentang pesta buku. Faktanya, program itu berbulan lagi baru tiba. Jadi janganlah cuba mencemaskan saya untuk mencari benang bagi menjahit saku yang rabak, argh!

Jujurnya, saya telah berkira-kira untuk tidak menghadiri pesta buku yang bakal berlangsung. Bukanlah kerana sengkek (walaupun itu juga penyebabnya), tetapi pesta itu selalu menggencar iman untuk memperoleh sesuatu yang tidak sepatutnya (buku yang tak termasuk dalam senarai pembelian). Sudahlah punya belanjawan yang terhad, hal sebegitu tambah memburukkan situasi.

Justeru, catatan ini adalah amaran akhir saya buat teman-teman. Jangan ada antara kalian yang mahu mencetus permusuhan. Saya tak kepingin untuk melihat sebarang ajakan atau cerita tentang pesta buku itu nanti. Andai masih terlihat dek mata, anggap saja sang Jebat tak keberatan untuk menusuk si Taming Sari!

Ini amaran, haha!

2 ulasan:

zazzy berkata...

Hanif,

[[ini adalah satu offer]]

nak kirim?

Nik Muhammad Amin berkata...

Jom serbu Maarad Kutub a.k.a Pesta Buku Antarabangsa.

Buat list buku, sampai sana nanti jumpa, angkat, beli. Jumpa, beli, angkat. Haha!

Hanif, kalau hang xkesah aku nak follow hang pi sne. Adeh (lama lagi kot event tu).

bawak sebijik bus MMU pun ok gak.