Jumaat, Januari 22, 2010

Atuk

Petang tadi, emak mengirim khabar yang mencemaskan. Lewat pesanan ringkasnya itu, saya faham, atuk makin uzur. Meniti usia tuanya, kesihatan atuk merosot mendadak ditandai dengan pelbagai penyakit. Daya tahannya melemah dan tidak sekuat dulu.

Tatkala menemankan atuk dalam wad beberapa minggu yang lalu, keadaannya memang begitu. Pada waktu-waktu tertentu, ia boleh saja kelihatan sungguh ceria dan bertenaga sebelum tiba-tiba berubah tak berdaya pada ketika lainnya. Ia berulang lagi.

Namun atuk cukup tabah. Sementara menanggung kesakitan yang pelbagai, dengan emosi yang tentunya turun naik, ia terus bersabar tatkala disuguhkan dengan sebeban ubat-ubatan sebagai bekal setiap hari. Itulah rutinnya, yang tak pernah selesai.

Dari jauh, saya hanya mampu mengirim doa mengiringi saat getir yang terpaksa dilaluinya. Semoga dalam proses itu atuk akan kekal sabar dengan ujian yang menimpa. Dan semoga dosa-dosanya juga luruh dan gugur diampunkan sang Pencipta.

Tuhan, permudahkan atuk dalam segala urusan. Aku mohon.

Tiada ulasan: