Isnin, Jun 18, 2012

Frasa

I

Pernah dulu, seorang teman mengungkap frasa yang begitu indah. Meski saya tak menebak ertinya, frasa itu tak terbanding dan tak terlupakan dalam baki hayat.

Tapi teman itu akhirnya tetap seorang manusia. Ia berkembang dengan waktu, dan itu tentu saja turut memperdalam hikmah. Demikian lah, ia pun berubah.

II

Pidato penerimaan Hadiah Nobel Keamanan '91 yang disampaikan Suu Kyi dalam sela dua standing ovations itu cuba saya waraskan. Dalam tahanan rumah, ia rasa terpisah.

Betapa ia sedar dan berefleksi, bahawa hadiah yang dimenanginya itu adalah usaha mengembalikan semula jiwa dan tampangnya ke dalam realiti -- bahawa ia tak menghilang.

III

Dalam konsepsi Buddha, kita tahu ada dukha, yang mungkin dari situ lah munculnya duka. Juga, ia adalah tahapan gelisah dan sengsara yang harus ditempuh dengan rasa berani.

Kata al-Attas, sa'adah itu lawannya shaqawah; kebahagiaan itu lawannya kesengsaraan. Barangkali hidup juga memang sebuah perlawanan, atau sebuah medan tempur.

IV

Perlawanan itu saya temukan dalam banyak memoir para pejuang. Tapi, pejuang juga berdimensi manusiawi yang mengiyakan quote Suu Kyi; to be forgotten is to die a little.


Tiada ulasan: