Khamis, Oktober 25, 2012

Rusuk

Ali Shari'ati, rausyanfikir asal Iran yang juga ideolog revolusi itu, akhirnya menyingkap suatu hal yang telah sekian lama membingungkan, juga memerangkap akal-fikir saya.

Begitu lah saya sering tewas dan lelah manakala dihadapkan dengan teori penciptaan -- bahawa wanita tercipta dari rusuk lelaki. Hal ini berulang-kali disebut dan ditakwil secara semberono.

Ia sering diertikan dengan melankoli; konon wanita itu muncul dari rusuk dan dekat dengan hati untuk dikasihi, malah ada juga yang memahaminya dengan "bengkok" untuk di-"luruskan".

Hal ini disanggah oleh Shari'ati lewat Man and Islam, siri sharahannya yang membajai faham agama yang murni dan progresif. Menurutnya, kepada khalayak berbahasa Farsi, ia ralat terjemahan.

Yang dimaksudkan dalam kaitan ini bukan lah rusuk, tapi sifat alami manusia umumnya. Lalu, "hawa tercipta dari rusuk Adam" itu seharusnya adalah "hawa tercipta dari sifat alami Adam."

Itu boleh lah difahami dengan luas, bukan dengan pemaksaan kepercayaan bahawa wanita adalah warga kelas dua yang lemah dan sering bergantung. Jelas, ia tak berkonotasi memberdaya.

Konsepsi manusia dengan dwi-dimensi sebagai mud and God's spirit yang digagas Shari'ati juga wajar dilihat. Kita boleh memilih kehinaan atau menyayap ke tahap tertinggi kemanusiaan.

Justeru, elok lah seandainya hal ini kembali direnung sebagai pedoman yang sekaligus menafikan citra wanita yang ditanggapi dengan cukup negatif ketimbang lelaki atas pelbagai sebab.

Tentunya, manusia diciptakan sempurna dan selayaknya. Tanpa perlu memanipulasi rusuk pun, wanita akan selamanya didakap dengan belas-kasih yang luhur -- tak terbanding dan tak terungkap.

Tiada ulasan: