Khamis, November 29, 2012

Kelamin

Ada sebuah teater yang belum saya tonton, tapi membaca ulasannya pun sudah cukup mengujakan, dan tentu saja hampir membuat kita mual; tentang China ribuan tahun lampau.

Teater karya Kuo Pao Kun dengan judul Descendants of the Eunuch Admiral itu menyajikan kisah yang tak terbayang. Lewat semalam, di Twitter, kisah ini terasa segar dan dekat.

Babadnya, ada ratusan kamar di istana. Salah satunya dikhaskan untuk menyimpan alat kelamin para abdi yang dikerah sebagai pesuruh kepada maharaja dan maharani.
 
Rakyat tak punya pilihan. Berada di luar istana bererti mereka akan berdepan kebuluran. Mahu tak mahu, mereka terpaksa memotong alat kelamin sebelum layak menjadi abdi.

Alat kelamin yang telah dipotong akan diletakkan dalam sebuah kotak kayu sebelum dipersembahkan kepada maharaja. Itu, adalah tanda kesediaan untuk patuh kepada perintah.

Hal ini penting kerana para abdi terlibat dalam hal yang cukup sulit. Misalnya, mempersiap tempat bersiram dan persetubuhan maharaja. Syahdan, mereka dilarang bersyahwat.

Jika terpilih, alat kelamin itu akan digantung dalam sebuah kamar istana. Tinggi gantungannya dinisbahkan kepada hierarki abdi. Agaknya, terkait juga dengan senioriti.

Tugas mereka penting. Ada kalangan abdi yang ditugaskan untuk hal pentadbiran seperti menyiapkan dokumen dan rencana dagang ke negeri jauh. Antara sosoknya, Cheng Ho.
 
Nah, tentunya teater ini bukan seputar alat kelamin. Tapi saya mencuplik fragmen itu supaya kita mengulang fikir tentang kuasa serta batasnya yang kadang tak terlihat.

Tiada ulasan: