Malam ini, saya bersama teman-teman berkelana menziarahi keluarga kepada seorang teman lain yang kematian datuknya petang tadi. Kami membelah pekat malam mencari di mana letaknya rumah yang ingin dituju.
Bapa teman seperjuangan ini saya sapa. Menghormati kesedihan keluarganya, tidak pula saya bertanya lebih. Cukuplah sekadar tahu bila dan mengapa kematian itu terjadi. Bimbang juga, pertanyaan saya mengganggu emosi yang tentunya sedang tidak menentu waktu itu.
Sebelum pulang, kain batik lepas yang menutupi jenazah itu saya singkap selepas diizinkan teman saya tadi. Pantas saya teringat opah. Empat tahun yang lalu, saya juga pernah melalui detik yang sama apabila opah meninggalkan saya secara tiba-tiba.
Opah bolehlah dikira sebagai manusia ajaib yang dimunculkan Tuhan kepada saya. Kepulangan saya ke kampung tentu akan disambut dengan layanan yang luar biasa caranya. Opah memanjakan saya dengan kasih sayang. Tidak pernah sekalipun opah memarahi saya walaupun kerap juga rumah tuanya itu saya sepahkan.
Selain emak, opahlah satu-satunya saudara rapat yang memelihara saya. Dialah yang sibuk membelai, mengasihi malah membasuh kotoran yang saya tinggalkan dari diri. Mungkin ini biasa bagi sesetengah orang. Tapi apa yang dilakukan opah bagi saya di luar batas kebiasaan yang dilakukan manusia seusianya.
Saya tidak pernah tahu opah menderita sakit jantung. Berbeza dengan atuk yang sejarah kesihatannya memang menjadi subjek utama perhatian saya, pemergian opah amat mengejutkan. Awal subuh itu, deringan telefon dari bapa saudara amat meruntun rasa. Dan emak menghadapinya dengan deraian deras air mata.
Waktu itu, saya belum lagi mengerti apa itu tabah. Bila ibu saudara menegur mengapa saya tidak menangis sepanjang proses jenazah opah dimandikan, dikafan dan akhirnya dikebumikan, barulah saya mula bermonolog sendiri mengapa saya tidak menangis. Padahal, yang pergi itu opah. Insan yang cukup kuat memberi semangat dan nasihat agar saya terus cekal melayari hidup dan sentiasa belajar agar punya masa depan yang cerah.
Saya melihat jenazah opah di turunkan perlahan-lahan ke dalam lahad. Sebagai seorang cucu yang disayangi dan menyayanginya, tentunya saya turut hiba. Tapi saya masih gagal menumpahkan air mata.
Sehingga ke hari ini, saya merasakan opah masih setia bersama saya. Dia mungkin sudah tiada untuk menyayangi cucunya ini. Tapi kasih sayangnya itu mengajar saya untuk santun dan berkongsi getarannya sesama manusia.
Tangisan mungkin penting untuk melahirkan penyesalan dan rasa ralat kerana tidak berkesempatan berbuat sesuatu yang seharusnya kita lakukan semasa manusia itu masih hidup di dunia. Namun ketika opah pergi, dia meninggalkan saya dengan memori indah yang menyerlahkan bahawa manusia adalah entiti kecil yang harus memaknakan hidupnya. Kalaupun bukan untuk manfaat sendiri, kita harus membuatkan orang lain rasa bahagia. Dalam proses itu, tidak perlu ditimbulkan istilah kita sedang sengsara.
Terima kasih opah. Saya sentiasa mendoakan agar dia diberikan rahmat dan kemudahan dalam kehidupannya di sana. Saya akan menantikan waktu untuk kita dipertemukan semula suatu hari nanti.
Kain yang tidak berjahit itu saya tutupkan kembali. Lantas, rumah berdinding hijau teman saya ini saya tinggalkan dengan ucapan takziah selepas selesai bersalam-salaman. Lalu saya pun pergi.
Mati. Ia frasa indah buat manusia yang mengerti.
Sabtu, Disember 13, 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Rindu Opah :(
Catat Ulasan