Kabinet baru yang diterajui Najib Razak seperti yang diumumkannya semalam mungkin adalah yang terbaik bagi sesetengah orang. Namun, saya telah berulang kali menyatakan bahawa sebilangan mereka juga punya latar yang diragui keabsahannya.
Pun begitu, besar harapan saya sebagai rakyat untuk melihat politik Malaysia diwajahkan dengan indah bertitik tolak daripada kematangan para politikawan berpencak di arena kuasa. Semuanya harus dilakukan demi agama dan tanah air tercinta.
Politik bukan suatu perlakuan yang bebas nilai. Ia harus diikat dengan nilai-nilai murni tidak kira samada berpaksi agama mahupun sivik bernegara. Dan hal ini penting untuk diterjemah melalui setiap gerak dan tingkah.
Mereka harus menginsafi diri atas tanggungjawab yang terbeban di pundak. Kuasa bukan alat untuk mengumpul harta. Ia juga bukan mangkuk besar yang boleh digunakan untuk menampung keperluan tembolok yang walaupun sudah penuh tetap mahu ditekan masuk.
Buat Najib Razak dan barisan kabinetnya, jangan lupa apa yang pernah diungkap mantan Presiden Republik Indonesia, Sukarno. Kata dia;
"Aku bukan budak Moscow, bukan pula budak Amerika. Aku adalah budak bagi rakyatku sendiri!"
Pesan itu saya apungkan kembali sambil mendoakan segala yang terbaik buat Malaysia yang saya cintai!
Jumaat, April 10, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan