Ralat - tiada kata lain yang sesuai untuk saya ungkapkan. Meski sedar betapa pentingnya solidariti yang harus dizahirkan dalam Himpunan Mansuhkan I.S.A, jasad dipasung beberapa kekangan. Maka, saya hanya mampu mengirim jiwa dan semangat buat teman-teman demonstran dan pejuang yang akan bertempur esok.
Sebolehnya, saya sentiasa mahu berada di sisi murni sejarah. Penentangan, walau dilabel dengan bermacam kata nista dan cacian, tetap akan mengisi jalan panjang ketamadunan. Tinggal lagi, ia perlu dimaknakan untuk suatu sebab yang jelas dan ditanggapi dengan sikap yang selari dengan tema dan keperluannya.
Maka itu, usaha mendesak pemerintah memansuhkan akta yang sebegini zalim dan melampaui semangat keadilan adalah jelas suatu tindakan berani dan berprinsip. Saya yakin benar jalanan Kuala Lumpur akan gempita dengan sahutan dan laungan jiwa yang luhur demi mengembalikan daulat pada undang-undang yang terus dilacur.
Semoga Tuhan memberikan kekuatan. Salam juang, demonstran!
Sabtu, Ogos 01, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan