Jumaat, Oktober 30, 2009

Telaah

Saya bergelut dengan beberapa bahan bacaan yang masih belum disudahkan. Walaupun mencuba sekuat daya untuk mendidik diri dengan disiplin pembacaan yang teratur, ia masih belum mampu saya turutkan.

Dalam tempoh dua minggu cuti semester yang baru lalu, kesibukan mengisi jadual mengeteh dan berlibur bersama teman-teman membantutkan hasrat saya itu. Mujur juga saya sempat mencuri waktu senggang tatkala berada dalam pengangkutan awam untuk meladeninya.

Saya seringkali cemburu dengan teman-teman yang punya iltizam tinggi untuk membaca. Meski kebiasaannya ia disalurkan pada bacaan seperti novel, sebahagian mereka hanya memerlukan semalaman sebelum menyudahkannya.

Semoga semangat seperti itu dapat saya teladani. Saya mahu rakus!

Dan berikut saya kongsikan beberapa judul yang masih ditelaah;

1 - Gagasan Persuratan Baru, Mohd Affandi Hassan

2 - Cosmopolitanism, Kwame Anthony Appiah

3 - The Failure of Political Islam, Olivier Roy

4 - The Revolt of The Masses, Ortega y Gasset

5 - A Young Muslim's Guide to the Modern World, SH Nasr

Khamis, Oktober 22, 2009

Kalimatun Sawak



Masih terngiang di telinga rangkaian kata yang kerap mempersalahkan beza agama dan kaum. Malah, pengucapnya juga mengangkat agama sebagai justifikasi untuk menidakkan hak dan peranan kaum lain.

Mendapati ia tidak cocok dengan prinsip dan pendirian, lalu saya menjauh. Fikir saya, ada baiknya berteleku dulu sambil menggali telaga hikmah. Saya mahu mengaut seberapa banyak dapatan ilmu dan hujah.

Dalam persidangan Kalimatun Sawak di Perth ini, Anwar Ibrahim menyerlahkan sisi intelektualnya. Beliau bersandar pada maqasid syariah sebagai asas persefahaman dalam perbezaan. Jelas, jangan beku, teman!

Gadoh

Awalnya, saya didesak oleh seorang teman agar segera menonton Gadoh. Walaupun ia sebenarnya telah lama ditayangkan, saya langsung tidak berminat melayan filem ini meski punya banyak masa terluang. Pandangan dan sangkaan saya pada filem-filem Melayu lazimnya negatif.

Bukan sedikit filem Melayu yang mewajahkan masyarakat dengan hodoh. Atas alasan ingin merakam gambaran sebenar kehidupan sosial, ia seolah mewajarkan filem-filem Melayu hilang moral dan tatasusila. Kurang sekali citra murni dan mulia yang dibekalkan dan boleh diteladani.

Dan saya menonton Gadoh dengan keraguan yang sama. Rasa ragu dengan makna dan mesej yang cuba disampaikan melaluinya. Pun begitu, persoalan demi persoalan yang terlontar segera menidakkan jangkaan saya. Isu perkauman yang disuguh dan dicerna jelas menyinggung ketempangan masyarakat.

Melalui setiap wataknya, prejudis antara kaum cuba dirungkai. Faham perkauman yang sempit dan diasaskan dengan dendam tidak hanya terlihat jijik, malah ia juga menggambarkan ketidakmatangan kita untuk cuba memahami sesama sendiri. Gadoh memecah kebuntuan ini seraya memaknakan kerjasama diantaranya.

Begitulah Gadoh, sebuah filem jujur tentang bangsa kita.

Khamis, Oktober 08, 2009

Peringatan

Jika rakyat pergi
ketika penguasa pidato
kita harus hati-hati
barangkali mereka putus asa.

Kalau rakyat sembunyi
dan berbisik-bisik
ketika membicarakan masalahnya sendiri
penguasa harus waspada dan belajar mendengar.

Bila rakyat tidak berani mengeluh
itu artinya sudah gawat
dan bila omongan penguasa
tidak boleh dibantah
kebenaran pasti terancam.

Apabila usul ditolak tanpa ditimbang
suara dibungkam kritik dilarang tanpa alasan
dituduh subversif dan mengganggu keamanan
maka hanya ada satu kata: lawan!

-Wiji Thukul

Khamis, Oktober 01, 2009

Minum Pagi

Setelah bertahun tidak menjamah telur separuh masak, akhirnya ia menjadi menu sarapan pagi saya hari ini. Bergandingan dengan teh dan roti tampal, saya disihir pesona makanan yang cukup nikmat meski ringkas.

Sudahnya, katil lekas memanggil-manggil membuatkan saya terlena dalam dakapan pagi yang indah dan mendamaikan. Dan kini saya kembali, baru saja bangun dari pembaringan sambil tersedar menu sarapan saya tidak lengkap.

Teh, telur separuh masak dan roti tampal pasti akan lebih mencelikkan mata yang layu sekiranya ia dijamah dengan artikel yang akan saya perturunkan. Oh, ia bukan untuk mata, tapi untuk minda dan jiwa yang buta!

Selamat membaca, ayuh hapuskan kejumudan!