Homer Hickam bukan anak muda biasa. Ia tidak tipikal apatah lagi diperangkap oleh tradisi. Homer - begitu panggilannya, adalah anak muda berjiwa besar yang mengerti makna harapan dan cita-cita. Berbekalkan impian, ia jadi pemberani.
Dan sebab-sebab itu lah yang menjadikan saya terpaku. Keseluruhan otot dan tubuh saya kejap di bangku menelusuri jalan panjang yang dirintis anak muda ini. Bersama tiga orang temannya yang lain, mereka mencipta kehidupan baru.
Ia semacam satu taboo untuk mengungkap sesuatu yang janggal dalam kehidupan lazim masyarakat. Situasi waktu itu memaksa Homer memerah keringat di lombong timah, aktiviti sara diri yang telah lama sebati dalam persekitarannya.
Sepertinya satu takdir buat mereka untuk menamatkan persekolahan dan terus menurut masa depan yang telah dirancang - ke lombong timah. Meski acapkali membentak dan memberontak, ia tak dipedulikan sesiapa. Malah hanya ditertawa.
Saat itulah langit mula menghantar semangat. Kesemua mereka mempersetankan cemuhan demi sebuah khayalan yang mereka yakini. Lintasan Sputnik tambah membakar hati yang kian mengembang, sebelum terbongkar. Ya, mereka mencabar kejumudan!
Kesemuanya kini hanya tinggal sejarah yang akan dikenang selamanya. Aktiviti perlombongan musnah. Sesuatu yang tak pernah terbayang di fikiran. Tapi begitulah ia berkisah. Dalam cantuman fragmen-fragmen derita, ia membuah cerita.
Kisahnya bergerak dengan inspirasi yang tak kunjung padam. Kembara Homer dan teman-temannya adalah kerterujaan besar memecah langit. Begitulah yang mereka ingingkan. Demi keazaman unggul, langit Oktober bercahaya penuh gemerlapan!
Jumaat, Mac 05, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan