Isnin, Oktober 04, 2010

Komanwel

India secara rasmi menjadi tuan rumah Sukan Komanwel ke-19 setelah upacara pembukaannya berlangsung meriah di Stadium Jawaharlal Nehru malam tadi. Dalam ulitan persembahan leluhur budayanya yang megah, cakap-cakap seputar ketidaksediaan persiapan India langsung sepi.

Dari kejauhan, saya menontonnya dengan penuh minat dan penghargaan. Malam gemilang pesta sukan kedua terbesar dunia ini cukup bergetar. Muga rasa manusiawi dan persaudaraan yang cuba disenyawa melalui sukan juga turut terkesan sama. Buat semua atlit, selamat beraksi di tanah Delhi!

Jai Hind!

Sabtu, Oktober 02, 2010

Don Quixote

Don Quixote sebetulnya telah lama saya kenali. Seingat saya, ketika bersekolah, nama kesatria Sepanyol ini pernah beberapa kali muncul dalam sebuah komik bolasepak yang kerap dibeli. Cumanya, ketika itu, saya tidak berminat untuk menerokanya jauh.

Beberapa hari lalu, saya berkunjung ke sebuah toko buku terpakai yang menjual pelbagai koleksi buku dengan harga yang cukup murah. Tidak pun berhajat membeli, cuma sengaja melilau dan membelek setelah kecewa kalah bermain bowling sebelumnya.

Di situ, saya temukan kembali Don Quixote dan Rocinante. Kali ini dalam naskah nipis kanak-kanak yang lebih mudah untuk dimengerti berbanding naskah lengkapnya yang tebal. Langsung ia saya ambil bersama beberapa naskah buku dan majalah lain.

Membacanya, imaginasi lekas teruja. Meski dikisahkan kesatria ini terlalu ideal dalam kepercayaannya, saya cuba memahaminya dengan positif -- tekad terhadap apa yang diimpi dan diimani. Hey, siapa tahu, kita mungkin mampu mencabar kincir angin!

Jumaat, Oktober 01, 2010

Musik

Entah mengapa, saya bukan anak muda yang menggemari musik. Meski terpaksa memaksa diri mendengarkan lagu-lagu terbaru yang mencipta gegar dalam industri (supaya punyai modal sembang bersama teman-teman), sejujurnya musik tidak pernah ada dalam lingkungan minat dan obsesi.

Namun begitu, ada juga beberapa lagu serasa ranum dalam jiwa. Langsung ia diangkat sebagai lagu terbaik sepanjang zaman (kerana kurang pendedahan dengan lagu-lagu lain daripada pelbagai genre), sekurang-kurangnya, dalam senarai yang saya gariskan. Cukup lah begitu, saya senang sekali.

Mujur juga, abah peminat musik. Selain punyai koleksi serencam senandung, oldies, jazz, sehingga lah edisi terkini tempatan dan luar negeri, ia juga memiliki sejumlah lagu-lagu instrumental yang menyegarkan. Dan mungkin hanya itu saja lah yang mampu saya dengari tanpa runsing kepala.

Apapun, hakikatnya abah lahir beberapa dekad lalu dalam alaf yang telah lama menjauh. Tentu sekali ia lebih terdedah pada genre dan budayawan unggul yang meranumi waktu itu. Lama sebelum saya ada. Lebih parah, hal-hal itu lah yang membentuk naluri musik saya. Tapi buat saya, ia tetap indah.

Maka maaf, kalau yang tersiul bukan Paramore, tapi Sinatra!

Tadabbur

Setelah lebih tiga bulan dijamah sambil dikelek ke pelbagai lokasi, akhirnya saya hampir menyudahkan bacaaan memoir sosok ulung revolusi Cuba, Che Guevara. Memoir yang memuatkan riwayatnya sejak kecil sehingga ia terbunuh tatkala mengepalai gerak gerila di belantara Bolivia ini cukup mengujakan.

Meramahinya, saya merenung banyak perkara sebermula jernihnya sudut pandang sang revolusioner ini semenjak muda terhadap kemanusiaan, sehinggalah tindak politik seputar hal-hal bernegara dalam kepelbagaian ideologi dan kepercayaan. Itu belum lagi dikira daripada kemurnian dan kejujuran sikapnya.

Hal-hal ini melontar saya kepada sejumlah pertanyaan yang mahu saya longgokkan buat teman-teman seusia yang masih larut dalam fana dunia. Juga buat teman-teman yang kononnya sentiasa benar, tapi cetek sekali pembacaannya tentang apa yang dikata. Apatah lagi pengalaman yang diimani dan dipunya.

Tapi biar lah dulu. Mereka takkan mungkin mengerti.

Repek

Saya selalu saja mahu mencoret kata di ruang ini. Setiap ada kesempatan -- setelah jenuh menonton filem, membelek buku, atau lepas makan -- semacam ada yang mengganggu benak. Bukan poyo mahu meluah duka jiwa atau menutur kata cinta, tapi hanya mahu mencatat pandangan sejauh hidup dalam jagat raya yang rencam.

Malah, saya tidak pun pernah peduli cakap-cakap konon catatan di ruang ini sebenarnya hanya mahu menunjuk pandai. Seingat saya, selama hidup, melayan kebodohan tak pernah mendidik saya untuk bertambah bijak. Maka, persetankan saja manusia bermulut cabul dengan tingkah yang bacul. Berpencak kata dengannya, buang masa.

Aduh, hilang ilham lagi. Sampai jumpa kembali, nanti!

Sabtu, September 04, 2010

Martabat

Sebetulnya saya sudah lama bosan dengan agenda Melayu. Sejak beberapa tahun kebelakangan, maudhu' bicara yang seharusnya murni semakin dipersempit. Meski sejarah merakam betapa agungnya Melayu, zaman dan waktu tidak lah statik.

Dan sungguh, saya merasa malang seandainya terus membiar diri diperangkap oleh kebebalan mempertahankan bangsa atas nama agama. Ia bukan saja sendeng, malah langsung lari menjauh daripada hal-hal akar lain yang harus dibahas.

Tapi entah mengapa, dalam sebuah sesawang lingkar pena yang saya sertai, semacam ada ketakutan yang menyelubung. Manakala agama diinjak, sebilangan teman masih cuba mengaitkannya dengan rasa megah diri yang pernah dinikmati Melayu.

Ia telah berlangsung lama, lebih lama sebelum saya mula menyampah dengan sikap seperti itu. Usaha yang terarah pada ketaksuban mengangkat darjat bangsa langsung melupakan mereka pada ketidakadilan sebuah proses demokratik.

Hey teman-teman ku, sampai bila mahu terus ditipu?

Jumaat, September 03, 2010

Renung



Kita boleh saja menutur jutaan komentar tentang kebebasan. Dan boleh juga dilanjutkan langsung dengan prinsip-prinsip keadilan. Tapi tentu, ia takkan punyai ma'na yang menyentak nurani. Apatah lagi buat bekal merenung jauh dalam diri.

Anwar Ibrahim tidak begitu. Ia melaluinya dalam payah. Meski romantisme sebegini tidak membantu proses itu berlaku, seharusnya ia diambil guna memperingati nilai yang selama ini menghilang. Dan pasti, kini ia mendesak untuk diupaya.

Cahaya

Beberapa minggu kebelakangan, sejumlah hal kerap bermain dalam benak. Persoalan seputar agama juga beberapa prinsip pokok hidup bernegara sukar sekali mahu lekang. Sejauh ini, belum lagi saya temukan jawapan tuntas buat kesemuanya. Kalau pun ada yang hampir, ia belum cukup memuaskan.

Apapun, pencarian kebenaran itu cukup mengujakan. Dan hampir saja terlupa pesan saya kepada seorang teman yang dicuplik daripada catatan ringkas Tariq Ramadan kala ia mencoret autograf dulu; "May light shines you in your endeavour!"

Tawarikh

Sejarah mungkin saja dokumentasi orang-orang yang menang. Meski ia sebetulnya lebih luas daripada takrif sesempit itu, tidak ramai yang mahu ia digali. Bila ada yang terlihat asing, maka mula lah patriotisme dipersoal, jatidiri dinafi, dan langsung dilabel durhaka pada nusa.

Nah, sekeji itu sebuah aparat yang seharusnya beraksi murni. Hal sebegini pasti terus-terusan berlaku seandainya kita terus layu. Pembodohan seperti ini tidak layak dianuti manusia waras. Ia tidak hanya terselubung niat yang bebal, juga dipengaruhi oleh jiwa rakus untuk menguasai.

Dhamir siapa yang akan mengutus hormat buat rejim sekejam ini?

Buat saya, merdeka -- kata kosong tanpa jiwa. Maaf wahai nusa!

Nota

Sebetulnya ini ruang peribadi. Sejak ia saya mulai, catatan yang terisi hanya ngobrol kosong dengan diri. Meski adakala coretnya berontak, saya selalu nyatakan dalam hati niatnya murni. Dan begitulah ia terus-terusan disenyawakan. Jiwa yang jelak dengan tempang masyarakat juga tulus rasa yang tidak pernah padam.

Tapi, entah apa yang hilang. Layu. Untuk itu; berhenti.