Rabu, September 07, 2011

Tafsir

Saya fikir ada hipokrasi yang mulai tampak. Meski terlihat seolah disalut dengan sejumlah faham muluk agama, yang terzahir cukup memualkan. Memang, mungkin saja tafsirnya beda, atau beragam. Tapi pada sebuah kata luhur yang sering cuba dimanipulasi dan direndahkan, tak wajar didiamkan.

Begitu pun, saya agak terhibur. Sosek-sosek dan riuh-rendah yang dikeruhkan dengan pengertian tohor memang takkan selamanya bertahan. Manusia hanya perlu jujur bersikap, dengan diri dan juga lingkungan. Yang luhur itu tak hanya sebatas kata, tapi melampaui apa yang mungkin tak terungkap.

Keangkuhan rupanya tak terlayan. Alahai, alahai, alahai!

Isnin, September 05, 2011

Alam

Ahad, September 04, 2011

Goku

Manakala keluarga berpindah dari kediaman terdahulu, antara hal yang saya beratkan adalah bahan bacaan yang tersimpan sejak sekian lama. Meski minat saya terhadap sebahagiannya telah berlalu, ia tetap terus dihargai.

Antara yang paling bermakna buat saya tentunya koleksi lengkap komik-nya Akira Toriyama. Komik itu, yang mulai saya kumpul sejak sekolah rendah, tak terhad kepada hanya kisah pahlawan futuris yang melangkau takat imaginasi.

Ia juga sebetulnya merupakan memori dan rakaman tawa bersama teman-teman sebaya yang sering menghidupkan. Waktu itu, mana mungkin saya puas menekuninya. Dan begitu lah ia berlangsung dan dinanti dalam setiap keluaran.

Tapi malang, tatkala sibuk mengisi senggang-senggang yang ada dengan hal-hal lain yang lebih mendesak, komik itu rupanya dimamah anai. Betapa hiba bila melihat sekotak besar koleksi komik itu lenyap tatkala ia dibakar menjadi abu.

Semalam, saya temukan sebuah toko yang menjual keseluruhan koleksinya. Tentu saja sebahagiannya saya beli dengan janji untuk menghabisinya dalam masa terdekat. Dan kini terasa sosok diri bak Goku -- kumpul Mutiara Naga!

Makan

Nah, kini lebaran -- pesta makan -- dalam keraian bersama keluarga yang tentunya dinanti. Dan pernah saya coretkan dulu, makanan sebetulnya ialah obsesi peribadi yang tak terelakkan.

Maka, tatkala disua dengan pelbagai juadah yang sememangnya lazat, punyai zahir memikat dll, perut lekas tergugah. Tak terjangkau dek akal alasan apa yang boleh menidakkan hasrat.

Aduhai, saya cuba sekuat daya kekalkan tubuh solid dan gagah!

Eid

Alhamdulillah, tahmid kesyukuran kita lafazkan menyambut tibanya Eid ul Fitr. Setelah mengisi hayat dengan semangat Ramadhan; mempertahan diri daripada noda dan dosa, berdu'a dalam kerendahan hati mohon pengampunan dll, kini tiba waktunya kita meraikan kemenangan.

Kesempatan ini sebaiknya kita gunakan untuk terus memperteguh azam beristiqamah melaksanakan amal dan kebaikan. Muga semangat yang tertancap sejak hampir sebulan yang lalu itu akan terus berbara dan digembeling dengan penuh kesedaran dan upaya yang tersisa.

Dalam ruang yang sebegini terhad, saya mengambil peluang memohon kemaafan daripada kalian seluruhnya atas khilaf menggunung yang tentu saja tak terucapkan. Dengan kemuliaan hati kalian jua lah saya berharap muga kita kekal bersilaturrahmi dan saling memaafi.

Allahu Akbar, dan kepada-Nya jua kembali segala puji!

Rabu, Ogos 17, 2011

Tujuh Belas

Ramadhan tujuh belas kali ini berbeda. Lazimnya, yang dikenang orang hanya tanggal turunnya Qur'an, ditandai dengan cuti dalam gempita iklim berpesta-pestaan sehampir lebaran.

Mujur ia tanggal kelahiran saya. Tak terbayangkan, usia yang menginjak tak disyukuri selayaknya. Maka, tentu saja ia lebih menginsafi diri guna memperingati hayat yang berbaki.

Membaca satu persatu ucap selamat yang dititip ini cukup membahagiakan. Muga kebaikan yang didu'akan kepada saya ini juga dilimpahkan buat kalian yang sudi memperingati.

Famili seluruhnya, teman-teman setia dan dewi terpuja -- trimas!

Rabu, Ogos 10, 2011

Qur'an

Dalam tahun-tahun terdahulu, ibu sering memberitahu saya perkembangan bacaan Qur'annya sepanjang puasa bersama teman-temannya yang lain di kawasan perumahan kami. Halaqah yang disertai ibu, selalu saja bersaing dengan halaqah lelaki yang biasanya diisi oleh jamaah masjid.

Saban tahun, saya pasti mendengar kisah jumlah bacaan Qur'an halaqah wanita mendahului halaqah lelaki. Malah, kadangkala sehampir lebaran pun, mereka masih belum mampu menghabisi bacaan. Tidak pula saya tanyakan mengapa. Agak saya, tuntutan kerjaya mengehadkan masa.

Aimi, teman lama sekampus juga benar-benar mencabar. Mulanya saya sengaja berkomentar di statusnya mengajak bersaing menghabisi Qur'an. Meski menjangka saya ketinggalan, seruan itu bersahut. Betapa benar, ia telah menekuni lebih separuh dengan beberapa juz mendahului saya.

Kini saya tak punya masa untuk menoleh. Terus!

Isnin, Ogos 08, 2011

Sembilan

Kuliah di masjid seusai tarawih malam ini saya fikir mendesak. Menginjak hari-hari terakhir tempoh kurniaan rahmah seperti yang dimaksudkan hadis, kita wajar menyemak kualiti dan sasaran berpuasa.

Hari ke-sembilan, seharusnya Qur'an mulai lunyai; infaq berganda melimpah; waktu diisi kian padat; silaturrahmi mengatasi silang sengketa dll. Tapi, andai sebaliknya, kita masih punyai masa untuk berubah.

Dan seperti yang dilafaz cliche -- muga dipermudah!

Sabtu, Ogos 06, 2011

Fasa

Sejauh ini, saya melewati Ramadhan dengan baik. Mungkin belum setara dengan khawas al-khawas-nya al-Ghazali, tapi kesempatan mengerjakan tarawih, punyai senggang waktu membelek mushaf Qur'an dll, cukup membahagiakan.

Meneliti sirah para alim dan abid tak kalah merangsang. Meski bertindih dek berkali-kali dikuliahkan para guru dan pak ustaz, ia semacam ingatan yang sengaja tak tertewaskan guna memperingati diri agar terus gencar beristiqamah.

Memang, fasa-fasa ini wajib maju!

Isnin, Ogos 01, 2011

Ramadhan

Ramadhan memang sering mengujakan. Barangkali, kerana itu juga, tazkirah seusai lapan raka'at tarawih malam tadi berlanjut lewat. Lafaz suara dilaung, menggemakan khabar dan pesan.

Manakala diungkap puasa bukan hanya soal menahan diri daripada makan dan minum, tetapi menuntut kepada pengendalian akhlak, yang terimbas adalah perubahan total, memuja Khalik.

Tuhan, perkenankan lah du'a, berkati lah hayat!