Ahad, Jun 28, 2009

Renungan

Saudara-saudara lebih maklum, bahwa selain daripada seni masih ada moral, masih ada ideologi kenegaraan, masih ada i'tikad ketuhanan, masih ada cita-cita keagamaan, masih ada falsafah kehidupan. Dan pada hakikatnya seni yang sebenarnya seni dari salah satu bangsa, ialah bangun lahir dari apa yang seluhur-luhurnya dan sesuci-sucinya yang ada dalam sanubari bangsa itu
-M.Natsir

Isnin, Jun 22, 2009

Pesta Membodohkan Rakyat

Dalam struktur masyarakat yang semakin beranjak menjadi kritis, saya melihat pelbagai peluang dan ruang baru untuk diteroka. Melaluinya, segala medium yang tersedia perlu dimanfaatkan untuk menyebar kesemua idea, kritikan mahupun pandangan. Usaha membina kematangan dan daya fikir yang lebih luas serta matang mampu diupayakan dengan meluas.

Maknanya, kita semakin meninggalkan pegangan lama dan lapuk yang berasas pada suapan perspektif sehala daripada satu pihak sahaja. Apa yang menarik, keadaan ini memberi suatu nadi baru kepada pelbagai media dan medium selainnya khasnya blog, rangkaian sosial dan media alternatif. Kini, pemusatan pemberitaan hanya tinggal sejarah.

Namun begitu, dalam konteks media, kelihatannya masih ada pihak yang gagal memahami betapa segarnya haluan baru yang terjadi. Kelompok ini bukan sahaja terus beriman dengan kepercayaan lama, tetapi juga semakin memperhebatkan agenda beku yang mereka lakukan sejak dulu. Sayang, mereka seolah rela melihat jeritan tidak disahut.

Umumnya, hal ini terpalit pada medium-medium penyebaran maklumat daripada kerajaan yang masih berpedomankan kehidupan demi tembolok sekian banyak kroni yang harus dijaga. Media seperti ini lazimnya cuba seboleh mungkin untuk mewajahkan suatu yang buruk dengan sebegitu cantik melalui pembohongan, penafian dan pengakuan yang palsu.

Saya jelek melihatnya. Terbaru, tatkala menikmati sarapan sambil tercongok menonton siaran langsung sidang Parlimen, hal ini jelas terlihat. Stesen RTM hanya menyiarkan soalan tambahan daripada kelompok UMNO-BN. Jika ditanya oleh ahli Parlimen pembangkang, RTM cuba melewatinya dengan menyiarkan wawancara di studio dengan ahli Parlimen lain yang telah dijemput.

Dan pesta membodohkan rakyat untuk terdedah kepada maklumat sebenar yang tidak selari dengan pandangan kerajaan ini tentunya akan berterusan. Persetankan retorik pak menteri yang kononnya memberi ruang dan peluang yang sama kepada semua. Pedulikan apa jua cakap muluk yang diutarakan. Semuanya hanya dusta dan helah untuk melarikan diri dari hakikat.

Alangkah malang, mereka masih tidak tersentak pasca kejatuhan pada pilihanraya yang lalu. Rupanya, keputusan rakyat yang bijak, dan bertujuan untuk menyedarkan segala kesilapan kerajaan itu dipandang sepi tanpa diambil peduli. Sudahlah tidak berjaya memenangi hati, malah masih cuba memperbodoh dan meletakkan pemikiran rakyat setaraf dengan mereka.

Benar kata W.S Rendra, "suara dibungkam agar dosa berkuasa!"

Ahad, Jun 21, 2009

Aung San Suu Kyi

Jumaat lalu, Aung San Suu Kyi hanya mampu tersenyum tawar menyambut tarikh kelahirannya yang ke-64 tahun. Pejuang kebebasan dan demokrasi Myanmar yang juga merupakan penerima Anugerah Nobel Keamanan 1991 ini terpaksan mendekam dalam keterasingan selepas dikenakan tahanan rumah oleh kerajaan Junta di negaranya.

Perjuangan yang didasarkan atas prinsip tanpa keganasan yang diyakininya akhirnya menemukan tokoh besar ini dengan arena politik. Beliau mula menyusun langkah ke arah demokrasi bersama National League for Democracy(NLD). Lebih membanggakan, partinya itu menang besar dalam pilihanraya pada tahun 1990 walaupun haknya dinafikan Junta.

Walaupun gagal melaksana dan melakukan perubahan disebabkan rejim kuku besi yang menguasai, Aung San Suu Kyi memperoleh sokongan daripada pelbagai pihak. Selain kepercayaan rakyat Myanmar kepada karisma dan pengorbanannya, Suu Kyi juga menerima pengiktirafan langsung daripada masyarakat dunia atas usahanya itu.

Sebagai memperingati pengorbanan dan suka-duka wanita yang gigih dan tabah ini, saya akan mula membaca Perfect Hostage:Aung San Suu Kyi, Burma and the Generals. Pembebasan ke atasnya harus dituntut meski berhadapan dengan egoisme dan kekuasaan menggila di depan mata. Suu Kyi tepat. Hanya kesedaran mampu menamatkan kesengsaraan!

Sabtu, Jun 20, 2009

If

If you can keep your head when all about you
Are losing theirs and blaming it on you;
If you can trust yourself when all men doubt you,
But make allowance for their doubting too;
If you can wait and not be tired by waiting,
Or, being lied about, don't deal in lies,
Or, being hated, don't give way to hating,
And yet don't look too good, nor talk too wise;

If you can dream - and not make dreams your master;
If you can think - and not make thoughts your aim;
If you can meet with triumph and disaster
And treat those two imposters just the same;
If you can bear to hear the truth you've spoken
Twisted by knaves to make a trap for fools,
Or watch the things you gave your life to broken,
And stoop and build 'em up with wornout tools;

If you can make one heap of all your winnings
And risk it on one turn of pitch-and-toss,
And lose, and start again at your beginnings
And never breath a word about your loss;
If you can force your heart and nerve and sinew
To serve your turn long after they are gone,
And so hold on when there is nothing in you
Except the Will which says to them: "Hold on";

If you can talk with crowds and keep your virtue,
Or walk with kings - nor lose the common touch;
If neither foes nor loving friends can hurt you;
If all men count with you, but none too much;
If you can fill the unforgiving minute
With sixty seconds' worth of distance run -
Yours is the Earth and everything that's in it,
And - which is more - you'll be a Man my son!

-Rudyard Kipling

Rabu, Jun 17, 2009

Pembelaan Buat Nizar

Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan tindakan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin melaungkan ungkapan 'Hidup Rakyat' dan 'Bubar DUN Perak' sejurus selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Resminya, upacara itu harus berlangsung dengan penuh hormat memenuhi tatacara yang telah ditetapkan. Apa saja perlakuan yang tidak mengikut kelaziman dan kelihatan janggal, mudah ditebak sebagai unparliamentarian.

Sosok politikawan berkarisma yang dulunya langsung tidak dikenali ini kini menjadi bahan tawa musuh. Lebih malang, kredibilitinya dipertikai seolah perbuatannya itu terlalu teruk dan langsung tidak diterima akal.

Namun, kelihatannya ramai yang berbicara di luar konteks yang sepatutnya. Meski tindakan itu sumbang, ia didasarkan atas hujah dan situasi yang cukup ampuh. Samada ianya keterlaluan atau tidak bukanlah satu persoalan.

Apa perlunya ia mengangkat sumpah untuk mempertahankan perlembagaan jika matanya kabur menilai apa yang berlaku di Perak. Malah, diam bererti bacul. Perlembagaan yang jelas diinjak dan dihenyak harus dipertahankan.

Kita tidak boleh mengharapkan manusia yang mencampakkan perlembagaan ke dalam tong sampah untuk menatangnya kembali. Kelompok seperti itu, tidak mungkin wujud dalam kelompok politik kuasa yang rendah akal dan nilai.

Dan kerana itu rakyat memerlukan Nizar. Tindakannya itu, meski terlihat jelek di mata sesetengah pihak perlu dihormati seandainya kita masih berpijak dan meyakini keluhuran perlembagaan yang disanjung tinggi.

Apapun, desakan demi desakan yang dilakukan sekalian rakyat yang masih percaya kepada daulat hukum, jelas tidak memadai untuk menyedarkan kelompok penguasa yang diam membatu. Nizar punya justifikasi yang jelas.

Mereka? Benak!

Ahad, Jun 14, 2009

Liberalisasi Islam

Upaya meliberalkan faham agama bukanlah suatu hal yang asing. Sejak beberapa dekad lalu, usaha ini telah dilakukan oleh beberapa kelompok tertentu berbekalkan hujah dan tafsiran agama yang terpesong. Sehingga kini, usaha ke arahnya masih berterusan dan tidak pernah terhenti.

Lebih malang, upaya meliberalkan agama ini tidak hanya berlegar atau dijalankan oleh para orientalis seperti sebelumnya. Dewasa ini, hal yang sama turut menjadi garis besar perjuangan umat Islam sendiri melalui alasan-alasan yang disamarkan atas nama kesetaraan, persamaan dan hak asasi.

Tatkala umat Islam disibukkan dengan rencam permasalahan dalaman yang tidak kunjung selesai, agenda liberalisasi Islam terus kuat mengakar dan menjalar ke segenap penjuru yang mampu dicapainya. Batang tubuh umat Islam yang sedia robek dicarik lagi sehingga longlai oleh pemuka liberal.

Jangan nanti, umat Islam sendiri hilang punca akibat gagal memahami ancaman terhadap agamanya yang suci. Seperti yang diungkap Dr. Adian Husaini, liberalisasi Islam tidak lain daripada untuk membubarkan agama itu sendiri. Nah! Sanggupkah kita melihat agama suci ini bejat?