Ahad, Julai 26, 2009

Mengenang Yasmin Ahmad

Saya mengenali Yasmin Ahmad lewat kocak perdebatan mengenai filem-filem yang diarahkannya. Status quo dan pemahaman tipikal yang dicabar melalui karyanya itu mengundang minat untuk ditonton. Walaupun tidak bersetuju dengan beberapa mesej yang cuba dikendongnya, saya tetap terbuka dengan cuba menghadamnya penuh berhati-hati.

Secara peribadi, saya lebih puas menikmati buah tangan bikinannya dibandingkan dengan pengarah-pengarah filem yang lain. Estetika filem Mukhsin adalah salah satu contoh terbaik yang akan terus tersimpan dalam memori. Dan tentu juga, saya akan merindui variasi iklan hari-hari kebesaran yang sarat nilai seperti yang selalu diarahkannya.

Mengenang sosok berbakat ini, pasti akan terdetik bait lirik keroncong Hujan;

Rahmat dibawa bersama
limpahannya meresap di jiwa
ada kala bahagia dirasa
meskipun duka nestapa.


Selamat jalan Yasmin Ahmad.

Khamis, Julai 23, 2009

Kongres Pelajar

Tema : Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur
Tarikh : 8 Ogos 2009 (Sabtu)
Tempat : Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur
Anjuran: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM)

Objektif :

1 - Memberi makna dan kefahaman yang jelas berkenaan sesuatu isu dan perkara merangkumi teras-teras kenegaraan.
2 - Merintis usaha transformasi melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan generasi muda.
3 - Mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan 'Satu Malaysia' dan 'Politik Baru'.
4 - Menyebarluaskan gagasan 'Pemikiran Baru' untuk memastikan generasi muda hari ini akan menjadi agen perubah di masa hadapan.

Maklumat lanjut boleh diakses di sini.

Jumaat, Julai 17, 2009

Mahasiswa

Mahasiswa dari kota tanah air
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota.

Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani di jalan sungai besi
sederap belajar dari hidup berani

Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

-Usman Awang

Jumaat, Julai 10, 2009

Natrah

Singapura bergolak awal September 1950. Rusuhan atas nama agama yang dijana oleh masyarakat Melayu dan orang Islam ketika itu pantas merebak. Mereka tidak langsung gentar berdepan aparat kuasa tentera dan polis British. Bukan sedikit yang cedera, malah jumlah kematian juga menggentarkan.

Hanya demi akidah seorang gadis, mereka sanggup berdepan risiko yang mendatang. Pertembungan Islam dan Kristian lewat keputusan mahkamah yang mengembalikan hak jagaan Natrah kepada kedua ibu bapanya yang berbangsa Belanda, terus mencetus konflik. Keadaan tegang dengan semangat yang berkocak.

Penderitaan Natrah lekas mengundang simpati dunia. Bantuan datang mencurah dalam pelbagai bentuk. Sosok orang Melayu karismatik seperti Dr. Burhanuddin Helmi dan Prof. Ahmad Ibrahim antara yang awal menghulur bantuan. Matlamatnya hanya satu; Islam yang dianuti Natrah harus dipertahankan!

Kita memerlukan masa lalu untuk merencana masa depan. Kisah Natrah tidak harus selama-lamanya dipandang sebagai suatu konflik agama yang menyebabkan kita terperangkap dalam ketakutan dan rasa was-was. Ia sepatutnya mengajar kita untuk jujur mengakui kelemahan dalam beberapa aspek bernegara.

Dan kisah ini perlu mendapat perhatian khalayak secara keseluruhannya. Iktibar yang tercermin melaluinya perlu diteliti dengan baik. Kemajmukan agama yang sedang kita nikmati di Malaysia boleh menjadi bom jangka jika tidak ditangani dengan betul dan berkesan. Ia mendesak kita untuk sentiasa waspada dalam keterbukaan.

Beberapa hari yang lalu, Natrah meninggal dunia dalam usia 72 tahun di negara asal kedua orang tuanya; Belanda. Meski ia sudah tiada, latar masa dan peristiwa lampau yang pernah ditempuh dulu sentiasa hidup. Ia tidak perlu dikuburkan demi rasa senang bahawa ia telah berlalu. Kita perlu belajar sesuatu.

Buat Natrah, bersemadilah dalam damai.

Rabu, Julai 08, 2009

Nisan Untuk PPSMI

Setelah lama disogokkan pelbagai helah dan pembohongan, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akhirnya dimansuhkan oleh kerajaan. Biarpun dilihat lambat bertindak, keputusan kerajaan ini disambut baik demi kelangsungan kualiti dan martabat sistem pendidikan negara.

Kerajaan harus lebih teliti dalam tindakan yang akan diambil selepas ini. Penggubalan dasar PPSMI secara tergesa-gesa tanpa mengambil-kira pandangan ilmuan dan penyelidik jelas tertolak. Apatah lagi apabila ribuan rakyat dengan sebegitu berani mencabar dasar ini dalam demonstrasi jalanan lewat Mac yang lalu.

Kita tidak mahu diperkuda oleh suatu dasar yang tidak meletakkan kepentingan sesuatu hal itu di tempat yang selayaknya. Dan kini, setelah jutaan ringgit dilabur, pertaruhan tentang kualiti pendidikan melalui PPSMI langsung tidak menguntungkan. Lebih teruk, jurang antara para pelajar bandar dan luar bandar semakin melebar.

Akhirnya, kerajaan mengalah. Ia harus tulus. PPSMI gagal!

Selasa, Julai 07, 2009

Elegi Dalam Mimpi

Rabu, Julai 01, 2009

Terobosan Ruang Baru

Saya sering optimis. Meski kadangkala terlihat terlalu ideal, saya tetap yakin bahawa manusia punya potensi besar yang mampu dikembangkan. Disebabkan itu, saya janggal jika ada sebilangan kita yang sering menidakkan kekuatan itu dengan melayan manusia pada tahap-tahap tertentu yang tidak setara dengan keadaan yang selayaknya.

Bagi saya, penolakan dan penafian terhadap hal-hal sebegini tidak langsung dapat membantu kita untuk maju. Ia hanya akan membantutkan upaya ke arah pencapaian yang lebih tinggi dan baik. Tatkala ruang dan peluang yang ada terus disisihkan, kita sebenarnya hanya berputar dalam orbit lama meski cuba dijustifikasi dengan nama baru.

Hal-hal sebegini hanya menyumbang kepada kehampaan dan lelah berpanjangan. Ketakutan untuk meneroka bukan saja memposisikan kita terkebelakang, malah ia juga gagal menggerakkan seluruh medium yang ada ke hadapan. Maka, kita sekali lagi akan tewas dalam pengejaran nilai, pengalaman serta pemikiran baru yang tentunya lebih segar.

Dan dilema ini berpanjangan, terus entah ke mana.