Sabtu, Januari 31, 2009

Tahniah Erdogan!

Shimon Peres mempertahankan tindakan Israel dengan justifikasi yang pincang. Namun begitu, gegaran emosi warga dunia masih belum mampu mencampakkan celaka itu ke neraka. Airmata terus tumpah. Mulut berkumat-kamit menghambur seranah.

Diplomasi bukan untuk dinikmati oleh manusia tanpa akal. Tatkala Erdogan bersuara, hingar seluruh jagat raya. Dalam duka, ia cuba mencerna puing-puing kebinasaan untuk kembali membangunkan harapan. Janjinya pasti. Bumi ini padang ternak, bukan lapang sasar nafsu rakus kebinatangan.

Davos kini menjadi sejarah. Ego si gila musnah. Hancur ia dalam amarah.

Ahad, Januari 11, 2009

Menyantuni Kezaliman

Dunia ini gila. Mengapa masih ada toleransi yang wujud untuk menyantuni si zalim yang hina?

Yang tertindas itu apa?

Bukankah mereka juga manusia seperti kita.

Hey! Kepala engkau letakkan di mana?

Jumaat, Januari 09, 2009

Belajar Daripada Mitos

Potret mitos Greek ini saya abadikan buat Temenggung dan teman-teman yang sentiasa cuba untuk kritis. Moga landasan sudut pandang kita kekal jujur dan tulus kerana nyawa umat Islam di Palestin bukan dagangan yang boleh direntap rakus!

Rabu, Januari 07, 2009

Sebalik Awan Ada Cahaya



Permulaan kepada suatu impian adalah harapan. Harapan pula perlu kita dirikan dengan keteguhan pendirian. Semoga nanti hasilnya memuaskan hati berbaloi dengan segenap tenaga yang telah kita salurkan pergi.

Saya tidak mesra dengan Butterfingers. Namun mungkin lagunya ini boleh dijadikan titik mula suatu gagasan massa membenamkan keegoan dan keangkuhan kuasa-kuasa besar yang durjana. Jenayah kemanusiaan ini harus kita hentikan segera!

Boikot!

Ada kesedaran yang mula terpancar di dada umat. Mungkin ini saat terbaik untuk kita menggali semula khazanah Al-Fath!
---------------------------------------------------------------------------------------
Respon teman-teman lewat catatan saya yang lalu disambut baik. Walaupun masih ada beberapa perbezaan pandangan dalam usaha kita untuk menanganinya, tindakan boikot harus terus dijana demi saudara seagama yang sedang sengsara.

Pokoknya jelas dapat kita fahami. Namun begitu, usaha yang sebegini besar memerlukan kita lebih teliti dalam persoalan-persoalan inti. Ia tidak hanya meliputi dampak yang bakal dirasai Israel, tetapi juga harus mengambil kira kesannya di sini nanti.

Apa yang lebih penting, usaha boikot tidak harus hanya menjadi suatu gagasan kata. Tetapi ia harus dimaknakan sebagai suatu tindakan berani keseluruhan kita dalam usaha untuk membenamkan syaitan-syaitan besar dunia yang sedang menggila!

Ahad, Januari 04, 2009

Perlukah Kita Memboikot?

Setelah beberapa hari Palestin diganyang tanpa henti, umat Islam secara keseluruhannya masih gagal bertindak balas dengan cara yang benar-benar berkesan.

Kalaupun ada yang boleh dilihat berjaya, tentunya ia adalah perpaduan umat Islam dalam tunjuk rasa membantah keras tindakan zalim rejim Zionis.

Dan hal ini membuatkan saya tertarik dengan pertanyaan yang dilontarkan oleh seorang teman; perlukah kita memboikot secara menyeluruh semua produk Israel dan sekutunya?

Tentunya di sana ada pandangan pro dan kontra. Tentu juga ada persetujuan dan perbezaan. Kesannya nanti pasti pelbagai. Saya juga memikirkan hal yang sama. Anda pula bagaimana?

Maka ruang ini saya buka. Mari berpendapat!

Sabtu, Januari 03, 2009

Ulama Dari Oxford

Dalam kesibukan dan kekalutan meneliti nota kuliah sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir semester pada minggu hadapan, saya masih sempat meluangkan waktu mengikuti kuliah santai Syeikh Dr. Muhammad Afifi al-Akiti di laman Youtube.

Menontonnya satu persatu sejak lewat petang semalam sehinggalah ke rakaman terakhir yang berjaya saya sudahkan usai Zuhur tadi, ia jelas membuktikan bahawa ulama muda ini mampu untuk memunculkan suatu tradisi ilmu yang telah lama ditinggalkan masyarakat Islam.

Walaupun terdidik dalam persekitaran pondok di Indonesia yang menekankan nilai tradisi Nusantara, Dr. Afifi harus mendapat pujian atas usaha dan kesedaran betapa pentingnya ilmu sehingga ia mampu membawanya terbang jauh melanjutkan pelajaran sehingga ke Oxford, United Kingdom.

Lebih membanggakan, beliau kini terlibat langsung menyampaikan ilmu di Universiti Oxford sesuai dengan kepakarannya dalam bidang teologi dan falsafah. Pandangannya juga semakin dihormati serta diberikan perhatian seperti yang terlihat dalam hal fatwa yang dikeluarkannya berkait pengeboman berani mati.

Dalam sesi kuliah santainya itu, Dr. Afifi sempat juga mengingatkan betapa bertuahnya komuniti Malaysia yang tinggal di Barat kerana dapat berhadapan dengan kepelbagaian ragam manusia yang patut dijadikan pedoman apabila pulang ke Malaysia. Tambah beliau lagi, yang penting bukanlah ijazah semata-mata, tetapi juga pengalaman yang berjaya ditempa.

Mungkin kerana menjadikan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali sebagai subjek utama tesis sarjananya, tradisi ilmu para ulama silam seperti al-Ghazali cukup akrab dalam sesi kuliahnya itu. Malah beliau juga tidak segan untuk mengulas hanya dua baris ayat dari kitab Ayyuhal Walad dalam sesi kuliah yang panjang. Baginya, isi karangan al-Ghazali itu sangat bermakna dan perlu benar-benar diteroka. Ulasannya juga mencakup pengertian ayat membawa kepada masalah epistemologinya sekali.

Saya mengharapkan agar suatu hari nanti Dr. Afifi akan kembali menabur budi di Malaysia. Kekeliruan ilmu yang sedang membarah dalam sosial masyarakat kita dewasa ini harus kembali dicerahkan dengan kefahaman yang benar-benar tulen.

Bukanlah mahu menidakkan keupayaan agamawan lain, namun melihat Dr. Afifi dari jauh, ia cukup untuk memberikan suatu keyakinan betapa ulama muda ini berkeupayaan untuk sama-sama membantu masyarakat kita kembali menjadi manusia. Dan tentu sekali, kuncinya adalah agama!

Khamis, Januari 01, 2009

Jalur Dunia

Kata orang, politik adalah pertentangan antara jalur hitam dan putih. Tanpa kedua-duanya, politik itu tidak bermakna. Jadilah ia nanti satu perkelahian tanpa pegangan atau satu kepercayaan tanpa bermatlamatkan kebenaran. Dalam pengertian yang lebih mudah, politik sentiasa memaksa kita untuk berpihak.

Ada yang beranggapan keadaan ini sebagai masalah. Adakalanya, kita tidak bersetuju dengan semua perkara. Ada juga masa-masa tertentu bila mana kita perlu untuk membangkang dan berani mengatakan tidak. Namun, dalam keadaan berpihak, tentunya ruang untuk berbeza dalam pandangan sedikit tergugat dan dijejaskan oleh keimanan pada pegangan khalayak terbanyak.

Maka itu lahirlah jalur kelabu. Ia jalur tengah yang harus bebas dan dilihat bebas bagi mengelakkan ia terjerumus ke kancah konflik. Bagi kelompok yang meyakini fungsi dan tanggungjawab jalur kelabu, mereka harus sentiasa bersikap universal dan meminggirkan pertentangan antara jalur hitam dan putih.

Kelompok ini kebiasaannya berupaya menjana sudut pandang yang lain daripada biasa. Namun itu tidaklah bermakna mereka juga harus sentiasa berbeza. Dalam hal-hal tertentu, pandangan mereka mungkin juga sama dengan pandangan salah satu kelompok dari jalur hitam atau putih.

Saya melihat betapa pentingnya kita berada di jalur kelabu. Dalam keadaan semasa, percanggahan yang berlaku dalam gelanggang politik perdana tidak membawa keuntungan yang banyak. Ideologi yang dibawa oleh parti-parti politik sudah cukup untuk memperlihatkan betapa rapuhnya kesatuan dalam perbezaan mereka.

Maka itu, kita perlu sentiasa berwaspada. Mungkin akan tiba masanya nanti kita terpaksa bergerak sendiri. Dalam jalur hitam dan putih, bergerak sendiri bermakna kita terlepas dari kongkongan dasar yang digariskan. Maknanya, keberadaan kita dalam jalur itu tidak langsung bermakna malah mungkin juga hanya menyemakkan suasana.

Yang tinggal bagi kita hanya jalur kelabu. Jalur yang berada di tengah-tengah, tidak berpihak, dan tentu sekali bebas. Dan kini semuanya terpulang kepada kita untuk membuat pilihan yang dirasakan sesuai dan tepat dalam sepak terajang politik semasa.

Kalau yang akan dipilih nanti ialah jalur hitam atau putih, kita harus cukup kuat untuk mempertahankan prinsip dan pasak yang kita dakapkan. Namun jika jalur kelabu menjadi pilihan, maka bersedialah untuk benar-benar bersikap kritis dan berani dengan kekuatan fakta mendepani cabaran isu.

Dan kita seharusnya tidak lupa, perbezaan bukan sia-sia. Ia hanya jalan untuk mengajar kita bahawa kesatuan adalah persefahaman hasil toleransi dan timbang tara manusia dalam menanganinya. Samada ia hitam, putih, atau kelabu, matlamatnya tetap pada kebenaran yang satu.

Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan

-M.Nasir