Rabu, April 28, 2010

Gila

Aminulrasyid Amzah tak lagi bersama kita. Kata penguasa, ia penjenayah -- tak punyai lesen memandu dan ada parang ditemukan dalam kereta. Langsung ia ditembak, di belakang kepala.

Saya berkabung atas matinya dua jiwa; anak ini dan si polis gila!

Isnin, April 26, 2010

Stabil

Pasca kekalahan Zaid Ibrahim di Hulu Selangor, seorang teman langsung memprovokasi nakal. Antara lain ia mengungkap betapa perubahan tidak sesuai di Malaysia. Katanya, Malaysia hanya perlukan kestabilan dan rasa selesa.

Saya terus mati akal. Meski apa yang diungkapnya itu muluk dan terlihat indah, saya fikir asasnya rapuh. Tak mungkin alasan itu mampu membuatkan kita redha dan merelakan segala ketidakadilan dan kezaliman yang bermaharajalela.

Persoalan itu saya diamkan, sehinggalah lewat petang tadi kala menyelak helaian Catatan Pinggir, karangan penyair besar Indonesia, Goenawan Mohamad. Demi membacanya, fikiran terus melayang pada perubahan dan kelangsungannya.

Begini tulis Mas Goen;

"Lagi pula kami lebih banyak bekerja berdasarkan kebiasaan, mungkin pula instink, bukan kerana pengabdian seperti yang diminta orang-orang besar. Saya bukan tipe orang yang bercita-cita memindahkan gunung. Saya cuma ingin selalu bisa memindahkan beras jadi nasi, di dapur saya sendiri."

Cuplikan itu saya tinggalkan. Tanyalah dhamir, adakah kita sejalan?

Lawan

Kita mungkin keliru untuk membezakan pihak mana yang benar. Di satu sisi, PR adalah batil, kata BN. Begitu juga di sisi lain, BN itu batil, balas PR. Ditengahnya kita, rakyat, yang punyai peluang untuk melihat dan menilai dengan kritis.

Zaid Ibrahim tewas di Hulu Selangor. Kalau bereaksi dengan emosi, tentu saja ramai yang menghambur maki. Bagi saya ia langsung tak keterlaluan, kerana PRK Hulu Selangor jelas membuktikan kepincangan yang dibiar terabai.

Apapun, PRK Hulu Selangor tetap suatu sejarah betapa maruah bukan lagi pertimbangan. Untuk menang, wang dibiar melimpah, rasuah politik terbuka, upaya fitnah diperhebat, hanya untuk membungkam agenda perubahan yang bermakna.

Saya hampir hilang kata mengenangkannya. Imaginasi disekat tatkala mahu menggambarkan bagaimana moral masyarakat dihenyak semahunya. Andai fajar esok muncul, kita hanya punyai satu kata untuk dimaknakan; lawan!

Sabtu, April 24, 2010

Pikiran

Demokrasi memberikan kemungkinan perluasan ruang untuk bertukar pikiran dan berganti alternatif. Masa depan tak bisa dimonopoli
-Goenawan Mohamad

Rabu, April 21, 2010

Gebang



Kita boleh berbeza dalam berpendapat. Telah berkali saya temukan orang yang mengakui hanya dirinya benar, lalu menyombong, angkuh. Dan anak muda, tak betah begitu.

Pemahaman harus diperkaya. Dan untuk itu, jalannya; dengar.

Mengapa?

Saya perlu jujur untuk mengakui bahawa pembacaan saya terhad. Tatkala ramai yang mengkaji dan berwacana tentang tamadun, saya baru bermula untuk faham erti kata tersebut. Disebabkan itu, saya memang ketinggalan.

Bila ramai yang mengungkap keagungan Islam dan prinsip-prinsip dasar yang membangunkannya, ketahuilah, bahawa saya masih mamai dan kabur. Itulah sebab saya bergelut dalam pemahaman yang berterabur, dan tak teratur.

Dan daya saya terjeda, dalam kebingungan dan kejahilan. Melihat sebahagian umat berbuih mulut bicara tentang Islam, tapi memekakkan telinga daripada sekian banyak pendedahan berkait kepincangan masyarakat.

Saya lelah, jenuh melihat dan memerhati. Ada kelompok, konon mahu mengangkat martabat umat. Tapi bisu, diam dan menyendiri bila umat yang mahu dibelanya itu dirompak, di depan matanya sendiri. Dengan bukti.

Lalu saya tanyakan, "mengapa begini?". Jawabnya, "sabarlah, kemenangan itu pasti." Saya diam, lantas menepuk dahi. Untuk sebuah penjelasan dan keagungan yang mereka yakini, ketahuilah, ia tak mampu saya fahami.

Selasa, April 20, 2010

UMNO

Saya berbangsa Melayu. Untuk lebih dramatik, elok juga saya katakan darah yang mengalir dalam tubuh persis Hang Tuah. Kalau diamati, mungkin berbeza daripada yang lain. Maklum saja, pendekar tentu lain maqamnya.

Kita boleh saja bicara tentang itu sehingga esok, lusa atau minggu depan. Tapi kisah itu, sepanjang manapun ia, hanyalah sebuah sejarah. Buat anak cucu, itulah yang dibangga. Lalu diulang kata, "takkan Melayu hilang di dunia!"

Memang kita tak perlu malu jadi Melayu. Dengan bekal sejarah sebegitu panjang yang juga telah memahat pelbagai dapatan hebat, ia harus kita sanjung. Dan masa pun berganti. Ia menghadirkan sekian banyak cabaran baru.

Dan UMNO, seperti juga Hang Tuah, merupakan sejarah. Dengan penuh sedar, kita harus merakam penghargaan pada jasanya. Demi keadilan, keburukannya juga harus kita kritik. Tapi itulah, ia sejarah. Bukan masa depan.

Sekurang-kurangnya, itu yang saya percaya. Untuk sebuah zaman baru, kita tidak boleh terperangkap dengan ketakutan lama - perkauman sempit, ketidakadilan kaum, dan rasa agung diri yang keterlaluan. UMNO, itu dulu. Cukuplah.

Zaid

Zaid Ibrahim tentu tak asing bagi kita. Tatkala berjawatan menteri, ia tak buta pada ketidakadilan. Malah sanggup menggadainya demi sebuah prinsip; yang dia, juga saya, percaya dan yakini.

Hulu Selangor kini jadi saksi betapa sosok ini difitnah keji. Lalu diselongkarlah segala macam episod hidupnya. Konon hitam, tak layak diangkat mewakili rakyat. Malang, yang menuduh itu lupa mencermin diri. Kalau dibuat, tentu terlihat hodoh sekali.

Mendengarnya, saya ketawa, juga menyumpah. Ah, hujah sampah!

Isnin, April 19, 2010

Gunung

Saya punyai minat yang telah lama terhenti. Sejak beberapa tahun lalu, kali pertama menjejak sang puteri di puncak Ophir, saya jadi penasaran. Setiap ada kesempatan, mahu saja saya turutkan hati. Mujur pertimbangan masih waras.

Minggu lalu, seorang teman bermelankoli. Ia mengenang kembali kenangan saat sama-sama berpengakap dan merai hidup dalam dakapan alam. Nah, saya langsung teruja. Lalu menyedut nafas panjang seolah lelah yang dirasa di Ophir.

Pantas kami atur rencana. Insyaallah, hujung tahun ke puncak Tahan!

Hidup

Hidup -- tentu ada yang mengungkapnya cinta. Kalau mahu lebih falsafi atau mudahnya digolongkan sebagai kepeningan, serap saja bait lirik M.Nasir dalam Raikan Cinta;

"Mari mawarku raikan cinta,
tanpa cintanya kita tiada;
mawar cinta mawarku abadi,
cinta pemilik segala jadi."

Tapi sejauh ini, hidup tidak semudah itu. Ia bukan semata kata muluk dalam slogan-slogan yang kita laungkan. Apatah lagi dengan kepelbagaian yang dicipta Tuhan. Harus jelas pada tingkah mengatur pesan.

Pernah juga saya ditempelak kerana mencoret yang bukan-bukan. Malah, sempat juga dibanding dengan teman lain yang lebih Islami isinya; dinilai melalui himpunan kalam Tuhan yang tertulis dalam blognya.

Apa saja ini. Berbulan juga saya menanti, dan lihat kembali; beku.

Mual

Saya membaca, sejenak kemudian berhenti; mual. Debat, syarah atau apapun namanya, lebih-lebih lagi yang mengatasnamakan Islam bagi saya tak lagi bererti. Entah gila apa berhujah konon demi keilmuan, tapi membisu pada ketidakadilan.

Jawab mereka, kita tak boleh reaksioner. Asas harus dibina kukuh bagi menampung bangunan peradaban nan gemilang yang akan dihadirkan kembali. Mendengarnya, saya sinis, lantas ketawa kecil. Bukanlah tidak hormat, tapi sekali lagi; mual.

Entah, kau bebas saja untuk memilih itu, tapi bukan aku.